22 Ogos 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – “Kemenangan ini di luar jangkaan kerana peserta yang hadir semuanya hebat,” ujar Asiah Hanim Mohd Tahir yang diumumkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu 2022. Berpengalaman dalam bidang deklamasi sejak 18 tahun lalu, beliau mengakui minatnya terhadap puisi muncul sejak didorong oleh ibunya.

Selama tiga minggu beliau melakukan hafalan dan latihan untuk sayembara ini. Selain itu, suaminya juga pendorong utama untuk beliau menyertai sayembara pada kali ini. “Suami banyak membantu sewaktu latihan dalam aspek sebutan, penghayatan dan gaya sewaktu berpuisi,” akui beliau yang kini berkecimpung dalam bidang perniagaan kosmetik.

Sajak SN Rahman Shaari berjudul “Sejahtera Bahasaku” membawa tuah kepada beliau. Beliau mengakui sajak tersebut ada magisnya. “Susunan dan bait-bait kata, ayat yang seimbang dan permainan suku kata atau rima sajak amat sesuai dengan suara saya”.

Asiah Hanim Mohd Tahir ketika mendeklamasikan sajak.

Abdul Mubin Ismail, Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) berpuas hati dengan persembahan para peserta sayembara pada kali ini. Beliau dibantu oleh dua orang juri profesional, iaitu Sasterawan Negeri Terengganu SM Noor dan Wan Zulkifli Wan Yaacob, mantan pemberita Utusan Malaysia. Ujar Abdul Mubin lagi,

Peserta sayembara deklamasi puisi kali ini sebahagian besarnya hadir mengikuti bengkel. Bengkel ini menampakkan hasil apabila banyak kelemahan berjaya diatasi. Para peserta jelas berjaya mengubah corak dan teknik deklamasi mereka. PELITA amat mengesyorkan supaya bengkel deklamasi diadakan pada setiap kali sayembara dan bercadang untuk meneruskan bengkel sebelum sayembara ini diteruskan pada masa akan datang.

Abdul Mubin Ismail, Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) ketika memberikan ulasan sayembara.

Naib juara sayembara tersebut disandang oleh Saifuldhari Abu Bakar yang membawakan sajak bertajuk “Harapan di Hujung Penantian” karya Mohd Mansor Abdullah, dan Romaini Mustafa yang mendeklamasikan sajak “Milik Siapakah Tanah Ini” karya  Mohd Ghazali Taib mendapat tempat ketiga. Hadiah sagu hati sayembara pula dimenangi oleh  Mohd Awari Jaya yang juga mendeklamasikan sajak berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini?”, Amirrudin Abd Rahman (sajak “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” nukilan Ab Rani Embi) dan Siti Noridayu Mohd Shah (sajak “Menjadi Laksamana” karya Abizai). Masing-masing menerima wang tunai tunai berjumlah RM1000, RM700, RM500 dan RM200 untuk setiap penerima sagu hati. Hadiah telah disampaikan oleh Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin yang mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

 

Kamarulzaman Ismail dalam ucapan pembukaan sayembara merakamkan penghargaan terima kasih kepada DBP Wilayah Timur yang terus mendukung sayembara kali ke-36 ini sehingga berjaya direalisasikan pada tahun 2022. Sumbangan DBP amat bermakna dalam usaha melestarikan sastera dan membudayakan deklamasi sajak dalam kalangan masyarakat. Penganjur juga berharap agar peserta yang terpilih mewakili Terengganu dapat membuat persediaan yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri tersebut di pentas kebangsaan pada 9 September 2022 nanti.

Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (tengah) mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Memeriahkan majlis, Kamarulzaman Ismail, Abdul Mubin Ismail, Zarir Ali dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin tampil membuat persembahan sajak mengisi slot persembahan dan selingan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.