20 Julai 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat “Kepentingan bidang penulisan kreatif di Malaysia sewajarnya diperkenalkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat dan lapisan masyarakat. Hal ini demikian kerana semua karya penulisan kreatif seperti cerpen mempunyai pelbagai nilai murni ekstrinsik dan intrinsik yang menjadi teladan kepada orang ramai menerusi pembacaan cerpen.

“Oleh itu, penerapan nilai murni ekstrinsik dan intrinsik dalam proses pembacaan cerpen diharapkan memberi pengajaran kepada orang ramai. Selain itu, penerapan nilai ekstrinsik dan intrinsik menerusi pembacaan cerpen akan membentuk kemahiran insaniah dan sahsiah diri yang tinggi kepada pembaca.”

Demikian ucapan yang disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Batu Pahat, Johor pada 18 Jun 2022.

SAMPENG 2022 merupakan sebuah program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat. SAMPENG 2022 diharapkan dapat menggilap bakat penulis cilik untuk menghasilkan karya kreatif, selain menggalakkan peserta menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis dalam bentuk penulisan berimpak positif.

Kebanyakan peserta penulisan kreatif menurut YB Dr. Noraini lahir dalam era milenium sebagai Generasi Y yang menjalani kehidupan dalam gelombang modenisasi. Namun begitu, kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea masih dikekalkan.

Penganjuran SAMPENG 2022 menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Naib Canselor UKM pula bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan ke arah menjulang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

SAMPENG 2022 yang terbuka kepada pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong telah menyaksikan penyertaan lebih 32 buah sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah di Kawasan Parit Sulong. Selain itu, 16 karya cerpen terbaik yang dihasilkan oleh peserta sayembara telah dihimpunkan dalam sebuah buku bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong. Secara keseluruhannya, Majlis Pelancaran Buku Ceritera Kulawangsa Parit Sulong telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Semua pemenang utama SAMPENG 2022 bagi Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah bergambar bersama YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022, YB Datuk Seri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sayembara cerpen yang terbahagi kepada dua kategori. Pemenang Tempat Pertama Kategori Sekolah Rendah menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM750, Tempat Kedua berjumlah RM500 dan Tempat Ketiga berjumlah RM350. Manakala, pemenang Tempat Pertama Kategori Sekolah Menengah pula menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM1000, tempat kedua berjumlah RM750 dan tempat ketiga RM500.

Secara keseluruhannya, Majlis Penutupan SAMPENG 2022 menampilkan persembahan deklamasi puisi khas oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Penutupan SAMPENG 2022 ialah Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT dan Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahman, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Kredit Foto: Dato’ Dr. Noraini Ahmad/Facebook

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.