Oleh W Zalina Rajali
15 Jun 2022, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – “Manusia tidak dapat lari daripada alam sekitar. Maka manusia banyak membuat imitasi alam sekitar dalam aktiviti kehidupan termasuklah dalam penghasilan karya seni dan sastera,” tegas Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob dari Pusat Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Kuliah Penyelidikan Sastera atau KUPAS Bil. 12/2022 anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera dengan kerjasama Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Melalui karya-karya sastera klasik seperti Ken Tambuhan, Yatim Nestapa, Seri Benian, Raja ka-Laut, Kias, Bernasib Malang, Damar Bulan, Bidasari, Si-Lindong Delima,  Panji Semerang, Satukan Hangat dan Dingin, Burung Pinggai, Perahu, Perang Betawi,  Kampong Gelam Terbakar dan Perang Makasar, kita dapat melihat betapa bangsa Melayu dahulu sangat akrab dan harmoni dengan alam sekitar,” tambah beliau yang mendapat ijazah kedoktorannya dalam Falsafah Alam Sekitar dari Universiti Waikato, New Zealand.

Syair Ken Tambuhan (leiden special collection blog).

KUPAS pada kali ini mengangkat unsur sains dengan melihat aspek ekologi abiotik (bukan hidup) dan ekologi biotik (hidup) dalam syair Melayu klasik. Ekologi abiotik merujuk pada elemen alam sekitar semula jadi dan alam sekitar buatan manusia. Manakala ekologi biotik pula merangkumi aspek flora dan fauna.

Dalam kuliah tersebut juga, Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob turut menjelaskan sejarah pendekatan tersebut yang bermula apabila adanya kajian terhadap karya seni dan sastera menggunakan perspektif alam sekitar atau disebut juga sebagai pendekatan teori ekokritik. Teori ekokritik telah bermula pada akhir tahun 1970-an lagi oleh sarjana Barat untuk mengapresiasi karya sastera Barat. Teori ini digunakan untuk menjelaskan persoalan apa, siapa, kenapa, di mana dan bagaimana pelbagai aspek berkaitan alam sekitar menjadi bahagian yang bersepadu dalam karya sastera dan yang berfungsi lebih daripada sebagai latar cerita.

Sepanjang kajian beliau dalam ekologi abiotik dan biotik ini, timbul beberapa persoalan yang memerlukan penelitian yang lebih mendalam. Antaranya termasuklah persoalan tentang hubungan akrab masyarakat Melayu dengan elemen alam sekitar yang diterjemahkan dalam syair Melayu, elemen alam sekitar yang digunakan dan cara atau gaya elemen alam sekitar tersebut digunakan dalam syair sehingga lahirnya harmoni antara kedua-duanya.

Beliau juga menggariskan beberapa metodologi dalam pengkajiannya sebagai panduan kepada pengkaji muda yang berminat. Antaranya, kajian hanya menggunakan kajian kualitatif, iaitu dengan menggunakan teknik analisis kandungan sahaja; mengenal pasti naratif ekologi abiotik dan biotik; analisis tematik dan menentukan tema di bawah naratif ekologi abiotik dan biotik.

Berdasarkan hasil kajiannya terhadap naratif ekologi biotik dan abiotik dalam syair Melayu klasik ini, beliau mendapati bahawa unsur alam sekitar semula jadi diterap dengan banyak sekali. Penggunaannya menjadi suatu seni yang indah dan memberikan kesan pembacaan dan tanggapan yang luar biasa kepada pembaca. Pembaca dapat melihat bahawa pencipta syair Melayu klasik ini berjaya mengadun unsur tersebut bersama-sama seni dan nada syair – tema, rima, gambaran latar, plot atau jalan cerita, metafora, perlambangan atau simbol melalui analogi, kiasan, ibarat, personifikasi dan sebagainya; dengan lancar sekali. Contohnya dapat dilihat dalam syair Raja ka-Laut:

naik ka-pantai pasir-nya puteh”
“turun mandi di-Sungai Rateh”
sungai-nya banyak di-dalam telok
gunong berator, batu berkalok

Begitu juga dalam Ken Tambuhan, unsur “emas” digunakan sebagai lambang berharganya gadis yang dipuja oleh si putera apabila berkata, “Aria ningsun, emas tempawan” dan “Aria ningsun, emas-ku nyawa”. Dalam Yatim Nestapa pula, elemen seperti “sungai”, “pantai”, “air” dan “tanah” dijadikan sebagai latar cerita, lambang dan diberi ciri personifikasi. Hal ini bukan sahaja dominan dalam syair bersifat romantis, malah turut terdapat dalam syair-syair perang. Antaranya termasuklah dalam syair Perang Betawi yang mana elemen “laut” yang diberikan unsur personifikasi telah digunakan – “Perjalanan laut sudah sentosa”. Kesan pembacaan menjadi lebih tepat pada gambaran yang mahu dibayangkan oleh pencipta syair tersebut.

Dalam Kampong Gelam Terbakar, elemen “api” dan “ darat” pula dijadikan sebagai latar cerita dan diberikan unsur personifikasi. Contohnya:

api pun memakan-lah bersuka hati”
“lidah api itu naik menjulang-julang”
api-nya pun menjilat di-sebelah darat
“sa-konyong-konyong api melompat di-Kampong Bali…

Di samping penggunaan alam sekitar semula jadi, alam sekitar buatan manusia turut dominan dalam syair Melayu klasik seperti “kota”, “sumpitan”, “pagar”, “tenunan” dan “pintu gerbang” yang dijadikan sebagai latar, lokasi cerita dan perlambangan.

Unsur yang ketiga yang perlu diberi perhatian juga dalam naratif ekologi biotik dan abiotik dalam syair Melayu klasik ini ialah alam sekitar flora dan fauna. Contohnya boleh dilihat seperti yang berikut:

jatoh ka-pohon chempaka berapit”
kumbang dan burong berterbangan nyata” (Ken Tambuhan)

di-bawah pohon teruntum chondong” (Yatim Nestapa)

sireh-nya saperti bangun gorap”
sireh di-buat saperti pelang”
sireh di-bangun saperti kechi” (Seri Benian)

ayam itek pun habis-lah terbongkang” (Kampung Gelam Terbakar)

Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob merumuskan bahawa kebanyakan elemen alam sekitar dalam syair Melayu klasik yang dikaji bertindak sebagai latar cerita. Namun begitu, tidak kurang banyaknya elemen alam sekitar yang digunakan sebagai perlambangan bagi menyampaikan maksud cerita khasnya secara analogi atau secara personifikasi. Penggabungjalinan yang unik antara pelbagai kategori elemen alam sekitar dengan fungsi yang diberikan dalam syair telah menghasilkan satu karya seni yang kemas, cantik, indah dan harmoni.

Kredit Foto: Birmingham Museum Trust/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.