Oleh Suyuthi Yusuf
31 Mei 2022, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Zaharah Nawawi (penerima SEA Write Award 1996) telah kembali ke Rahmatullah pagi ini sekitar pukul 7.55 pagi di Hospital Pakar KPJ Rawang. Pemergian beliau sudah pasti akan dirasai oleh peminat sastera tanah air. Banyak karya beliau yang masih perlu digali dan diberikan apresiasi yang sewajarnya.

Selain menerima anugerah SEA Write Award pada tahun 1996, beliau juga pernah menerima Hadiah Karyawan Sastera Johor dan Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim. Pada tahun 1997 hingga tahun 1998, beliau pernah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dan berjaya menghasilkan sebuah buku autobiografi yang bertajuk Merentas Laluan (2004). Buku tersebut memerihalkan pengalaman hidup, proses kreatif dan kepengarangan beliau yang panjang dan penuh warna.

Beliau juga pernah terlibat dalam arena kewartawanan di beberapa buah penerbitan akhbar terkenal. Pada tahun 1968, beliau mula bertugas di Utusan Melayu sebagai wartawan. Pada tahun 1970-an beliau telah dilantik sebagai anggota sidang editor majalah Wanita. Pada tahun 1975, beliau diberikan tugas selaku Ketua Redaksi Mastika.  Pada tahun 1976, beliau berkhidmat pula dengan The New Straits Times. Zaharah bertugas sebagai pengarnag Penerbitan Am (Bahasa Melayu) di Berita Publishing Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat The New Straits Times. Beliau diamanahkan menjadi editor urusan bagi majalah Jelita, Jaguh, Penghibur, dan Sajian. Selepas tahun 1985, beliau menjadi editor urusan bagi Pustaka Cipta Sdn. Bhd.

Beliau juga banyak membimbing penulis dengan mengadakan bengkel penulisan meliputi pelbagai genre. Antara bengkel penulisan/kelab penulis terkenal yang dicipta olehnya ialah Kelab Penulisan Zaharah Nawawi (KEPEZI). KEPEZI menyumbangkan bakti yang amat besar dalam sejarah sastera tanah air kerana banyak melahirkan penulis muda yang berbakat.

Zaharah amat prolifik dalam bidang penulisan dan pernah menyumbangkan pelbagai penulisan kreatif dalam akhbar dan majalah, termasuk Dewan Sastera, Berita Minggu, Utusan Kanak-kanak, Tunas, Jelita, Mastika, Wanita, dan Utusan Malaysia. Antara karya beliau yang pernah diterbitkan dan sering diperkatakan ialah Anugerah (1995), novel yang paling tebal pernah diusahakan pada era 1990-an, Panglima Salleh Selempang Merah (1988), dan Haruman Kencana (2004). Selain itu, beliau juga pernah menulis novel kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, buku biografi, dan kumpulan puisi. Beliau telah berjaya melahirkan 16 buah kumpulan cerpen (persendirian dan bersama), pertama pada tahun 1977, Dari Siulan Burung-burung, dan paling terakhir ialah Hari Ketiga Belas Bulan Lima (2016).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.