Oleh Rosli K. Matari
16 Jun 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari mencungkil beberapa sisi kreativiti Isma Ae Mohamad semasa di meja tulis.

Pengarang ialah anak zaman. Sesuatu zaman itu disuarakan oleh pengarang yang hidup pada zamannya.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan tentu terkejut besar jika didedahkan kenyataan bahawa berpunca daripada novel beliaulah – Naratif Ogonshoto (2001) – menyebabkan Isma Ae Mohamad terdorong tekad mengarang novel.

Namun, tentulah saya yang lebih awal terkejut, mendahului Anwar Ridhwan.

Meski terkejut dengan pengakuan itu, hal ini menggembirakan dan membanggakan saya juga. Kreativiti Isma Ae dalam genre novel bertitik tolak daripada tokoh pengarang dari tanah air ini – bukan dari luar – sebagai rangsangan.

“Apakah ada kemungkinan – jika tanpa Naratif Ogonshoto – maka Isma Ae tidak akan mengarang novel?”

“Ya. Mungkin tidak. Atau mungkin lambat. Pada masa itu, saya sama sekali belum ada hasrat mengarang novel,” beliau tidak mengambil masa yang panjang menjawab.

Ertinya, kesedaran itu tetap kukuh dalam mindanya.

“Sejauh mana Isma Ae berasa sangat terangsang oleh Naratif Ogonshoto? Kalau boleh jelaskan sedikit lagi.”

“Itulah novel yang sangat bagus. Hebat sekali. Membacanya, saya terus terangsang ingin turut mengarang novel juga. Sampai sekarang, saya masih tetap ingat. Kuat sekali, rasa rangsangan itu. Sebelum habis bacaan itu pun, saya sudah rasa tidak sabar ingin turut memulakan menulis novel. Ingin memiliki novel sendiri.”

“Sudah pernah jumpa Sasterawan Negara itu?”

“Acap juga.”

“Wahhh. Hebat ni. Di mana, biasanya?”

“Jumpa melalui gambarnya sahaja,” Isma Ae berjenaka. Kami gelak. Berdekah.

Novelis Melayu kelahiran Thailand, Isma Ae Mohamad, 39, yang ikut menyumbangkan peranan penting dan sedang meningkat terkenal dalam pengisian dinamika kesusasteraan mutakhir Malaysia, tentulah tidak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar lagi tentang kaliber kepengarangannya kepada khalayak di tanah air.

Sejumlah novel karya beliau yang bercorak imaginatif faktual berteraskan sosiobudaya masyarakat Melayu di selatan Thailand yang mengisikan kesegaran nafas baharu dikagumi oleh kalangan pembaca sastera di negara ini.

Demikian, Isma Ae mampu menonjol sebaris dengan para novelis mutakhir yang terkenal di tanah air ini.

Saya bersama-sama dengan Penyelaras persatuan Liga Penulis Kelantan (LPK), Mohd Dahri Zakaria dan penulis pelapis Kelantan, Nik Mohd Hafiz Abdullah, berkesempatan bertemu novelis terkenal ini, pada petang janji temu, baru-baru ini. Bertempat tidak berapa jauh dari stesen kereta api di Wakaf Bahru, Tumpat, Kelantan. Janji temu berlangsung melalui usaha Dahri, sebagai sahabat akrabnya. Beliau menangguhkan sehari dua kepulangannya ke Bangkok, memenuhi hasrat kami ingin bertemu dengannya.

Di sebuah restoran pada petang itu, sebahagian perkara yang cukup menarik dalam sembang mesra kami dengan beliau, turut juga menyentuh kreativiti kepengarangannya.

“Sebelum ini, saya selalu mengelak, mengalih isi perbualan, kalau ada yang cuba fokus, ingin mengetahui cara saya mengarang,” Isma Ae berterus terang, namun secara merendah diri. Saya ingin beliau ceritakan proses kreativitinya.

“Apakah ada sesuatu yang harus dirahsiakan?” Hafiz mencelah. Mungkin menyangka hal demikian sebagai sulit kerana pengarang ini, dalam sebahagian kerja kreativitinya, memaparkan sosiobudaya masyarakat Melayu di selatan Thailand, turut menyelitkan peristiwa pergolakan di sana.

Isma Ae tertawa.

Dahri, di sebelahnya tersenyum. “Novel-novel Isma Ae ialah rakaman dan imaginatif yang berkait dengan sosiobudaya masyarakat Melayu di selatan Thailand. Bukan bermatlamatkan meniupkan api perjuangan di sana,” ujar Dahri. Beliau cepat menerangkan kerana Hafiz belum sepenuhnya membaca lengkap semua karya pengarang itu. Lebih-lebih lagi kerana Dahri ialah sahabat akrab Isma Ae. Beliau lebih mengetahui dan memahami dasar kreativiti sahabat akrabnya itu.

“Bukan rahsia,” Isma Ae menjawab kepada Hafiz. “Tidak ada suatu rahsia pun. Maksud saya, cuba mengelak, kerana saya bukan pengarang hebat atau besar. Tidak pernah pun rasa demikian. Itulah, saya segan. Jika menceritakan, maka seolah-olah saya ini pengarang penting, sehingga harus diketahui oleh orang lain.”

Dahri tersenyum panjang. Hafiz terkebil memandang saya. Saya berasa seolah-olah dapat membaca isi hati Hafiz. Mungkin dia ingin berkata, “Memang Isma Ae pengarang penting.” Saya membalas dengan senyuman ke wajah Hafiz.

“Abang Rosli akan tulis (tentang perbualan) ini, ya?” Isma Ae tidak menatap saya ketika soalan itu diajukannya. Sebaliknya, memandang sahabat akrabnya itu. Bagai meminta kepastian. Namun, Dahri tergelak dan senyum panjang sahaja.

“Pengarang ialah anak zaman. Sesuatu zaman itu disuarakan oleh pengarang yang hidup pada zamannya. Itulah sebabnya, pengarang ialah milik masyarakat dan untuk masyarakat,” saya bagai terpaksa, harus menegaskan demikian kerana ingin mengetahui lagi proses kreativiti kepengarangannya. Terutama untuk turut dikongsikan pengetahuan bersama masyarakat pembaca dan peminat sastera. Apatah lagi kerana terdapat kalangan pembaca yang meminati karya novelnya.

Isma Ae diam, sejenak. Bagai berfikir atau merenung.

Kami hanya mampu termenung – sedih – memikirkan nasibnya sebagai individu yang bagai terumbang-ambing antara dua belahan negara.

“Saya bermula dengan menulis pelbagai artikel,” Isma Ae mendedahkan kepengarangan awalnya kepada kami.

“Agak banyak juga, semua artikel itu. Pelbagai majalah dan akhbar. Tetapi lebih banyak pada majalah. Selepas itu, baru saya cuba menulis cerpen.”

“Semua itu media massa di Malaysia?”

“Ya, kerana saya tinggal di sini, di Malaysia. Sebelum pergi ke Bangkok, menetap di sana.”

“Apa nama-nama majalah itu, bang?” Hafiz mencelah.

“Sekadar ingat – antaranya ialah Majalah i, Dewan Masyarakat dan Dewan Ekonomi. Kalau akhbar, antaranya ialah Siasah,” beliau menerangkan kepada Hafiz.

“Majalah Milenia Muslim juga,” Dahri menokok.

“Tentang apa kebanyakan artikel itu?” Hafiz bertanya lagi.

“Pelbagai juga. Kemasyarakatan. Juga isu semasa.”

“Adakah ketika itu sudah bermula juga menulis tentang masyarakat Melayu di selatan Thailand?”

“Ya,” Isma Ae masih menjawab kepada Hafiz.

Isma Ae berfokuskan penulisan artikel yang bermula pada tahun 2007, dimulai dengan sebuah artikel ulasan buku sebagai tulisan pertamanya. Selepas dua tahun kemudian, pada tahun 2009, barulah beliau mengalihkan minatnya dalam genre cerpen. Karya cerpennya juga tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah.

Artikel pertama yang tersiar itu, beliau mengulas buku Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tersiar dalam majalah Milenia Muslim (November 2007). Sementara itu, judul cerpen pertama dan media yang menyiarkannya, tidak diingati oleh beliau. Kecuali beliau mengingati tahun 2009 sebagai tahun karya cerpen pertamanya disiarkan.

Dari jarak 2009 sebagai tahun pertama cerpennya tersiar itu, tahun 2016 pula menyaksikan Lelaki Patani dan Gadis Korea Utara sebagai cerpen terakhir yang dihasilkan oleh beliau setakat kini. Cerpen ini tersiar dalam laman maya www.jalantelawi.com (kini dihentikan) pada 25 Disember tahun tersebut. Menariknya, cerpen ini terpilih untuk dimuatkan dalam kumpulan Cerpen Terbaik 2016 terbitan FIXI bagi tahun itu.

Cerpen Isma Ae Mohamad yang tersiar dalam Tunas Cipta Disember 2013.

Selain itu, ada suatu lagi yang turut menarik juga untuk diketahui. Sebuah cerpennya berjudul “Cerita dari Sungai Golok” tersiar dalam majalah Tunas Cipta (Disember 2013) – inilah tipa induk yang kemudian berjaya dikembangkannya lagi menjadi novel, yakni novel ketiga beliau, iaitu Republik Sungai Golok (Dubook Press, 2016). Novel ini merupakan salah sebuah novel beliau yang cukup terkenal. Malahan, watak utama novel ini juga kemudian berkembang secara lebih dinamik dalam novel Sawasdee Bangkok (KEA Darul Falah, 2019).

Sebahagian karya cerpen beliau kemudian dihimpunkan dan diterbitkan dalam kumpulan cerpen bertajuk Cerpen-cerpen Bangsa Patani (Thukul Cetak, 2019).

Meski sudah enam tahun, beliau tidak menumpukan kreativitinya dalam genre cerpen lagi. Namun saya yakin, beliau tentu akan kembali mencelah genre cerpen semula, kerana kini, beliau benar-benar sedang berusaha mendinamikkan kreativiti dalam genre novel.

Sepanjang kreativitinya mengarang cerpen, sebuah cerpennya dahulu pernah terpilih memenangi hadiah. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahinya. Beliau kemudian dihubungi semula oleh pihak sekretariat, memohon maaf namanya harus ditolak sebagai pemenang kerana didapati beliau warganegara kelahiran di luar Malaysia.

Namun begitu, Isma Ae memohon agar saya tidak memperpanjang lebar tentang cerpen dan hadiah itu. Dahri sendiri pun, walau sebagai sahabat akrabnya, tidak pernah dapat mencungkil tentang cerpen dan hadiah itu. Kejap sekali beliau menyimpan rahsia dan kenangan peristiwa itu.

Kami hanya mampu termenung – sedih – memikirkan nasibnya sebagai individu yang bagai terumbang-ambing antara dua belahan negara. Sehingga hadiah yang dimenanginya pun harus cepat-cepat dibatalkan. Padahal, beliau membesar sejak “merah bayi”, bersekolah, berpuluh-puluh tahun menetap di sini, malah menyumbang pada dinamika kesusasteraan negara ini. Namun, panel dan sekretariat tidak dapat dipersalahkan. Di atas dokumen, beliau tetap sebagai warganegara luar.

Kami tahu, cinta nuraninya adalah pada negara ini kerana di sinilah beliau dibesarkan “bagai tanah air sendiri”, bersekolah dan mengharung pelbagai cabaran hidup. Bak kata orang-orang tua, “tempat jauh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”. Namun, apakan dayanya, justeru dilahirkan di negara seberang, sebelum kemudian dibawa pulang oleh ibunya, disertai oleh bapanya juga, ke Kelantan. Maka, itulah takdir yang harus diterima.

Kasihan benar, kini ke mana kakinya melangkah – di sini atau ke sebelah sana – jejak kakinya hanya bagaikan “penghijrah”.

Setelah sekian lama mencurahkan kreativitinya dalam perkembangan kesusasteraan di negara ini, meski kini sudah menempatkan dirinya di Thailand, beliau masih tetap berkreatif untuk kesusasteraan Malaysia.

“Jarak dari tulisan pertama – penulisan artikel pada tahun 2007 itu adalah selama empat tahun, sebelum seterusnya menghasilkan novel pertama, Laksar Cinta pada tahun 2010. Berbanding dengan titik tolak cerpen pertama pula pada tahun 2009, setahun kemudian, boleh dianggap sudah cepat untuk menghasilkan novel pertama.”

“Sebenar, bang, saya lambat, terlewat membaca novel.”

“Terlewat pada Naratif Ogonshoto itu?”

“Ya. Itulah sebenarnya, novel pertama yang saya baca.”

“Tetapi Isma Ae memilih novel yang tepat. Salah sebuah novel yang berada pada garis depan dalam sastera Malaysia. Walau lewat, walau kebetulan untuk dibaca. Maksud abang, berguna besar, kerana itulah yang mencetuskan, merangsangkan untuk ikut mengarang novel.”

“Ya. Harap, suatu hari nanti, saya dapat ketemu beliau untuk melahirkan rasa gembira saya. Hutang budi. Terima kasih.”

“Boleh jelaskan sedikit lagi, bagaimana Naratif Ogonshoto itu boleh sampai begitu merangsangkan? Kalau abang boleh duga, Isma Ae mungkin mengagumi teknik penceritaannya?”

“Ya. Setiap cerita dalam novel ini boleh berdiri sendiri.” Kemudian Isma Ae tertawa, “Disebabkan novel itulah, saya berkata dalam hati – aku ingin menulis, memiliki novel yang bagus dan hebat juga.”

Beliau tersenyum lebar, mengenang ingatannya.

“Bacaan novel lain?”

“Selepas itu, memanglah terus membaca novel-novel lain juga. Tetapi, novel Ranjau Sepanjang Jalan begitu meninggalkan kesan mendalam pada hati saya, jiwa saya.”

“Kesan?”

“Saya ingat benar. Itulah novel yang kedua saya baca, selepas Ogonshoto. Seolah-olah Ranjau, kisahnya kisah saya, kisah ibu saya, kisah keluarga saya. Yang benar-benar kami alami.”

“Justeru apa?”

“Abang tahu – saya tidak dapat masuk universiti. Saya bekerja, melakukan serba-serbi kerja kampung. Manakala, salah satu usaha kerja ibu saya pula ialah sebagai petani. Kami menanam padi. Saya membantu kerja sawah. Dulu, saya pandai juga bersawah. Tidak ada wang atau gaji. Sebab menanam padi. Mana ada gaji untuk tanaman sendiri?”

Isma Ae menyambung lagi, “Ada satu tahun – sangat saya ingat sampai bila-bila pun – padi kami – hampa (tidak berisi). Hampa satu sawah kami. Ujian besar daripada Ilahi. Terpaksalah saya berhempas pulas mencari kerja lain. Abang boleh bayangkan, bagaimana kami sekeluarga susah benar, jika tiada padi, beras untuk dimakan?”

Saya diam. Tidak sanggup menjawab soalan itu. Bahkan, Dahri dan Hafiz pun diam. Termenung. Kami membiarkan Isma Ae, sejenak, meladeni Ranjau Sepanjang Jalan dan ingatan panjangnya itu. Tentulah amat merawan hati.

“Isma Ae pada cara mendraf, menulis – adakah lebih menyenangi tulisan tangan, atau terus kepada laptop, komputer?”

Beliau diam sejenak. Namun, tersenyum. Menatap saya yang masih menunggu jawapan.

“Adakah maksud abang – pada cara saya mengarang novel?”

“Ya.”

“Sebenarnya, bang, semua cara itu – adalah tidak.”

Saya terkejut. Hairan amat. Hafiz memandang muka saya. Ertinya, beliau juga disuguhi rasa pelik yang tidak menemukan jawapan untuk diduga. Cara yang bagaimana lagi?

Isma Ae tidak terus menghulurkan jawapan kepada saya. Apalagi untuk cepat meleraikan rasa hairan saya. Beliau termenung. Sejenak. Entah apa sedang dikenang. Entah apa, kalau mungkin harus dirahsiakan. Saya membiarkan sahaja. Tidak ingin memaksa apa-apa, jika hal itu harus sebagai peribadi yang tidak ingin didedahkan.

Lambat-lambat, Isma Ae memberitahu, mendedahkan, “Sebenarnya, Abang Rosli – saya menaip menggunakan telefon.”

“Hah?”

Melenting suara Hafiz. Terkejut benar. Saya juga terkejut. Sebesar debu pun tiada sama sekali dalam fikiran untuk menyangka demikian. Namun, Dahri tersenyum lebar sahaja.

“Mengarang dengan telefon bimbit ini?”

Entah apalah yang harus saya katakan pada Isma Ae apabila menerima jawapan di luar duga itu. Sebak hati. Saya cepat mengagak. Beliau tidak memiliki komputer riba atau komputer peribadi. Mungkin tidak mampu membeli. Namun, segigih itu beliau.

“Tunjukkanlah isi dalam telefon itu,” tukas Dahri dengan penuh senyum kepada Isma Ae. Rupa-rupanya, beliau memang sudah lama tahu begitulah caranya Isma Ae mengarang novel.

“Semua manuskrip – novel Isma Ae, dikarang dan ditaip dengan menggunakan telefon bimbit?”

“Ya, bang,“ beliau mengukuhkan jawapannya sekali lagi kepada saya.

Masya-Allah. Sukar untuk dibayangkan, bagaimana beliau mampu menyiapkan manuskrip novelnya, dengan mengetik huruf-huruf pada telefon bimbit. Novelnya tebal-tebal. Kebanyakannya tidak kurang daripada 200 halaman hingga 300 lebih halaman bercetak. Ratu-ratu Patani misalnya, setebal 311 halaman, Republik Sungai Golok, 327 halaman, dan Sawasdee Bangkok 314 halaman. Itu baru naskhah bercetak. Jikalau manuskrip, tentulah lebih tebal lagi.

Dahri tenang sahaja. Tetapi, Hafiz, merenung ke muka jalan di bawah kaki meja, tidak mengangkat wajah. Saya dapat mengagak, bukan sekadar terkejut sahaja tadi, malah kini terharu. Ya, suatu yang di luar duga bahawa Isma Ae sesukar mana, namun sekali gus segigih itu mendepani cabaran kreativiti dengan tabah.

Asalkan boleh mengarang, walau dengan apa-apa cara sekalipun.

Sejenak, saya mencuri renung pada wajah Isma Ae. Sedikit pun tidak terbayang wajah bagai menanggung beban, luluh-lantak atau rawan ketika dicungkil tentang cara mengarangnya itu. Tenang sahaja. Beliau memang bagai seorang yang tidak pandai senyum. Saya teringat pada kata-kata Dahri ketika kami dalam perjalanan datang, “Dia agak pendiam.” Ya, saya memahami – kesan serba getir hidup yang diharungi sejak zaman kecil lagi. Senyum jarang-jarang, walau hakikatnya, beliau seorang yang mudah mesra. Tawanya pun jarang-jarang.

Saya menerawang.

Sudah tentulah beliau tidak pernah memiliki komputer. Tiada siapa akan memilih untuk mengarang novel dengan cara menaip pada telefon – jika ada kemudahan komputer. Bukan suatu usaha yang mudah, menggunakan telefon untuk mengarang. Menulis sebaris ayat pun kadang-kadang cepat tersasul huruf. Apalagi, novel sebagai karya tebal. ‘Tidak akan’, saya menegaskan dalam hati, mengingat dan membandingkan demikian dengan semua pengarang lain. Hatta, saya sendiri pun.

Barangkali, beliau tidak pernah mampu untuk membeli komputer peribadi atau riba. Akan tetapi, saya tidak tergamak menanyakan peri masalah – mengapa tidak diusahakan membeli komputer?

Benar, beliau sudah tentu memperoleh royalti bagi setiap novelnya. Namun, novel serius seperti yang dihasilkannya tidak akan selaris pisang goreng. Sementelah, beliau bukan mengarang novel picisan. Sedikit sebanyak wang perolehan daripada novelnya, saya mengagak, tentulah lebih dimanfaatkan untuk menyara hidupnya.

Lagi pula, beliau mempunyai pilihan jalan keluar – memilih menggunakan telefon bimbit untuk mengarang. Seolah-olah yang lebih penting ialah, asalkan boleh mengarang, walau dengan apa-apa cara sekalipun.

Seketika kemudian, saya menerima kiriman WhatsApp daripada Dahri. Wah, padahal dia berada di hadapan saya sahaja! Namun, saya cepat menduga, tentu ada suatu yang tidak ingin disuarakannya.

“Dahulu dia pernah ada laptop. Tetapi dua bulan sahaja. Hilang, dicuri.”

“Isma Ae tentu tidak mudah bukan, mengarang novel dengan menggunakan telefon bimbit?”

Foto bersejarah – Isma Ae ketika pertama kali tiba membawa dirinya ke Bangkok, kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau senyum, menjawab, “Dari satu segi, betul juga, bang. Tidak mudah. Tetapi, jika kita sudah biasa, maka itulah menjadi kebiasaan. Dari segi lain, dengan telefon bimbit, saya dapat mengarang di mana-mana sahaja ketika ingin mengarang. Lebih mudah untuk saya. Saya mengarang tidak tentu masa dan tidak tentu tempat.”

Saya gembira dapat mendengar jawapannya – “lebih mudah untuk saya”. Hakikatnya, rasa lebih mudah itulah yang lebih penting sebenarnya, jika sudah biasa begitu. Meski sebagai jalan keluar baginya – tiada pilihan lain lagi – saya yakin beliau sudah biasa dengan ketabahan itu.

Saya dan Hafiz berpeluang menatap semua simpanan novelnya (manuskrip asal) yang tersimpan dalam telefon bimbit itu. Dahri diam dan senyum sahaja, tidak terburu-buru seperti saya dan Hafiz, tidak sabar untuk cuba meneliti beberapa simpanannya itu. Dahri memang sudah lama tahu.

Ya, banyak manuskrip asal novel beliau tersimpan dalam telefon bimbit itu. Saya tidak membilang jumlahnya dengan tepat. Akan tetapi, memang lebih daripada jumlah novelnya yang sudah diterbitkan. Entah berapakah jumlah keseluruhanya semua simpanan itu, saya tidak pasti. Tentu, mencakupi beberapa draf terbaharu juga. Mungkin.

Namun begitu, cepat terdetak dalam hati saya – bagaimana kiranya telefon itu rosak atau hilang? Sekali lagi, saya berasa tidak tergamak menyuarakan. Saya tidak boleh bersikap seperti “mengajar itik berenang”. Mudah-mudahan, semua manuskrip asalnya itu selamat sampai bila-bila. Amin.

Dahri, Hafiz dan saya meninggalkan Wakaf Bahru ketika hari sudah hujung senja. Kami bersalaman dan berpisah dengan beliau. Sayu hati meninggalkannya. Esok atau lusa, beliau akan bergegas kembali ke Bangkok, tertangguh justeru semata-mata kami ingin bertemu dengannya.

Saya dapat membayangkan, jauh dalam lubuk hatinya, sebenarnya menyimpan rawan dan luluh. Meninggalkan Malaysia. Teringat sekali lagi pada saya, peribahasa orang tua, “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Juga, terbayang sekali lagi ketika “merah bayi”, beliau sudah dibawa pulang oleh ibunya ke negara ini. Di sinilah, tempat membesarnya, bermain, bersekolah dan bekerja kampung. Namun, apakan daya. Beliau dilahirkan di seberang sana.

“Mudah-mudahan, kita dapat bertemu lagi.”

Isma Ae sekadar mengangguk, tanpa senyum, tiada suara sepatah kata pun kepada kami. Kami tahu, beliau menahan sebak hati.

“Abang berangkat dahulu, Isma Ae.”

Semasa dalam perjalanan pulang, saya menggetus kepada Dahri, “Bagaimana kalau akhirnya – telefon bimbit itu rosak, tercicir, hilang dicuri, atau mungkin dirampas sesiapa?”

Akan tetapi, Dahri lebih tenang berbanding kegusaran saya.

Dia tersenyum lebar sahaja.

“Rasanya, dia menyimpan dalam Cloud juga.”

Saya tidak mengetahui dan mahir apa-apa tentang itu. Malah, pertama kali mendengar sebutan istilah itu. Saya dungu benar tentang kecanggihan peranti dan alat. Namun begitu, pada istilah ‘cloud’ yang disebutkan itu, saya bayangkan – tentu persis awan – terhadap kaitan teknologi maklumat. Tidak hairanlah jika disebutkan laman maya dan sebagainya terhadap pelbagai istilah digital. “Tak apalah, kalau seperti itu. Asalkan selamat,” saya membalas ujar.

Namun, Dahri tergelak ketika saya menokok lagi, “Tiada siapa pernah naik ke langit untuk mencuri dari awan.”

Kredit Foto: Jonas Jacobsson/Unsplash dan Dahri Zakaria

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.