Oleh Bonda Zalina
14 Februari 2024, 10:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kisah berlaku satu ketika,
Kembara Nabi bukan cereka,
Israk dan Mikraj siapa sangka,
Kurnia Allah benar belaka.

Israk Muhammad darilah Mekah,
Dengan Jibrail sama melangkah,
Buraq ditunggang tidak bertingkah,
Taat perintah junjung barakah.

Baitulmuqaddis bukannya dekat,
Jauh jaraknya itu hakikat,
Di waktu malam Nabi berangkat,
Masa diambil terasa singkat.

Di perjalanan Nabi perhati,
Banyak perkara lihat teliti,
Syurga neraka jelas terbukti,
Baik dan buruk dibalas pasti.

Masjid al-Aqsa tujuan tempat,
Merentas waktu terlalu cepat,
Solat jemaah baginda sempat,
Meminum susu pilihan tepat.

Mikraj baginda begitu mudah,
Tangga didaki berhias indah,
Bermula dengan lafaz syahadah,
Tujuh lapisan langit diredah.

Bertemu nabi yang terdahulu,
Hai anugerah bukan selalu,
Sempat bersalam sekali lalu,
Memohon izin terus berlalu.

Tangga kelapan nama al-Kursi,
Hal-hal ajaib dapat disaksi,
Tangga sembilan puncaknya paksi,
Sidratulmuntaha nur seisi.

Tangga sepuluh Nabi sendiri,
Menghadap Allah bersujud diri,
Akur perintah solat diberi,
Limalah waktu setiap hari.

Selesai sudah Nabi kembara,
Menunggang Buraq tiada tara,
Pulang ke Mekah dengan segera,
Penuh semangat tekad membara.

Israk dan Mikraj mukjizat Tuhan,
Kepada Nabi rasul pilihan,
Umat Muhammad patuh suruhan,
Ke akhir zaman terus bertahan.

Berakhir sudah syair dikarang,
Ceriteranya bukan sebarang,
Buat renungan semua orang,
Panduan hidup hingga sekarang.

Yong Peng, Johor

Kredit Foto: Dan Gold/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.