Oleh Harlym Yeo
3 Ogos 2022, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran program baca puisi bulanan PEMUISI di DBP ke-7 mendapat pujian dan penghargaan atas usaha PEMUISI yang berjaya merakyatkan genre puisi dengan pembabitan khalayak luar bidang sastera melalui kehadiran bukan sahaja kelompok peminat puisi tetapi juga penglibatan pelbagai bangsa, latar belakang, kecenderungan minat, dan kerjaya. Demikian sebahagian daripada inti pati ucapan perasmian yang disampaikan oleh Dato’ Amran Mohamad, Presiden Persatuan Perunding dan Perkhidmatan Geosains Malaysia (MyGeo), selaku perasmi program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Saya juga berasa sangat berbangga kerana dalam era langit terbuka pada ketika ini masih ada kelompok-kelompok yang berdiri teguh untuk mempertahankan entiti bahasa sebagai jati diri bangsa kita,

ujar Dato’ Amran ketika menyampaikan ucapan beliau.

“Saya seolah-olah berada dalam barisan pejuang-pejuang yang tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memperjuangkan bahasa Melayu khususnya karya-karya kepemuisian yang dihasilkan melalui puisi. Indahnya, dalam majlis ini bukan sahaja kelompok pemuisi, penggiat, dan peminat seni yang hadir malahan turut juga dihadiri kelompok orang awam tanpa mengira bangsa, latar belakang, kecenderungan minat, dan kerjaya. Situasi ini membuktikan bahawa genre puisi sememangnya diterima oleh semua kelompok masyarakat dan syabas kepada PEMUISI yang telah berjaya memasyarakatkan puisi,” puji beliau lagi.

Ucapan perasmian disampaikan oleh Dato’ Amran Mohamad, Presiden Persatuan Perunding dan Perkhidmatan Geosians Malaysia (MyGeo).

“Puisi merupakan wahana sejagat yang menjadi alat kedamaian dan menyatukan kemanusiaan. Pemuisi melahirkan luah rasa dengan menggunakan kata-kata indah bagi menggambarkan pemikiran mereka secara absurd,” ujar Dato’ Amran.

Melalui ucapan alu-aluan, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau juga dikenali sebagai Wanrazuhar menyeru penglibatan para peminat puisi di luar bidang sastera untuk turut serta dalam kegiatan PEMUISI yang berpegang kepada misi suara kemanusiaan sejagat.

Kata beliau dalam usaha memasyarakatkan puisi, setiap program bulanan mengundang tetamu yang bukan bidang sastera bagi mendekatkan sastera khususnya puisi kepada masyarakat keseluruhannya.

“Pada malam ini, tema yang dipilih ialah ‘Bumi Indah Lestari’ yang bersesuaian dengan bidang tetamu undangan utama kita, YBhg. Dato’ Haji Amran Mohamad yang merupakan seorang geologist,” kata Dato’ Radzuan.

“Kita tidak dapat lari daripada berinteraksi dengan alam ciptaan tuhan. Bagi pemuisi, sering kali alam khususnya menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan karya,” kata Dato’ Radzuan.

Dato’ Radzuan juga menekankan dengan berkata, “kita dapat menyaksikan kerakusan manusia mengaut keuntungan di peringkat maksima telah menebang pokok-pokok, menggondolkan bukit bukau, sehingga sungai menjadi cetek dan menimbulkan pelbagai masalah seperti tanah runtuh, banjir besar sehingga mendatangkan kemusnahan harta benda, dan kehilangan nyawa. Kerakusan manusia ini dapat dilihat seolah-olah alam melawan kita dengan berlakunya pelbagai bencana dan musibah. Dalam keadaan ini sering kali menjadi bahan untuk pemuisi berkarya. Dan selalunya, pemuisi memberi saranan, kesedaran dalam bahasa yang tersusun indah dan berkesan kepada pembacanya”.

Persembahan oleh Kumpulan The Shining Trio dari Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist Sentul, Kuala Lumpur.

Program malam itu ternyata memberikan kenangan istimewa dengan penampilan kumpulan tiga beradik daripada Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist Sentul, Kuala Lumpur yang terdiri daripada Chang Xuan Ni, Chang Hao Yuan, dan Chang Hao Sheng. Kumpulan ‘The Shining Trio’ itu membuat persembahan nyanyian yang menggamit kemeriahan dan tepukan gemuruh sebagai acara mukadimah program malam itu.

Turut terlibat memberikan komitmen persembahan yang mantap adalah dari kalangan para pemuisi, penggiat seni sastera, tokoh tersohor, guru sekolah, pelajar sekolah dan orang awam.

Antara yang membuat persembahan malam itu adalah Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari, Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob (Naib Canselor Universiti Malaya ke-8), Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman (Timbalan Presiden PEMUISI), Ismail Ahmed @ Adiwangsa Sukma (Pengarah Pusat Kebudayaan USIM), Dr. Needu Chelian, Awang Abdullah dan Mimi Gua Musang, Izaad SS, Man Bakrie, Samsudin Ahmad, Mohamad Diani @ Kancil, Mawaddah Bt Marzelan, dan Dang Merduwati serta dua orang guru seni teater daripada Sekolah Seni Malaysia Johor iaitu Cikgu Siti Nurul Naquiah dan Cikgu Siti Badariah.

Program sekitar dua jam itu dikemudikan dalam suasana santai dan ceria oleh pengacara Harlym Yeo, Exco PEMUISI.

Edisi bulan Ogos program PEMUISI di DBP ke-8 bersempena dengan bulan kemerdekaan negara dijangka bersiaran pada 27 Ogos 2022, Sabtu, 8.30 malam di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur. Penganjur mengalu-alukan penyertaan peminat puisi Melayu sebagai penonton ataupun peserta untuk terlibat menjayakan program dengan menghubungi Timbalan Setiausaha PEMUISI, Marzelan Perindu Seni di nombor +6013-269-5581.

Tonton acara penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!