Oleh Salman Sulaiman
18 Julai 2022, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman membuka persoalan tentang perbincangan menemui kesempurnaan dalam pengucapan puisi.

Kami bergandingan bukan untuk menggariskan hukum sekian dan sekian, agar penyair kita menulis sajak begini atau begitu. Bukan.

Apabila esei kritikan saya, “Sukarnya Mencari Kesempurnaan Pengucapan” (Dewan Sastera Bil.03/2022) yang menganalisis sajak-sajak yang dimuatkan dalam majalah Dewan Sastera (DS) keluaran Februari 2022 memberikan teguran dan saranan penambahbaikan terhadap semua sajak tersebut, atau dengan bahasa mudahnya – “semua sajak kena”, maka terhasilnya maklum balas dan perbincangan antara editor DS Sdr. Fadli al-Akiti dengan saya tentang payahnya hendak menemukan sajak-sajak yang benar-benar bagus mutakhir ini. Daripada masalah pokok yang kami bincangkan tadi, timbullah saranan daripadanya agar saya bercakap khusus dalam satu forum atau wacana khas berkenaan hal itu.

Sdr. Fadli bertanyakan, siapa panel gandingan yang saya inginkan ketika berbicara nanti, walaupun beliau menamakan seorang penulis muda yang lain. Saya mencadangkan Lutfi Ishak atas kapasitinya sebagai ketua angkatan muda, pengiktirafan yang saya sendiri berikan dalam esei “Menikmati Karya Malar Segar Para Penyair Muda” (Tunas Cipta Bil.04/2022) kerana keunggulan karya besarnya, Dondang Pembukaan. Rentetan itulah wujudnya program Sembang Tamu: Kesempurnaan Pengucapan Puisi – Jalan yang Berliku yang akan berlangsung pada 19 Julai 2022. Pemilihan nama Lutfi sebagai gandingan duet dalam forum-wacana nanti bukan atas kapasiti sahabat atau kawan rapat.

Kami bergandingan bukan untuk menggariskan hukum sekian dan sekian, agar penyair kita menulis sajak begini atau begitu. Bukan. Munculnya kami nanti bukannya untuk mengatakan sajak kami sahajalah yang bagus, sajak orang lain hampas belaka. Jauh sekali tidak!

Patutkah sekali lagi saya menukilkan semula hal yang diperkatakan oleh Prof. Ali Ahmad dalam buku Asas Menganalisa Sajak (Fajar Bakti, 1971) puluhan tahun lalu tentang kualiti sajak-sajak penyair pada zamannya? Bukankah kini tahun 2022, mengapa perlunya kita masih mengguna pakai hujahan lama? Tapi, apa salahnya diulang kembali jika sifat rata-rata sajak penyair kita masih tidak berubah walaupun sudah lebih 50 tahun kenyataan tersebut dikeluarkan oleh sarjana sastera Melayu kelahiran Batu Pahat itu. Mungkin sudah ramai yang (barangkali) jemu membaca Pesisir Waktu Latiff Mohidin, Sihir Hujan Sapardi, Sekepal Tanah Rahimidin, dan Petang Condong T. Alias Taib?

Kita tahu ramai yang merujuk karya-karya tersebut untuk mendapat ilham dan inspirasi bagi menghasilkan sajak sendiri yang baik. Jemu dan bosan, dengan maksud, tidak adakah karya lain lagi yang mampu menandingi karya-karya yang telah mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan ini, iaitu karya baharu daripada hasil karangan para penyair muda kita? Sebuah karya “boom” dan menakjubkan ciptaan para penyajak generasi baharu Malaysia. Dan, cukupkah kita dengan memiliki Membentuk Elok di Teluk Esok Abizai, Bahasa Senjata Sahrunizam Abdul Talib, Salju Shibuya Muhammad Haji Salleh, dan Negeri Kunang-kunang Ridzuan Harun?

Atau, bacalah saja Sajak-sajak Pendatang Muhammad Haji Salleh dan Kemarau di Lembah Kassim Ahmad sehingga lunyai. Atau telaah saja Di Malam Gelita Ini Suhaimi Haji Muhammad, Jalur-jalur Rindu Jamaludin D. dan Kopratasa Aziz H.M. seperti biasa, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dalam arena puisi Melayu.

Apakah kesannya terhadap arena persajakan kita dengan munculnya tiga buku sajak yang memenangi Hadiah Utama dalam Sayembara Penulisan KLWBC 2020? Kumpulan sajak yang dimaksudkan ialah Minotaur yang Bijaksana dalam Labirin Pulau Kami karya Jasni Matlani, Ratib Fikir dan Qasidah Zikir Terakhir oleh Husna Nazri dan Dalam Mimpi yang Bermimpi hasil tulisan Indra Jokina. Atau teruskan saja terpesona dengan O Amuk Kapak Sutardji Calzoum Bachri, Blues untuk Bonnie Rendra, Kekasihku Joko Pinurbo, Aku Ini Binatang Jalang Chairil Anwar, Aku Ingin Jadi Peluru Wiji Thukul, Gitanjali Rabindranath Tagore, Rahsia-rahsia Diri Iqbal, Ruba‘i Hamzah Fansuri, dan Mathnawi Jalaluddin Rumi.

Hendak mendengar kami belasah-tibai orang? Mahu melihat kami hentam penyair? Pun jangan. Kita hanya mahu duduk, dan berbincang; bersembang dan bertukar-tukar fikiran, tentang satu perkara yang sangat rumit sebenarnya. Bantulah kami untuk sama-sama merungkaikannya nanti.

Ingin mengetahui penyair mana yang akan kami angkat sebagai pengarang besar yang sepatutnya dicontohi? Ini juga rumit. Sangat rumit. Menyenaraikan nama-nama penyair yang sepatutnya dibaca karya-karyanya sebenarnya bukanlah tugas kami, kerana sekian banyak buku sajak diterbitkan setiap tahun. Anda boleh memilih untuk membaca yang mana satu anda suka. Bukan kerja kami untuk menentukan. Jika dikatakan hanya buku-buku sajak ini dan ini yang patut dibaca kerana menghidangkan karya-karya berkualiti, bagaimana nasib buku-buku sajak yang lain? Sedangkan buku-buku tersebut diterbitkan untuk disebarluaskan dan agar dibaca, seboleh mungkin, oleh sekian ramai orang.

Saya bukan tukang cincang karya orang, tapi saya hanya mahu berbincang. Sebagai tamu, kami dijemput untuk berbual “santai – tapi berisi” tentang satu perkara yang sedemikian rumit, serta tentang mutu dan keindahan yang begitu subjektif sifatnya. Sangat rumit dan sukar sebenarnya. Apa-apa pun, ayuh kita bersembang!

Kredit Gambar: Donald Wu/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.