Oleh Karmila Azmi
21 Jun 2022, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Penulis kelahiran Mbabane, Eswatini (nama baharu untuk Swaziland), Ntsika Kota, 29, diumumkan sebagai pemenang keseluruhan Hadiah Cerpen Komanwel 2022.

Kota meraih kemenangan itu menerusi karyanya, “and the earth drank deep”  menewaskan 6729 penyertaan lain dan menerima habuan sebanyak £5000.

Yayasan Komanwel ketika mengumumkan kemenangan Kota dalam satu majlis dalam talian berkata, Kota ialah penulis pertama dari Eswatini yang memenangi hadiah tersebut. Beliau juga merupakan penulis pertama dari negara itu yang disenarai pendek.

Cerpen tulisan Kota mengisahkan sekumpulan penduduk kampung dalam masyarakat pemburu-pengumpul yang berlatarkan masa lalu generasi lampau. Cerpennya menceritakan situasi mereka ketika menghadapi ancaman daripada haiwan liar, penyakit dan kematian yang tidak dijangka. Hal yang menarik mengenai karya ini ialah cerpen ini turut menyentuh mengenai beberapa aspek hierarki sosial kampung itu yang sangat longgar berdasarkan budaya Nguni dari Afrika Selatan.

Juri yang mewakili wilayah Afrika, penerbit Rwanda Louise Umutoni-Bower berkata, karya yang dihasilkan oleh Kota ialah naskhah yang menggunakan cerita rakyat Afrika dalam menyampaikan pemikirannya.

“Cerita rakyat yang diolah kekal pada kebenarannya tetapi bentuk dan capaiannya kini lebih besar. Saya secara peribadi dapat kembali ke masa lampau sewaktu kecil apabila mendengar kisah keperwiraan orang Rwanda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Juri Guyana Fred D’Aguiar berkata, “pemenang tahun ini tampil dengan naratif klasik dalam tradisi cerpen realis.

“Naratifnya mengungkapkan keangkuhan dan ketegangan yang berkumpul tetapi dileraikan dengan kejutan yang meninggalkan pembaca dengan banyak soalan.

“Gaya persembahannya juga ringkas dan berterus terang, namun Kota mampu mengawal elemen watak dan plot untuk memikat hati pembaca yang paling skeptikal,” katanya.

Sementara itu, Kota, seorang ahli kimia terlatih berkata, kemenangan itu di luar jangkaannya.

“Saya tahu kaliber hadiah ini dan penghakimannya. Jadi saya tidak pernah terbayang saya berpeluang untuk menang. Namun dalam rasa tidak terjangka itu, cerpen saya sudah pun berada dalam senarai pendek, maka hal itu pun sudah cukup membahagiakan.

“Namun begitu, saya tidak dapat mengelak daripada bermimpi untuk memenangi hadiah. Hal ini tidak masuk akal, saya seorang amatur tetapi saya menang dan hal ini sangat mengejutkan,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!