Oleh Mai
30 Ogos 2022, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Seramai 25 orang peserta yang mewakili seluruh daerah di negeri Sabah telah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-36 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 26 September hingga 27 September 2022, di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Sayembara ini merupakan program anjuran bersama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), DBP Cawangan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Penyertaan yang menggalakkan ini ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan” apabila merekodkan penyertaan yang paling ramai sejak penganjurannya. Sayembara yang diadakan sejak tahun 1987 ini sememangnya berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya. Sepuluh orang peserta terbaik Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Negeri Sabah telah dipilih untuk ke peringkat akhir pada 27 Ogos 2022.

Antara objektif pelaksanaan sayembara ini adalah untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia melalui kegiatan kesusasteraan. Selain itu, sayambara peringkat negeri Sabah juga diadakan bagi memilih calon terbaik untuk mewakili negeri Sabah ke Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2022.

10 peserta terakhir sayembara.

Nurirfiney E. Hairoland Fredo yang mendeklamasikan sajak “Lentera Zaman” karya Mahaya Mohd. Yassin telah dinobatkan sebagai johan. Mohamad Hilmi Ismail yang mendeklamasikan sajak “Citra Jiwa Merdeka” nukilan Abdul Karim Gullam mendapat tempat kedua dan Mohd. Shafiq Dulamid dengan pendeklamasian sajak berjudul “Idaman Taman Indera Bestari” karya Awang Ali Kemaman memperoleh tempat ketiga.

Johan menerima hadiah wang sebanyak RM1000, piala pusingan dan siijil penghargaan dan naib johan menerima hadiah wang sebanyak RM700 dan sijil penghargaan. Manakala, tempat ketiga pula menerima wang sebanyak RM500 dan sijil penghargaan. Pemenang sagu hati pula menerima hadiah wang RM200 setiap seorang dan sijil penghargaan. Pemenang sagu hati ialah Dayana Chacho, Ainun Nasibah Johar dan Suhaina Idris. 

Nurirfiney E. Hairoland Fredo, johan sayembara.

Ujar Nurirfiney E. Hairoland Fredo, johan sayembara pada kali ini,

Saya akui, para peserta kali ini adalah antara barisan deklamator yang sangat hebat dan saya kagumi. Kerdilnya saya berada sebaris dengan mereka. Rata-rata semua pernah mewakili negeri Sabah sama ada dalam SDPK atau mana-mana pertandingan yang setara dengannya. Rasa terkejut dan tidak percaya, namun saya bersyukur kerana para juri melihat potensi yang ada dalam diri saya. Inilah yang dikatakan rezeki anak-anak yang sentiasa mengiringi langkah dan restu daripada suami tersayang. Saya berpegang teguh dengan petikan sajak dari puisi Lentera Zaman yang saya persembahkan, ”mari segerakan biji benih menerbitkan tujuh tangkai/ setiap tangkai mencapah seratus biji, / janji-Nya pasti akan tertunai.

Beliau mula bergiat aktif dalam bidang deklamasi sajak mulai tahun 2012 dengan menyertai Deklamasi Sajak Remaja dan mendapat tempat ketiga. Seterusnya, beliau juga pernah mewakili Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam dalam SDPK Peringkat IPGM 2015 dan mendapat tempat ketiga. Ujarnya lagi,

Saya mula menyertai SDPK Peringkat Negeri Sabah sejak tahun 2017 dan mendapat naib johan. Semasa PKP, saya juga ada menyertai sayembara secara dalam talian. Namun, rezeki belum datang.

Majlis perasmian sayembara tersebut disempurnakan oleh Encik Amirudin Md Ali Hanafiah, Pengerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Kebangsaan merangkap Ketua Dua, GAPENA. Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Presiden BAHASA. Sayembara ini telah diadili oleh hakim yang berpengalaman, iaitu Rusdi Awang dari DBP Cawangan Sabah, Encik Sukor Hussin dan Encik Hassan Saprin selaku ketua hakim.

Diharapkan penganjuran sayembara ini juga dapat menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan peserta dan masyarakat secara keseluruhannya di samping meraikan kemerdekaan bangsa dan negara Malaysia melalui pendeklamasian puisi patriotik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.