4 Ogos 2022, 17:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Perbincangan tentang emosi turut menjadi aspek yang penting dalam pengkajian kesusasteraan Melayu. Setiap perasaan yang timbul dijelmakan di dalam teks sastera Melayu tradisional. Antara elemen penting dalam penulisan berkaitan emosi ialah patos (phatos). Patos menggambarkan kekuatan dan emosi yang menjurus kepada perasaan sedih, derita, gundah, dan seumpama dengannya.

Pensyarah di Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman selaku pembentang pada Siri 4/2022 Diskusi Manuskrip Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata:

Istilah patos berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud penderitaan atau rasa kesedihan. Patos juga dikategorikan sebagai emosi yang bersifat negatif dan pasif kerana dapat menimbulkan perasaan simpati, sedih dan belas kasihan terhadap sesuatu watak.

Jelas beliau lagi, beberapa perkataan yang dikaitkan dengan patos boleh dijumpai dalam teks Melayu tradisonal seperti berseru-seru, meraung-raung, ratap, ratap, berendam air mata, duka hati, sendu, makan hati, rusuh hati, lebur hati, dan sebagainya.

Beliau membuat kajian tersebut berdasarkan terhadap teks Syair Siti Zubaidah Perang Cina (SSZPC) dan Syair Seratus Siti (SSS). Dalam teks SSZPC, beliau memperlihatkan pengarang yang menceritakan tentang kisah hidup watak Siti Zubaidah yang penuh onak duri selepas berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin. Terdapat banyak unsur patos tertumpu kepada watak Siti Zubaidah. Setelah berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin, Siti Zubaidah menyatakan hasrat untuk kembali pulang bertemu dengan keluarganya. Siti Zubaidah sebenarnya keberatan untuk meninggalkan ayahandanya dan tidak mudah baginya untuk berbuat demikian setelah lama hidup bersama-sama dengannya. Perpisahan yang berlaku antara Siti Zubaidah dengan ayahandanya telah meninggalkan kesan emosi dalam dirinya. Hal ini dapat dilihat dalam teks SSZPC berikut:

 

Setelah didengar Siti Zubaidah,
rasanya hati terlalu gundah,
hendak mengikut bukannya mudah,
tempat yang jauh akan berpindah.

 

Siti pun tidak terkata-kata,
terlalu sebal di dalam cita,
belas meninggalkan ayahanda Pendeta,
tinggal seorang duduk bercinta.

(Syair Siti Zubaidah Perang Cina, 1994)

Manakala dalam episod peperangan pula, pengarang syair ini cuba menampilkan unsur patos dengan menyelami emosi Siti Zubaidah yang hidup dalam kesunyian tanpa suami dan keluarga di sisi. Keadaan ini bertambah rumit apabila baginda tidak berjumpa Siti Zubaidah sebelum berangkat ke medan perang. Keadaan ini menimbulkan suasana patos yang ditonjolkan pengarang untuk menjentik emosi pembaca agar dapat menyelami dan bersimpati dengan nasib Siti Zubaidah. Gambaran ini jelas dapat dilihat dalam teks syair tersebut:

Di dalam didegar oleh Siti Zubaidah.

suaminya itu berangkatlah sudah,

ia terkejut hilang arwah,

sebab suaminya tiadalah singgah.

 

Sangat tergerak rasa hatinya,

lalulah menangis seorang dirinya,

masuklah ke dalam itu ke peraduannya,

baring berselubung dengan masygulnya.

(Syair Siti Zubaidah Perang Cina, 1994)

Syair Seratus Siti (SST) pula mengisahkan tentang nasib isteri-isteri Sultan Mansur yang terabai tetapi lebih memilih meluangkan masa bersama gundik di istananya. Sultan Mansur berkahwin dengan enam orang wanita, namun kesemuanya meninggal dalam waktu yang singkat selepas perkahwinan tersebut. Kesengsaraan yang dialami oleh isteri-isteri Sultan Mansur inilah yang menjadi sorotan utama dalam Syair Seratus Siti. Melalui episod perkahwinan, pengarang cuba menampilkan patos menerusi watak-watak tersebut yang mengalami gangguan emosi berlarutan yang menyebabkan berlakunya tekanan dan kesedihan melampau sehingga meragut nyawa. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan teks SST:

Tiada juga terhiburnya hati,

rasanya geram kepada Siti,

rasanya badan bagaikan mati,

kuruslah kering menahankan hati.

 

kuruslah badan mendayu-dayu,

seperti bunga dikarang layu,

makin dikenang bertambah sayu,

air matanya cucur selalu.

(Syair Seratus Siti, 2004)

Terdapat lagi sebuah episod cerita yang terdapat unsut patos, iaitu kisah tentang Sultan Mansur yang mencari kembali anaknya, Sarif Ismail. Situasi tersebut juga menyebabkan tuan puteri mengalami ketidakstabilan emosi dan berada dalam keadaan yang lemah. Akibat menanggung rindu yang mendalam, tuan puteri akhirnya jatuh sakit kerana meratap dan menangis atas kehilangan anaknya itu:

Segala halnya dipersembahkannya,

jatuh dan luka dikhabarkannya

permai terkejut mengempaskan dirinya

Siti sekalian segera menyambutnya.

 

Berbagailah ratap permaisuri

di dalam tangisnya sendiri,

hatinya sedikit tiada terperi,

akan suaminya serta menteri.

(Syair Seratus Siti, 2004)

Berdasarkan cerita dalam kedua-dua syair tersebut, jelas membuktikan pengarang cuba menampilkan unsur patos bertujuan untuk membangkitkan emosi khalayak dan memperlihatkan sudut cerita yang berbentuk positif dan negatif.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!