Oleh Ezura As'ad Azam
23 Ogos 2022, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan –Rezeki berpihak kepada Noor Shakira Mohd Hasli yang berjaya menewaskan 12 orang peserta lain dan mengungguli Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Wilayah Persekutuan Labuan 2022, sekali gus membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, trofi dan wang berjumlah RM1000.

Sayembara yang dianjurkan secara tahunan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ini telah diadakan pada 20 Ogos 2022 di Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Dengan mendeklamasikan puisi bertajuk “Milik Siapakah Tanah Ini” karya Mohd Ghazali Taib, kejayaan ini dapat disifatkan sebagai hadiah ulang tahun paling bermakna buat Noor Shakira yang menyambut ulang tahun pada 21 Ogos, sehari selepas sayembara ini dilaksanakan. Untuk rekod, beliau pernah mencuba nasib dalam sayembara ini beberapa kali dan kali terakhir menyertainya pada tahun lepas dengan meraih naib johan. Kegigihan Noor Shakira yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta ternyata membuahkan hasil yang membanggakan, tambahan pula beliau dibimbing oleh kakaknya sendiri yang juga merupakan Johan SDPK Ke-35 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Shaelayani Mohd Hasli.

Naib johan pada edisi kali ini dirangkul oleh Yahya bin Burhanuddin yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Naratif Ogos Seorang Helang” nukilan Zainal Rashid Ahmad. Beliau membawa pulang trofi berserta hadiah wang berjumlah RM700. Tempat ketiga yang menawarkan hadiah berupa trofi dan wang berjumlah RM500 pula disandang oleh Nadia binti Md. Yunus yang memilih puisi “Landskap Bangsa” karya Mohamad Saleeh Rahamad. Selain itu, hadiah sagu hati berjumlah RM200 bagi setiap seorang pemenang diraih oleh Aiman Afiq Ismail, Ahmad Radzi Ab. Halim dan Razuin Milin.

Majlis perasmian sayembara ini telah disempurnakan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir dalam acara ini ialah Profesor Dr. Harun Haji Pudin, Ketua Satu PERWILA, Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah dan Encik Wan Ahmad Wan Awang, Pengetua SMK Rancha-Rancha.

Acara turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Ag Asim Ag Besar yang turut bertindak sebagai Ketua Hakim. Sebagai mantan johan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak empat kali dan naib johan pada peringkat kebangsaan sebanyak dua kali, beliau juga tidak lokek berkongsi pengalamannya tentang aspek-aspek yang perlu ditekankan oleh pendeklamasi, antaranya ialah lontaran suara, penghayatan dan kelancaran penyampaian. Pengalaman tersebut diharapkan dapat membantu semua peserta menampilkan persembahan yang lebih baik dalam sayembara akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.