Oleh Karmila Azmi
23 Ogos 2022, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraih tiga kemenangan dalam Anugerah Buku Negara 2022, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Kemenangan itu adalah menerusi Anugerah Buku Umum Terbaik (Biografi) yang menyaksikan naskhah Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah diangkat sebagai pemenang.

DBP turut memenangi Anugerah Penerbit Prolifik dalam acara yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia.

Tahun ini, anugerah itu diadakan bersempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang berlangsung pada 22 hingga 25 Ogos di PKKSSAS, UPM.

Biografi Shahnon yang ditulis oleh rakan karibnya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hasan merupakan rakaman kehidupan awal Shahnon di kampung kelahirannya, Banggul Derdap dan kemudian perjalanan hidupnya yang dipenuhi dengan ilmu, taulan, kegiatan, dan pengkaryaan.

Mohd. Yusop sebelum ini dalam pelancaran naskhah berkenaan tahun lalu menyebut, naskhah itu menggambarkan perjalanan kerohanian dan kejiwaan Shahnon. Manuskrip buku ini diusahakan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, yang kemudiannya melalui proses editorial di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan DBP.

Pemenang lain yang menerima pengiktirafan semalam termasuklah, Ab Aziz Yusof dan Muhammad Afif Mohd Badrol yang memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi) menerusi tajuk Sarwajagat Kepimpinan Islam dalam Pengurusan Organisasi.

Hari ini, Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom turut memenangi kategori sama menerusi subkategori Koleksi Fotografi menerusi bukunya, Anak Gunung Selatan Sunda dan Dr. Maszlee Malik bagi subkategori Pendidikan menerusi Pendidikan untuk Semua.

Beli buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon AhmadL Anak Nan Bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.