1 Disember 2022, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak melalui Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera telah menganjurkan Syarahan Sasterawan Negeri Sarawak pada 30 November 2022 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Syarahan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dan telah dihadiri oleh kira-kira 150 orang pelajar dan guru.

Penerima S.E.A Write Awards 2006, Encik Jong Chian Lai telah berkongsi pengalaman dan pengembaraan beliau dalam dunia sastera, khususnya dalam bidang penulisan kreatif. Seawal usia 18 tahun lagi beliau telah bergiat aktif dalam dunia penulisan sehingga sekarang. Karya yang dihasilkan lebih tertumpu kepada genre cerpen dan novel.

Beliau telah merangkul banyak anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) melalui cerpen “Tanah Bukit” (1984/1985), “Siapa Bunuh Anakku” (1986/1987) dan “Pemberontakan” (1988/1989), Hadiah Peraduan Menulis Maybank – DBP, Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak 1994, ESSO-GAPENA 1994, Hadiah Sastera Penulis Sarawak dan sebagainya. Antara cerpen yang dihasilkan ialah “Musim Terakhir” (1988), “Bunga Rimba” (1998), “Menganyam Kedukaan” (1999) dan “Dunia Sebayan” (2005). Manakala dalam genre novel, karya-karya beliau ialah Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1986), Pindah (1988), Buaya Putih Buaya Kudung (1992), Pemberontakan (1994), Meredah Ombak Keributan (2001), Long Busang (2005), Kudengar Degup Cintamu (2006), Ensera Marga Timur dari St. Anthony (2009), dan Ah Fook (2015).

Gambar kenang-kenangan Jong Chian Lai (duduk kiri sekali) bersama-sama para hadirin.

Peserta didedahkan kepada empat kaedah dalam penulisan karya kreatif iaitu, duduk, baca, fikir dan tulis. Beliau menjelaskan bahawa keempat-empat kaedah ini memainkan peranan penting bagi menghasilkan bentuk penulisan yang menarik dan memberi impak mendalam kepada khalayak pembaca.

Berdasarkan perkongsian Jong Chian Lai, kisah percintaan pertama menjadi pencetus dan sumber inspirasi dalam berkarya. Sajak pertama yang bertajuk Sepintas Pandang (1978) menjadi saksi rasa kasih, cinta dan rindu sehingga mengambil nama kekasih pertamanya “Nazilah Ghafar” sebagai nama pena.

Dia gadis Melayu yang tidak pernah lupa membawa pulang buah nangka dari kampungnya ketika cuti persekolahan untuk dihadiahkan. Buah nangkanya manis dan ranum, seperti juga wajah gadis Melayu itu.

Beliau menambah, gadis Melayu yang berkerudung tersebut menjadi sumber inspirasi beliau dalam dunia kesusasteraan. Beliau menyedari kebolehannya dalam bidang penulisan kreatif apabila mampu menulis surat kepada kekasihnya sehingga lapan halaman.

Selain itu, beliau turut menegaskan penulisan kreatif merupakan bidang ilmu yang sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan perubahan pemikiran penulis. Namun begitu, dikaitkan juga bahawa hanya golongan penulis yang beriltizam tinggi, tekun dan serius sahaja akan terus kekal dalam dunia penulisan. Oleh yang demikian, beliau mengajak para pelajar yang hadir untuk memperbanyak bahan bacaan bagi mendapatkan idea sebelum bermulanya proses menulis.

Encik Syamsul Idzam Jamil menyatakan bahawa objektif utama penganjuran program ini adalah sebagai wadah pertemuan antara sasterawan di negeri Sarawak dengan masyarakat dalam medan keilmuan sekali gus menjadi acara untuk memupuk masyarakat menghayati fungsi karya sastera sebagai perakam kehidupan dan pembina ketamadunan. Syarahan ini turut bertujuan memperkenalkan tokoh sastera agar menjadi suatu bentuk galakan untuk bergiat dalam bidang penulisan kreatif.

Penganjuran program ini yang merupakan kesinambungan daripada program Jerayawara Sasterawan Negeri Sarawak dirangka dengan harapan dapat memperluas dan membudayakan wacana ilmiah di Sarawak, khususnya dalam bidang kesusasteraan supaya masyarakat sentiasa memperbaharui ilmu dan maklumat kesusasteraan tanah air yang turut menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pemodenan semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.