Oleh Suyuthi Yusuf
22 Julai 2022, 20:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ampang – Majlis Pelancaran Album Lagu-lagu Puisi dan Buku Kumpulan Puisi Sebatang Pohon Tua, karya Dato’ Wanrazuhar, Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) telah diadakan di Hotel Grand Barokah, Ampang pada petang tadi. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang melancarkan album lagu puisi dan buku kumpulan puisi tersebut.

Album Lagu-lagu Puisi dan Buku Kumpulan Puisi Sebatang Pohon Tua, karya Dato’ Wanrazuhar.
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri  Hamad Kama Piah Che Othman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dalam ucapan kata-kata aluan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri  Hamad Kama Piah Che Othman, Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau menyatakan bahawa kedua-dua karya Dato’ Wanrazuhar tersebut akan meningkatkan penghayatan berkarya dalam aspek puisi dan muzik.

Kebolehan beliau dalam penciptaan puisi dan lagu puisi merupakan kebolehan yang istimewa. Sajak-sajak Wanrazuhar ini cuba membawa kedua-dua aspek puisi dan muzik untuk kita nikmati. Selain itu, ciptaan ini bukanlah perkara yang mudah kerana beliau mencantumkan bunyi kata-kata dan pilihan bahasa yang tersendiri untuk menghasilkan irama yang sesuai kepada khalayak.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan penghargaan.

Selain beliau, turut hadir dalam majlis tersebut dan menyampaikan ucapan ialah YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaan kepada Persatuan PEMUISI yang aktif dalam menggerakkan dunia kesusasteraan melalui kegiatan puisi serta memunculkan bakat baharu dalam bidang kesusasteraan.

Dalam usaha mengangkat puisi sebagai suatu seni budaya, tidak harus kita lupakan juga peranan dalam menyisipkan dan menyerapkan perjuangan yang berkaitan dengan persoalan kebangsaan, bahasa, pendidikan, dan akhlak. Sastera termasuk puisi hendaklah menggalas tugas ‘memanusiakan manusia’ kerana sekian banyak manusia yang telah hilang sifat manusianya.

YB. Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika memberikan ucapan perasmian dan pelancaran karya.

Selain itu, YB. Senator Datuk Ras Adiba Radzi juga turut memberikan penghargaan kepada Dato’ Wanrazuhar kerana berjaya menghasilkan kedua-dua karya yang cukup bermakna tersebut. Dalam ucapan perasmian dan pelancaran majlis tersebut, beliau turut menyentuh tentang betapa kurangnya lagu puisi sekarang didendangkan dan dihayati, terutamanya oleh generasi muda.

Anak muda lebih suka mendengar lagu pop dan moden sahaja. Tanggungjawab kita untuk memastikan kelangsungan lagu puisi, gurindam, seloka, syair, nazam dan sebagainya.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut berkesempatan menyanyikan lagu sajak SN Usman Awang bertajuk ‘Gadis di Kuburan’.

YB. Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika melancarkan album lagu puisi dan buku kumpulan puisi.

Profesor Madya Norhayati Ab Rahman ketika membicarakan buku kumpulan puisi tersebut.

Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Madya Norhayati Ab Rahman ketika memberikan ulasan terhadap buku puisi ini menyatakan bahawa usaha Dato’ Wanrazuhar ini menarik dan istimewa kerana melibatkan dua karya, iaitu penghasilan buku puisi dan album lagu puisi. Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa:

Puisi sudah ada muziknya sendiri sebelum diberikan muzik untuk dinyanyikan. Lagu puisi ini bukan sahaja untuk hiburan semata-mata, tetapi mengandungi nilai moral, pengajaran, dan falsafah yang boleh membentuk nilai kehidupan seseorang.

Dato’ Wanrazuhar sedang menyanyikan lagu puisi ciptaannya.

Seterusnya, majlis tersebut diakhiri dengan persembahan nyanyian lagu puisi oleh Dato’ Wanrazuhar sendiri serta ahli persatuan PEMUISI.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!