19 Ogos 2022, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Berang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyantuni masyarakat Orang Asli Suku Kaum Semoq Beri di Kampung Sungai Berua, Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi tujuan penyelidikan dan rakaman cerita rakyat Orang Asli Semoq Beri. Kumpulan penyelidik terdiri daripada staf BPS sendiri iaitu Encik Saifullizan Yahaya, Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Puan Nor Adilah Abu Bakar, dan Encik Mohd Shoffi Sukamin. Penyelidikan dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 17 dan 18 Ogos 2022 bertempat di Balai Raya Kampung Sungai Berua, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Penyelidik daripada BPS, DBP menyeberang anak sungai untuk ke Kampung Sungai Berua.

Ujar Encik Razali Ngah, Pegawai JAKOA di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu,

Sebelum ini organisasi dan institusi tertentu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melaksanakan kajian dan penyelidikan berkenaan suku kaum Semoq Beri, tetapi usaha untuk merakam dan mendokumentasikan cerita rakyat suku kaum ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Sebagai pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat di sini, kami sangat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan kumpulan penyelidik dari DBP. Usaha yang dilaksanakan oleh DBP sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat kepada masyarakat di luar sana tentang kewujudan suku kaum Semoq Beri yang ada di Terengganu, khususnya di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Penutur Cerita Rakyat Orang Asli Semoq Beri Kampung Sungai Berua, Kuala Berang bersama-sama dengan Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), DBP.

Encik Saifullizan Yahaya selaku Ketua BPS mengatakan bahawa projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli telah mula dilaksanakan dan tertumpu di sekitar Pahang, Kelantan dan Perak. Kini, kegiatan penyelidikan dikembangkan dan diteruskan di Terengganu. Ujarnya lagi,

Pada 18 dan 19 Mei 2022 yang lalu, kami telah ke Kampung Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu dan telah berjaya merakam 10 buah cerita rakyat Orang Asli Semoq Beri di kampung tersebut. Cerita-cerita yang berjaya dirakam ini akan diolah kembali oleh kumpulan penyelidik dan dijadikan manuskrip lengkap sebelum dihantar ke Jabatan Penerbitan DBP untuk tujuan penerbitan. Hal ini merupakan usaha dan tanggungjawab DBP, khususnya Bahagian Penyelidikan Sastera dalam mendokumentasikan dan memperbanyakkan lagi hasil kesusasteraan lisan Orang Asli.

Suasana di salah sebuah rumah orang asli Semoq Beri.

Kegiatan penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli yang dilaksanakan oleh DBP telah membuahkan hasil dengan terbitnya buku Cerita Rakyat Orang Asli: Legenda Lembah Mendang pada tahun 2021. Dengan adanya buku ini, khazanah warisan negara ini akan terus terpelihara dan disebarluaskan kepada masyarakat umum, terutamanya untuk tatapan generasi muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.