18 Ogos 2022, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teori merupakan ilmu, manakala kritikan pula ialah sebuah pendekatan. Perkara ini dinyatakan oleh Encik Mohamad Daud Mohamad dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) Bil. 13/2022 yang bertajuk “Teori dan Kritikan: Satu Pendekatan Sastera”. Secara umumnya, beliau menjelaskan bahawa pendekatan sastera ialah cara melihat dan menilai sesebuah teks sastera.

Menurut beliau, terdapat beberapa aspek yang perlu diteliti dalam sesebuah karya sastera. Sebagai contoh, sesebuah karya perlu dilihat dari segi nilai sastera yang terkandung di dalamnya, iaitu jika karya tersebut mempunyai ilmu atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana karya sastera merupakan sesuatu yang mempunyai ilmu dan dapat memberikan manfaat.

Sesebuah karya sastera juga perlu dilihat dari segi bahasa yang digunakan. Beliau memberikan contoh karya Sasterawan Negara A. Samad Said bertajuk Hujan Pagi yang dilihat menggunakan laras bahasa Melayu yang tinggi. Aspek kemanusiaan juga merupakan elemen penting lain di dalam sesebuah karya sastera. Selain itu, aspek agama, adat dan kebudayaan serta kesinambungan idea dalam sesuatu karya juga perlu diambil kira.

Menyentuh pengalaman beliau ketika menuntut ilmu di Indonesia, beliau mendapati bahawa tidak banyak perbezaan antara tumpuan karya masyarakat di Malaysia dengan masyarakat di sana. Tumpuan karya masih diberi pada penulis terkemuka seperti Pramoedya Ananta Toer, Hamka dan Ahmad Tohari. Beliau juga berpendapat bahawa generasi muda di Indonesia dilihat sangat menghargai dan begitu aktif untuk menghasilkan penulisan berbanding di negara ini.

Tambah beliau, untuk menjadi seorang penulis, seseorang itu perlulah mempunyai kekuatan dari segi penghayatan. Baginya, seorang penulis ialah seorang pemikir, harus bijak membaca dan menghayati dari pelbagai aspek. Melalui pembacaan, seorang penulis akan berfikir dan seterusnya, mampu menghasilkan sesebuah karya.

Di akhir kuliah yang berlangsung, beliau menegaskan bahawa sebelum mengaplikasikan sesuatu teori, seseorang itu perlu mengenali teks sastera tersebut terlebih dahulu. Sebagai pengkritik sastera pula, seseorang itu perlu meluaskan pembacaan dan bukan sahaja tertumpu pada karya sastera semata-mata, bahkan merangkumi ilmu lain seperti psikologi, sosiologi dan lain-lain.

Tonton rakaman kuliah di sini.

Kredit foto: Art Lasovsky/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.