Oleh Marsli N.O
15 Februari 2023, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menyampaikan nasihat tentang hakikat menulis dan menghadapi cabaran psikologi diri sewaktu menulis.

Perasaan dan fikiran, perlulah sentiasa bergandingan erat, bahu-membahu, demi menghasilkan satu bentuk tulisan yang memaparkan kesan kematangan dan kebijaksanaan.

Menulis merupakan kegiatan atau proses melahirkan perasaan dan fikiran dengan catatan yang menggunakan huruf. Dengan membaca apa yang ditulis oleh seseorang, segera akan terpapar apa yang terkandung dalam perasaan dan fikiran penulisnya. Justeru itulah dikatakan betapa menulis itu menjadi wadah untuk seorang penulis menzahirkan atau mengekspresikan apa-apa yang terkandung dalam perasaan dan fikirannya.

Pasti sahajalah ada sebab dan tujuan seseorang memilih untuk menulis. Selain mahu meluahkan apa yang terkandung dalam perasaan dan fikirannya, dengan menulis, seseorang beroleh rasa lega dan tenang kerana telah berjaya meluahkan apa-apa sahaja yang dirasakan bergolak dalam perasaan dan fikirannya.

Akan tetapi, kerana sifatnya seorang manusia yang tidak sempurna dan maksum, sentiasa dalam dirinya bergolak pelbagai perasaan: marah, sedih, suka dan gembira. Proses meluahkan ini umpama mengeluarkan sesuatu yang telah terlalu tepu di dalam gelas atau sesuatu bekas. Dengan cara meluahkannya ke dalam bentuk tulisan, ia menjadi suatu bentuk terapi untuk mengurangkan rasa tertekan dalam diri.

Namun demikian, proses meluahkan segala rasa galau dalam perasaan tersebut, agar tidak terkesan kepada orang lain yang membacanya sebagai melulu, cengeng dan kurang matang, perlulah dipertimbangkan secara saksama dengan akal fikiran yang tenang, waras dan bijaksana ketika menuliskannya.

Hal ini bererti, proses “meluahkan dan menzahirkan” melalui penulisan tersebut bukanlah sesuatu yang bersifat sembrono dan asal jadi. Antara kedua-duanya, perasaan dan fikiran, perlulah sentiasa bergandingan erat, bahu-membahu, demi menghasilkan satu bentuk tulisan yang memaparkan kesan kematangan dan kebijaksanaan.

Pada sisi lain pula, menulis itu tidak semudah mengucapkannya sebegitu sahaja. Tidak semua orang mampu meluahkan apa yang bergolak dalam perasaan dan fikirannya melalui tulisan. Banyak dalam kalangan kita hanya memendam dan menyimpan dalam dirinya sendiri segala yang dirasakan, menekan diri dan fikirannya.

Sehingga akhirnya, mendatangkan kesan sampingan lain dalam bentuk “kejiwaan” mahupun bukan: menjadi baran, tekanan perasaan, tidak gembira dan murung.

Sementara itu, mereka yang telah sedia menjadikan kerja menulis sebagai terapi diri untuk meluahkan perasaan dan fikirannya pula, tidak juga selamanya mampu meneruskan proses menulisnya secara lancar pada setiap ketika dirinya ingin berbuat demikian.

Walaupun menulis perlu sentiasa bersifat mengalir, seiring dengan kegiatan kehidupan seharian manusia yang lain, seperti makan, tidur, bernafas, dan bermimpi, namun tidak selalu sedemikian yang berlaku. Bagi sebahagian penulis, ketidaklancaran dan hadangan ini dianggap sebagai satu persoalan besar dan kritikal.

Apatah lagi jika seorang yang bersikap kurang sabar dan gemar memaksa dirinya sendiri ketika sedang tidak benar-benar bersedia untuk menulis. Hadangan sebegini menjadikan dirinya berdepan dengan rasa terdera dan terseksa!

Akan tetapi, bagi seorang penulis yang mengerti hakikat kekuatan dan kelemahan dirinya sendiri, menulis baginya bukanlah sesuatu yang bersifat mendera dan memaksa.

Bagi sebahagian penulis, ketidaklancaran dan hadangan ini dianggap sebagai satu persoalan besar dan kritikal.

Menulis itu sebaik-baiknya diusahakan agar dapat sentiasa mengalir seperti air di saliran atau sungai. Walaupun sering melewati keluk, hadangan dan batu-batu, namun kerana sifatnya sebagai air, ia tetap terus mengalir.

Jika berhadapan dengan empangan, walau alirannya tersekat, namun air menghimpunkan dirinya untuk sekian waktu, sehingga akhirnya mampu memenuhkan ruang dan melimpahi empangan, lalu mengalir lagi.

Demikianlah perumpamaannya menulis. Walau ada waktu berasa terhadang oleh sesuatu dalam fikiran, ketika terhadang tersebut dilewati dengan sabar dan bertahan serta dipenuhkan dengan kegiatan lain yang bersifat dalaman serta bermanfaat, seperti membaca, merenung dan berfikir.

Proses ini walau pada permukaannya seperti telah menghentikan sifat menulis yang perlu sentiasa mengalir, namun sebenarnya adalah salah satu sifat alami dunia penulisan yang ada waktu pasang serta surutnya.

Atas sifatnya yang sedemikian itulah maka penulis perlu tahu dan sedar bagaimanakah caranya untuk mengatasi jika proses menulisnya yang sepatutnya terus mengalir itu tiba-tiba bertembung dengan halangan.

Antara halangan tersebut termasuklah kematian idea secara tiba-tiba atau pada saat yang lain, kehilangan jejak daripada idea asal sesuatu penulisannya.

Untuk mengelak halangan sebegini—agar dapat menjadikan penulisan sebagai sesuatu yang sentiasa mengalir—banyak penulis menggunakan teknik menulis berdasarkan suasana emosi serta fikiran pada sesuatu masa yang tertentu.

Jadim sesuatu yang ditulis setiap hari bukanlah sesuatu telah ditetapkan serta dirancangkan sejak mula, tetapi sesuatu yang ditulis berdasarkan suasana emosi dan pertimbangan fikiran pada hari tersebut, atau ketika sesuatu tulisan sedang dituliskan.

Sebagai contohnya, sekiranya pada hari atau ketika tersebut perasaan sedih kecewa sedang mengganggu dirinya, dengan bantuan serta pertimbangan fikiran yang saksama, perasaan sedih kecewa tersebut dituangkan ke dalam bentuk tulisan.

Tentu sahaja, kerana telah dipertimbangkan dengan fikiran yang saksama, luahan perasaan sedih kecewa itu dapat dielakkan agar tidaklah hanya menjadi tulisan luahan emosi yang bersifat melulu dan cengeng.

Atas adanya pertimbangan fikiran yang saksama ketika menulis itu juga, maka sebuah tulisan luahan perasaan sedih kecewa akan tetap mampu menjadi sebuah tulisan yang turut dibaca oleh orang lain, mampu menghadirkan tamsil, ibarat, teladan, dan pengajaran secara tidak langsung.

Pada aspek ini jugalah akhirnya, sesebuah tulisan yang bersifat luahan atau ekspresi, apabila ditulis dengan pertimbangan fikiran yang saksama oleh penulisnya, akan mampu menjadikan tulisan tersebut tidak bersifat kosong dan melulu semata-mata. Hal ini kerana, pada akhirnya juga, tujuan kita menulis dan kemudiannya disebarkan kepada khalayak pembaca, bukanlah hanya ingin memaparkan sifat diri kita sendiri sebagai penulis yang cengeng dan tidak berfikir.

Kita menulis kerana kita ingin berkongsi dan memberikan sesuatu yang berguna kepada pembaca tulisan kita. Walau betapa utopia pun, atau pada mata pertimbangan orang lain kita gagal berbuat demikian.

Hal yang penting, kita punya niat dan sudah berusaha ke arah tujuan yang baik itu.

Kredit Foto: Alex Shutin/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa dan memilih bersendirian. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat email [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.