Oleh Marsli N.O
7 Jun 2022, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O mengimbau kembali perbincangan e-mel bersama-sama seorang pemuda. Dalam perbincangan tersebut, isu kata sajak yang asli menjadi pokok perbincangan yang masih menggema dalam memorinya.

Tanpa niat mahu memperkecilkan daya usaha dan cita-cita keras seorang pemuda yang mahu menulis sajak, saya berasa perlu bertanya secara berterus-terang kepada pemuda ini.

Ketika menyelongkar simpanan fail-fail lama dalam komputer tua semalam, saya terjumpa salinan e-mel dengan seorang pemuda, yang pada satu waktu amat rajin mengirim karya yang didakwanya sebagai puisi untuk dikomen dan dikritik oleh saya.

Akan tetapi, kerana sedar diri saya bukanlah punya asas yang kuat dan banyak pengetahuan mengenai kritikan karya sastera, saya katakan kepada pemuda itu bahawa saya hanya akan membaca dan menandakan dengan tanda (  ) dan [   ] setiap karyanya yang telah saya baca itu.

Soal apakah maksud dan tujuan saya meletakkan tanda-tanda itu, saya minta agar dia fikir dan renungkan sendiri demi mencarikan jawapannya.

Bagi saya secara peribadi, tanda (  ) bermaksud bahagian atau kata yang masih lemah, kurang tepat, diragui keasliannya, dan untuk pembetulan.

Sementara itu, bahagian yang saya tandakan dengan [   ] bermaksud bahagian yang mempunyai potensi positif yang sedikit menampakkan keperibadian asli milik penyairnya, walau tidak sepenuhnya autentik dan original.

Melalui e-mel ketika itu, saban tiga atau empat hari, atau seminggu sekali, saya akan menerima e-mel berisikan apa-apa yang dikatakannya sebagai sajak dan adakalanya cerpen untuk saya berikan komen.

Untuk tidak sampai dikatakan sombong dan berlagak, saya tetap membaca dengan sabar dan memberikan reaksi saya melalui e-mel terhadap karya yang dikirimkan oleh pemuda itu.

Secara peribadi saya mengesani, kata-kata yang dia pilih untuk sajak-sajaknya yang diemelkan kepada saya itu, terasa agak terpilih dan bernuansa sedikit berbeza daripada kata-kata sajak yang berjamur dalam kalangan penyair baharu dan muda ketika itu.

Walau tidak terlalu menonjol, tetapi saya tetap merasakan ada kelainannya dan meyakini pemuda ini agak banyak membaca dan rajin membuat rujukan, terutamanya sajak-sajak Indonesia.

Kata “khayalan yang mengepung” atau “berceracak jadi tugu-tugu seluas pandang” ketika membacanya memang terasa mengusik daya pukau.

Namun jauh di sudut hati, saya berasa sedikit ragu-ragu. Serasa pernah mengesan detak dan patah lagunya dengan seni kata yang lain. Misal lagu Getaran Jiwa dendangan P. Ramlee, ditukarkan sejuta kali liriknya, namun alunan nadanya yang tetap diketahui itu ialah lagu Getaran Jiwa karya P. Ramlee.

Demikian juga dalam sajak. Setiap kata di dalamnya meninggalkan kesan nada dan tempo, yang secara peribadi saya sebutkan sebagai “bit”, iaitu titik demi titik bagi setiap suku kata dalam sajak.

Misalnya, kata “ketika hujan turun” bit atau suku katanya ialah _ _ _ _ _ _ _ (1-2-3-4-5-6-7) walau diubah menjadi “ketika senja sirna”. Walaupun seni katanya telah diubah, namun dengung nada lagunya tetaplah milik contoh yang pertama.

Tanpa niat mahu memperkecilkan daya usaha dan cita-cita keras seorang pemuda yang mahu menulis sajak, saya berasa perlu bertanya secara berterus-terang kepada pemuda ini.

Dia berhak untuk tidak menjawab dan saya fikir, jika dia benar-benar jujur atau tidak berbuat sesuatu yang salah, tiada apa-apa yang hendak dia takut dan sembunyikan.

Oleh sebab itu, pada suatu hari, melalui e-mel bertarikh 24 September 2003, saya kemukakan soalan ini kepadanya, “Maaf saya bertanya. Hasil puisi ini benar-benar kata yang anda cari sendiri atau kata-kata yang anda petik atau salin atau jiplak daripada mana-mana puisi karya orang lain?”

Rupanya, itulah perhubungan terakhir kami melalui e-mel. Pertanyaan saya itu tidak dia jawab dan berikutnya tiada lagi kiriman e-melnya yang meminta saya membaca dan memberikan komen terhadap karyanya melalui e-mel.

Beberapa tahun selepas itu, saya melihat ada karyanya disiarkan di akhbar dan salah satunya terpilih memenangi satu hadiah dengan nilai yang agak lumayan juga.

Namun tahun-tahun berikutnya, saya tidak lagi melihat karya pemuda penyair ini di akhbar dan majalah.

Pada tahun 2021 yang lalu, ketika hadir untuk suatu acara anugerah sastera, saya bertemu sekilas dengan pemuda penyair ini di meja bufet.

“Sudah tidak menulis sajak lagikah kini? Tidak kelihatan sajakmu lagi di mana-mana,” langsung saya bertanya.

“Masih menulis. Tetapi banyak yang dihantar tidak disiarkan. Kini, jadi rasa malas,” pemuda penyair ini lancar menjawab.

Kini, tahun 2022, saya masih tidak melihat lagi kemunculan karyanya.

Akan tetapi, saya tetap ingin bersangka baik. Dia mungkin masih tetap menulis, tetapi dengan atau menggunakan nama samaran yang tidak saya kenal dan ketahui. Saya harap begitu.

Namun secara peribadi, saya selalu percaya dan meyakini betapa sebuah sajak amat dituntut memiliki sesuatu yang benar-benar bersifat original. Sesuatu yang bukan terkesan memiliki rasa dan bau puisi milik penyair lain, yang dijadikan model dan contoh jiplakan serta ubah suai di sana sini.

Kerana, menjadikan sajak-sajak Sapardi Djoko Damono, Joko Pinurbo, Acep Zamzam Noor, Octavia Paz, atau Pablo Neruda, sekadar menyebut beberapa nama, sebagai contoh dan model ubah suai (modifikasi), memang menjadikan puisi seseorang kelihatan baharu, hebat dan memukau.

Persoalannya, di mana pula originality dan keperibadian yang asli seorang penyair? Adakah tega mempertaruhkan maruah kepenyairannya sendiri hanya sebagai peniru dan penjiplak secara tidak langsung?

Kelihatannya, kita yang memilih menjadi penyair ini hanya ghairah mengejar populariti agar segera disukai dan diterima oleh khalayak dengan cara meniru dan memodifikasi karya milik penyair lain yang dirasakan hebat.

Hanya itu.

6.6.2022

Kredit Gambar: Jr Korpa/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa dan sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi merangsang daya kreatif dan kreativitinya. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!