16 Jun 2021, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dua cerpen disatukan dalam sebuah telefilem RTM. Ikuti catatan karyawan DBP, Nor Muhamad, bagaimana detik awal idea ini mula ditimbulkan, pertemuan serampang dua mata dengan pengarang asalnya, Baharuddin Kahar, dan semangat usaha sama pengarang dengan pembikin telefilem yang mewujudkan proses pengkaryaan yang luar biasa.

Gabungan adaptasi dua cerpen sebegini rupa ialah usaha kali pertama yang pernah dibuat oleh RTM, dan mungkin di Malaysia. Hal ini merupakan suatu sejarah dalam dunia pengadaptasian karya sastera.

Cerpen “Capa Rengat”, salah satu cerpen dalam naskhah Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke-20, Capa Rengat (DBP, 2005), telah terpilih untuk diadaptasikan ke dalam bentuk telefilem oleh Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun lalu. “Capa Rengat” ialah sebuah kisah tentang watak “Aku”, iaitu seorang remaja yang baru merasai suasana indah kehidupan di desa. Pergolakan jiwa tercetus setelah Aku perlu pulang semula ke bandar, dan pada pemikirannya, kepulangan ke bandar menyebabkan dirinya berasa sunyi dan tiada sesuatu yang dapat memberikan keindahan padanya. Bunga capa rengat pula dianggap sebagai perlambangan sebuah janji atau ikatan antara dua sahabat, iaitu Aku dengan Su. Cerpen ini juga membawa beberapa persoalan tentang perasaan cinta, anugerah Tuhan (keindahan flora dan fauna), dan menghargai tempat asal usul sesebuah komuniti masyarakat.

“Capa Rengat” pernah menjadi teks dalam antologi teks komponen sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Cerpen ini juga pernah tersiar dalam majalah Dewan Sastera pada isu bulan Oktober 1976. Satu usia yang agak lama untuk karya ini, namun masih relevan kerana jalur ceritanya sesuai dijadikan teladan buat generasi kini. Aspek kesesuaian karya untuk diadaptasi juga dinilai oleh pengarah drama. Karya asal pengarang dipilih berdasarkan kekuatan dan keistimewaan yang ada. Pemilihan itu tidaklah dipengaruhi oleh sesiapa, melainkan penghayatan dan “rasa” oleh pengarah itu sendiri terhadap karya asal.

Maka, pada 28 hingga 29 Februari 2020, telah diadakan pertemuan mesra antara pengarah telefilem, Wan Afzam Wan Daud; pengarang, Baharuddin Kahar atau lebih mesra dipanggil Pak Baha; mantan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Shahidan; serta karyawan DBP, Nor Muhamad Mat Zain dan Mohd Hafizi Ahmad. Pertemuan ini antara kaedah dalam rangka membentuk kesepakatan untuk olahan idea karya cerpen “Capa Rengat” dengan “Gulai Rawo” bersama-sama pengarangnya. Pertemuan antara pengarang dengan pengarah drama membolehkan idea tersebut diperluaskan. Sebagai karyawan DBP dan orang muda, yang hanya mengenali penulis melalui karyanya berasa begitu bertuah kerana diberi peluang berharga untuk bertemu mata dengan pengarang “lama” dan unggul itu.

Pertemuan mesra antara pengarah telefilem, Wan Afzam Wan Daud (kiri) dengan pengarang, Baharuddin Kahar (kanan) pada 28 Februari 2020.

Perbincangan awal untuk menyatukan kedua-dua cerpen dalam sebuah telefilem juga telah dibuat terlebih dahulu bersama-sama Rahayu Wahid, Penolong Pengarah Unit Drama TV; Julia Henry Alani, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, DBP; serta beberapa orang karyawan DBP dan pegawai RTM. Setiap karya tersebut dibincang dan “dibedah” jalan ceritanya, mencari titik perbezaan dan persamaan antara kedua-dua karya cerpen. Saat itu juga dibincangkan tentang penerbitan semula buku cerpen Baharuddin Kahar bagi judul baharu, iaitu Capa Rengat Gulai Rawo dengan penambahan tiga buah karya baharu oleh Pak Baha. Karya baharu penggarang dalam naskhah ini ialah “Amanah”, “Jangan Ikut Hati” dan “Surat Cinta Pertama”. Cerpen sedia ada yang dikekalkan pula ialah “Capa Rengat”, “Rindu”, “Kelah Sisik Merah”, “Kesasar”, “Kebesaran”, “Kampung Halaman”, “Sudah Besar”, “Merah Jambu”, “Longnya Laku”, “Gulai Rawo”, “Terima Kasih, Tuhanku”, “Panggilan”, “Lagu Seorang Tua“, “Bah Urei”, “Sempana Ganja Iras”, “Pada Suatu Dimensi”, dan “Kebencian”.

Karya yang terpilih dalam naskhah ini juga telah terbukti kejayaannya melalui pengiktirafan. Misalnya, cerpen “Longnya Laku” berjaya memenangi Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1981, manakala “Capa Rengat” (1976/1977), “Sempana Ganja Iras” (1982/1983) dan kumpulan cerpen Terima Kasih, Tuhanku (1984/1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM, kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia).

Menariknya, Wan Afzam nampak persamaan yang halus ketika hendak menggabungkan dua cerpen Pak Baha itu sebagai sebuah karya telefilem. Gabungan “adaptasi” dua cerpen sebegini rupa ialah usaha kali pertama yang pernah dibuat oleh RTM, dan mungkin di Malaysia. Hal ini merupakan suatu sejarah dalam dunia pengadaptasian karya sastera. Malah, hal ini kelihatan sukar tetapi mungkin mudah bagi mereka yang mahukan cabaran dan kelainan.

“Boleh, tapi sesuaikah? Sebab jalan ceritanya berbeza.” Pak Baha memulakan pertanyaan.

“Pandangan saya, kedua-dua cerpen ini ada nilai tersendiri, dan ada ‘sesuatu’ yang membolehkan karya ini disatukan, dan cerpennya ini seakan-akan sama dengan mesej yang mahu disampaikan oleh Pak Baha. Barangkali saya salah. Namun begitu, inilah tujuan kami hadir untuk dapatkan ‘sesuatu’,” jelas Wan Afzam.

“Mana yang sama, mana yang beza?” tanya Pak Baha.

“Sama latar masanya, dan ada persamaan antara setiap perwatakan watak. Yang berbeza pula pada jalan ceritanya dan mesej yang ingin disampaikan. Tapi, jalinan antara karya ini lebih memberikan persamaan dan ada kesinambungan. ‘Capa Rengat’ dan ‘Gulai Rawo’, cerita yang mudah saya faham, tidak rumit. Mungkin, sukar itu wujud setelah memikirkan mesej sebenar yang mahu disampaikan oleh pengarang. Rasanya, pengarang ada pemaknaan yang lain sebalik cerita yang disampaikan,” jawab Wan Afzam.

Tanya saya lagi, “Kebanyakan cerpen dalam buku ini juga ada persamaan, walau ceritanya berbeza. Latar tempat misalnya. Banyak disebut tentang gunung, bukit, kampung dan hutan. Tapi sangat menarik dan unik. Ada nama Gunung Kapur, Gunung Comel, Gunung Layang yang disebut dalam cerpen ‘Kebesaran’, ‘Kampung Halaman’, ‘Sudah Besar’, dan ‘Longku Laku’. Paling menarik bagi saya disebutkan nama latar Gunung Kerbau, yang setahu saya dataran itu benar-benar wujud. Tapi nama rasminya ialah Gunung Korbu, di Perak. Sebuah gunung tertinggi di Banjaran Titiwangsa. Pasti Pak Baha mempunyai pengalaman ke dataran tinggi, ke hutan, kerana begitu banyak Pak Baha menyebut latar ini dalam cerpen-cerpen Pak Baha.”

“Ya. Pengalaman hidup.” Pak Baha mengukirkan senyuman.

Wajah pengarang terlihat tenang walaupun sudah berusia. Hal yang pasti, bakat dan daya fikirnya sentiasa sihat dan mempunyai 1001 pengalaman.

“Sebenarnya, kisah dalam cerpen saya ini mudah. Tapi apa-apa yang dibuat ialah proses kreatif yang diwujudkan daripada pengalaman sebenar saya. Hutan dan perkampungan itulah kehidupan awal saya. Orang Asli yang disebut-sebut, itu kehidupan saya bersama-sama mereka. Begitulah ke bukit dan ke gunung. Kebanyakan pengalaman saya diolah ke dalam bentuk penulisan. Namun, tidaklah semua itu kisah sebenar, cuma ada beberapa yang saya masukkan.”

Pada akhir pertemuan kami selama tiga hari dua malam, Pak Baha sampaikan kepada kami sebuah kenyataan tentang mesej tersirat dalam cerpen “Capa Rengat”. Beliau berbisik ke telinga Wan Afzam, “Hidup ini sunyi, dan pada akhirnya tetap sepi.”

Proses kreatif pengarah dan pembikin telefilem juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menterjemahkan pemikiran pengarang. Kedua-duanya berperanan dan saling mencambahkan idea dan falsafah.

Pada akhir bulan September 2020, diadakan penggambaran telefilem Capa Rengat Gulai Rawo di Sungai Lembing, Pahang selama empat hari. Namun, pengambaran yang dibuat oleh pihak RTM bagi menghabiskan keseluruhan babak mengambil tempoh masa selama lebih kurang 14 hari. Proses penggambarannya singkat dan padat, tetapi memerlukan tenaga yang lebih oleh semua yang terlibat. Bagi karyawan DBP yang turut serta dalam proses pengambaran, melihat sesi penggambaran dan pembikinan untuk tujuan layar televisyen merupakan sebuah pengalaman yang baharu, dan peluang ini tidak akan dapat sekiranya tidak mencari, atau melepaskan peluang untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang ilmu yang bebeza. Kehadiran pada ketika itu dibantu oleh mantan DBP, Dr. Hanafi Ibrahim dan Mohamad Shahidan. Merekalah antara “orang sastera” yang sering menjadi rujukan bagi mencadangkan karya sastera yang baik, serta membantu dalam usaha menterjemahkan pemikiran pengarang melalui karya mereka. Tambahan pula, kedua-dua insan ini antara teman rapat kepada pengarang, Baharuddin Kahar.

Lokasi penggambaran di Sungai Lembing, Pahang.

Setelah menyaksikan pratonton yang diadakan di RTM pada 27 Januari 2021, kami dapat simpulkan bahawa proses kreatif pengarah dan pembikin telefilem juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menterjemahkan pemikiran pengarang. Kedua-duanya berperanan dan saling mencambahkan idea dan falsafah. Pengarang dalam bentuk titipan pena dan mesej yang ingin disampaikan (tersurat dan tersirat). Begitulah pula peranan pengarah drama yang menterjemahkan sebuah karya sastera ke dalam skrip lakon layar, lakonan, pilihan lokasi, penataan babak, bahasa badan dan ruang, serta perlambangan yang sesuai dirakamkan. Kadangkala, terdapat beberapa perkara yang tidak serta-merta mengikut teks asal. Pengarah telefilem turut memasukkan elemen dokumentari dalam hasil karyanya, seolah-olah memaparkan keindahan flora fauna dan realiti kehidupan masyarakat Orang Asli yang berada di pinggir desa.

Jelaslah, telefilem adaptasi Capa Rengat Gulai Rawo menyatakan kerinduan yang mendalam, yang menjadi rasa sunyi dan sepi pada detik akhir layarnya. Cinta dan rasa itu tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata yang betul, hanya mampu dialami dengan rasa yang luar biasa. Tayangan rasmi siaran RTM TV1 berlangsung pada 20 Mac 2021 (Sabtu), pukul 9.00 malam. Selain karya ini, telah ada karya Baharuddin Kahar yang pernah diadaptasikan, seperti telefilem Senjakala dan Cerita Adam, yang disiarkan di saluran RTM juga.

Telefilem Capa Rengat Gulai Rawa boleh ditonton di sini. Beli kumpulan cerpen Baharuddin Kahar yang dibincangkan di sini.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi