9 Jun 2022, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Sastera ialah satu perkara yang sangat halus. Ia lebih kepada renungan, hal-hal yang memasuki pemikiran, hal-hal yang membuatkan penelitian terhadap nilai-nilai, dan perkara-perkara itulah yang diharapkan dapat disemadikan dalam dunia pekerjaan,” ujar Fadli al-Akiti dalam acara Hati dan Minda Sasterawan, sebuah program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Pavilion Selangor bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berlangsung pada 3 Jun yang lalu.

Seorang penulis, pengkritik filem dan juga editor majalah Dewan Sastera, Fadli melahirkan kebimbangannya berikutan penutupan kelas sastera di beberapa sekolah sekitar Selangor akibat tiada sambutan daripada pelajar. Jelasnya lagi, jika penghayatan dalam subjek Kesusasteraan Melayu dapat dipupuk dari peringkat sekolah, kesannya akan terbias oleh sikap pelajar itu nanti yang sentiasa melakukan perenungan, pengamatan dan penilaian dalam segenap hal kehidupan. Hal ini akan menyumbang kepada lahirnya generasi muda yang berwibawa, amanah dan dipercayai.

Beliau turut menyarankan agar setiap sekolah menubuhkan sebuah Kelab Buku yang akan membicarakan sebuah buku karya sastera setiap bulan. Dengan ini, secara tidak langsung penghayatan sastera dapat dipupuk dan dikembangkan di peringkat sekolah.

Fadli turut berkongsi tentang laluan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mula berkhidmat di Bahagian Multimedia, namun, kerana minatnya yang mendalam terhadap sastera, beliau banyak terlibat dalam kerja menggerakkan judul dan aktiviti sastera, sehinggalah ditawarkan jawatan sebagai editor Dewan Sastera.

Apabila diamanahkan sebagai editor Dewan Sastera, beliau mengambil pendekatan untuk mengasimilasikan bidang luar sastera ke dalam majalah tersebut. Bidang yang dimaksudkan adalah seperti filem, makanan, fesyen, dan pelancongan. Hal ini demikian kerana pada pandangan beliau, dunia sastera tidak terbendung dalam hal-hal seputar dunia penulisan, buku dan penciptaan karya semata-mata. Sastera jauh lebih luas, melingkungi setiap hal kehidupan.

“Sastera ialah satu dokumentasi tentang manusia dan kemanusiaan, bukankah manusia dan kemanusiaan itu sendiri mempunyai pelbagai sudut, dimensi dan pengalaman yang berkaitan, yang akhirnya ditumpahkan ke dalam karya?” tegasnya.

Apabila ditanya tentang tugasnya menangani karya-karya yang sampai ke meja editorial, beliau menekankan pentingnya penulis untuk mematuhi struktur dan format asas sebelum menghantar karya. Sebagai editor, beliau mendukung dua prinsip asas yang penting dalam penilaian karya, iaitu mutu karya dan pendekatan baharu dalam pengkaryaan, baik isi kandungan mahupun kaedah.

Apabila mengulas tentang perkembangan karya sastera yang diangkat ke layar televisyen dan filem, beliau menzahirkan kesyukuran kerana jihadnya bersama-sama teman seperjuangan menampakkan hasil. Beliau memuji pihak RTM yang mengambil langkah berani dengan menerbitkan telefilem hasil adaptasi daripada novel dan cerpen, antaranya termasuk Srengenge, Pendoa yang Ikhlas dan Capa Rengat Gulai Rawo. Hasil cetusan ini juga melahirkan pembikinan drama bersiri Ayahanda terbitan TV3 yang mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak umum. Hubungan senada antara karyawan filem dengan sasterawan inilah yang mahu dilihat dan dipelihara agar karya sastera dapat diluaskan, dinikmati dan direnungi oleh khalayak.

Program Hati dan Minda Sasterawan yang dihoskan oleh Siti Raihani Mohd. Saaid telah dianjurkan pada Pesta Buku Selangor tahun lalu, menampilkan sasterawan yang membincangkan pelbagai topik yang dekat dengan hati masyarakat. Selain Fadli al-Akiti, program ini turut menampilkan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Saleh dan Helmy Samad yang merupakan anak kepada Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said.

Tonton program Bicara Hati dan Minda Sasterawan bersama Fadli al-Akiti di sini. Kunjungi halaman Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor untuk pelbagai program di PBAKL 2022 dan rakaman video acara lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.