3 Mei 2023, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Khairul Nizam Zainal Badri melihat madah-madah yang digunakan oleh Imam al-Ghazali dalam mengupas sifat-sifat insan.

Falsafah syair dan madah berlingkar dalam pandangan dunia yang holistik yang menekankan cita-cita mulia dengan maksud menetapkan ketertiban akal budi dan adab yang tinggi.

Syair dari segi bahasa diertikan sebagai “mengetahui” dan “merasakan”. Atas sebab itu, maka susunan kalimatnya disusun agar dapat membentuk irama yang indah dan melukiskan kejadian yang ada.

Madah pula ialah kata-kata yang digunakan untuk puji-pujian dan tergolong dalam kategori syair. Madah digunakan untuk mengungkapkan nasihat, kata-kata hikmat, dan kata-kata pujangga.

Dalam konteks sastera Islam, baik syair mahupun madah tergolong dalam karya kreatif yang memenuhi tuntutan ketuhanan dan keinsanan dalam kehidupan manusia. Penyair perlu bijak menterjemahkan gambaran kreatif ke suatu bentuk yang dapat memenuhi aspek pengabdian dan ketauhidan kepada Pencipta.

Falsafah syair dan madah berlingkar dalam pandangan dunia yang holistik yang menekankan cita-cita mulia dengan maksud menetapkan ketertiban akal budi dan adab yang tinggi. Falsafah ini dibangunkan atas dasar kesedaran, keinsafan dan pertimbangan bahawa keutamaan budi itulah tujuan akhir.

Dengan kata lain, matlamat penulisan kreatif dalam Islam seharusnya menghala ke arah pembinaan dan pembentukan nilai keinsanan. Hamka dalam karyanya Lembaga Budi menyatakan bahawa menyingkirkan diri daripada sifat kebinatangan itulah cita-cita yang mulia.

Pemikir terkenal di sebelah timur dan barat, Abu Hamid Muḥammad ibn Muḥammad al-Ṭusi al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali (1058 – 1111) turut memuatkan syair dan madah dalam menghuraikan sesuatu perbahasan. Penggunaan syair dan madah bukan sahaja memberikan kesegaran tetapi juga membantu mengukuhkan penjelasan dengan contoh yang tepat.

Sebagai contoh, dalam membicarakan tentang bahayanya lisan yang terkandung dalam karyanya yang terkenal, iaitu Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali telah memetik sebuah syair bagi menunjukkan bahawa salah satu contoh berbohong yang dibenarkan adalah dengan menyampaikan pujian. Syairnya adalah seperti yang berikut:

          Dan kalau dalam tapak tangannya
          tidak ada selain nyawanya
          sungguh ia bermurah hati menyerahkannya
          maka bertakwalah kepada Allah yang memintakannya.

Pujian yang dimaksudkan dalam syair ini adalah tentang sifat pemurah yang harus dimiliki oleh seseorang. Tanpa mengira pujian yang ditujukan itu benar atau tidak, ia tetap memberikan manfaat kepada khalayak pendengar kerana hakikat sifat pemurah itu kembali kepada milik Allah SWT. Oleh itu, sebanyak mana pun sifat pemurah yang dimiliki oleh seseorang tidak seharusnya menjadikannya bangga terhadap dirinya, sebaliknya menambahkan kesedaran dalam dirinya agar meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam syair ini dapat dilihat perpaduan falsafah dan estetika terjalin. Asas perbicaraan ialah sifat pemurah manakala keindahannya digambarkan menerusi nyawa yang berada dalam telapak tangan.

Syair berikutnya adalah tentang sifat dengki yang dipersembahkan dengan cara kontrapositif. Imam al-Ghazali barangkali memilih syair bercorak kontrapositif ini kerana ingin mengaitkannya dengan bahaya lisan akibat gemar mengumpat yang hakikatnya lahir daripada sifat dengki yang bersarang dalam diri.

          Apabila dikehendaki oleh Allah
          tersiarnya keutamaan yang tersembunyi
          maka disediakan untuknya oleh Allah
          suatu lidah yang pendengki.

Dengan memilih syair berstruktur kontrapositif ini, bukan sahaja kaitan antara mengumpat dengan sifat dengki lebih mudah ditunjukkan, malah faedah yang diperoleh orang yang didengki juga dapat dihubungkan dengan jelas. Sifat dengki yang melahirkan kata-kata umpatan dimaklumi sebagai sifat yang tercela, tetapi dengan lisan orang yang mempunyai sifat dengki ini ada kalanya memberikan kelebihan kepada orang yang didengki itu. Hal ini demikian kerana kata-kata yang berunsurkan hasad dengki membongkar rahsia kebaikan di sisi orang yang didengki itu tanpa disedari. Pada sisi lain, terbongkar pula kejahatan orang yang menghamburkan kata-kata dengki yang selama ini tidak disedari.

Menurut Imam al-Ghazali, sifat marah, dendam dan dengki diibaratkan seperti luka yang tidak akan sembuh. Orang yang memiliki sifat-sifat ini ialah orang yang aneh kerana perkara tersebut bukan sahaja menzalimi orang lain tetapi juga menzalimi dirinya sendiri. Selain itu, ia juga melihat nikmat yang ada pada orang lain sebagai bencana kepada dirinya. Imam al-Ghazali menambah serangkap madah yang berkaitan dengannya;

          Semua permusuhan
          dapat diharapkan kematiannya
          selain permusuhan
          orang yang memusuhi engkau dari dengkinya.

Selainnya, Imam al-Ghazali juga memetik madah ini apabila menjelaskan tentang perkara tersebut;

          Musuh-musuh itu tiada mati
          akan tetapi mereka hidup berkekalan
          sehingga mereka melihat padamu nanti
          hal-hal yang menyakitkan.

          Senantiasa engkau didengkikan
          diatas sesuatu kenikmatan
          sesungguhnya yang memperolehi kesempurnaan
          ialah orang yang didengkikan.

Imam al-Ghazali memetik syair Ziyad al-A’jam, penyair asal Parsi yang hidup pada zaman pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah Bani Umayyah, ketika mengupas tentang kesan dan bahaya fitnah;

          Engkau adalah manusia
          kalau aku mempercayaimu
          lalu dengan sembunyi engkau berkhianat
          dan adakalanya engkau berkata suatu perkataan tanpa ilmu.

          Maka engkau termasuk dalam urusan
          yang ada di antara kita
          seakan-akan di antara
          pengkhianatan dan dosa.

Dalam madah tersebut, penegasan diberikan terhadap hubungan antara fitnah dengan khianat. Kedua-duanya saling berkait kerana asas utamanya adalah berlakunya perlanggaran kepercayaan. Atas sebab itulah Imam al-Ghazali menyimpulkan fitnah sebagai kejahatan yang besar. Tambahnya, fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Ketiga-tiga perkara tersebut menjadi tungku kepada dapur kehinaan.

Walaupun Imam al-Ghazali mengasingkan sifat marah daripada bahaya lisan, namun kedua-dua sifat dan bahagian ini mempunyai hubungan yang sangat erat. Hal ini disebabkan kedua-duanya berkaitan dengan tabiat dan peribadi. Oleh itu, menahan kemarahan di tempat yang betul dianggap sebagai sifat yang terpuji. Imam al-Ghazali memetik madah yang dikarang oleh Mahmud al-Warraq, penyair ulung yang hidup pada zaman kerajaan Abbasiyyah dan meninggal dunia di Kufah sekitar tahun 844 Masihi;

          Aku haruskan diriku
          memaafkan setiap yang berdosa
          walaupun banyak atasku
          kesalahan yang dikerjakannya.

          Tiadalah manusia
          selain satu, dari tiga
          yang mulia, dan yang hina
          dan yang sepertiku, yang sama.

          Orang yang diatasku
          maka Aku kenal tingkatnya
          akan aku ikut kebenarannya
          dan kebenaran itu harus adanya.

          Orang yang dibawahku
          kalau ia berkata
          Aku jaga dari jawabannya kehormatanku
          walaupun dikeji oleh pencela.

          Adapun orang yang sepertiku
          kalau ia terlanjur atau salah
          Aku bersikap utama, kerana keutamaan itu
          adalah hakim kepada tidak mudah marah.

Setiap sifat manusia itu perlu diletakkan pada kedudukan atau tingkatnya yang betul sebagaimana madah yang dipetik oleh Imam al-Ghazali;

          Meletakkan embun
          pada tempat pedang dengan ketinggian
          itu melarat, seperti meletakkan
          pedang pada tempat embun.

Embun yang lembut dan cair tidak mungkin dapat bersatu dengan pedang yang keras dan tajam melainkan kedua-duanya diletakkan pada tempat yang betul agar dapat memberikan faedah kepada pemakainya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.