Oleh Suyuthi Yusuf
29 Julai 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Terdapat juga karya lain berkaitan dengan kerajaan Negeri Kedah yang boleh diangkat sebagai karya agung”, ujar Prof. Dr. Jelani Harun menerusi ucapan ucap tamanya dalam Wacana Karya Agung Melayu Hikayat Merong Mahawangsa. 

Sebelum menyatakan karya-karya tersebut, beliau terlebih dahulu menjelaskan tentang konsep karya agung. Terdapat pelbagai anggapan apakah sebenarnya yang ditakrifkan sebagai karya agung. Apakah ciri-ciri sesebuah karya klasik yang boleh mewajarkan ‘dirinya’ digelar sebagai karya agung? Menurut beliau, karya agung ialah:

hasil persuratan tinggi dan terbaik yang mewakili sesuatu sejarah bangsa yang terkandung didalamnya nilai, pemikiran, kesenian, budaya, kearifan dan sebagainya. Sifat karya agung ialah warisan bangsa Melayu dan nusantara, dan bukannya bermaksud karya agung untuk sesebuah negeri semata-mata. Karya agung merupakan warisan Kesultanan Melayu Nusantara.

Apabila bercakap tentang karya klasik yang berkaitan dengan sejarah kerajaan Negeri Kedah, maka pastinya umum lebih mengetahui tentang Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). Namun begitu, terdapat beberapa karya lainnya yang tidak lebih kurang hebatnya dengan HMM. Menurut beliau, terdapat lagi beberapa karya lain yang mempunyai nilai sastera, kesenian dan pemikiran tinggi yang boleh dianggap juga sebagai karya agung. Karya-karya tersebut ialah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (1928), 2951 surat-surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943), Undang-Undang Kedah, Syair Sultan Maulana, dan Undang-Undang Adat Negeri Kedah Milik Ku Din Ku Meh (1893).

Antara karya lain berkaitan dengan kerajaan Negeri Kedah.

Selain itu, beliau juga menyatakan perlunya penelitian dan kajian yang lebih lanjut dilakukan terhadap karya Salasilah atau Tarekh Kerja-an Kedah (1911) yang ditulis oleh Wan Yahya dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman nukilan Muhammad Hassan.

Keterangan tentang Salasilah atau Tarekh Kerja-an Kedah.
Keterangan tentang Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman.

Karya Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tulisan Muhammad Hassan menarik untuk dikaji kerana karya tersebut menawarkan perspektif sejarah Kedah yang baru dan membawa implikasi yang besar, terutamanya dari sudut perbandingan asal usul Kesultanan Kedah menerusi karya tersebut dengan HMM.

Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah perlu terus diterbitkan dalam bentuk yang baharu, dilestarikan melalui sejarah Kesultanan Kedah, diwacanakan melalui penulisan novel sejarah, kearifan tempatan, filem dan sebagainya. Kedua-dua buah karya saling lengkap-melengkapi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.