Oleh Marsli N.O
7 April 2023, 07:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Buku memang penting untuk penulis, namun adakah semua buku itu mesti dibaca oleh penulis? Marsli N.O mengajak para penulis untuk menelitinya.

Faktor masa, peningkatan usia, pengalaman, dan pengkhususan akhirnya memerlukan kita menjadi seorang yang lebih memilih sebelum memutuskan untuk membeli sesebuah buku.

Kepentingan buku dan faedah membaca kepada manusia tidak dipertikaikan. Oleh sebabnya, buku demi buku diterbitkan dan perpustakaan dibina di setiap bandar dan desa. Demikian juga di institusi pengajian, sekolah dan rumah. Perpustakaan dibina dan diwujudkan kerana manusia sedar akan kepentingannya.

Buku-buku dibaca manusia kerana ingin memuaskan rasa ingin tahu, mendapatkan maklumat dan menambah ilmu pengetahuan.

Kebanyakan kita pada peringkat awalnya, kerana kurang mengetahui dan merasakan semua buku penting untuk dibaca, biasanya membeli bahan bacaan tanpa pilihan dan strategi tertentu.

Ketika itu, apa-apa sahaja yang bernama buku, yang dirasakan berguna dan perlu dibaca, tanpa berfikir banyak kali, bila punya kemampuan untuk membeli, kita membelinya.

Tidak sahaja untuk diri sendiri, setelah punya anak, kita juga turut membeli buku demi buku untuk anak-anak pula.

Secara demikianlah kita biasanya membina perpustakaan peribadi atau keluarga. Perpustakaan ini terbentuk atau dibina sedikit demi sedikit daripada koleksi buku-buku yang dibeli sejak usia remaja sehingga kian berusia.

Buku demi buku dibeli tanpa perancangan. Kadangkala dibeli semata-mata kerana saban bulan sudah disisihkan peruntukan tertentu dalam perancangan belanja peribadi atau keluarga.

Iklan tawaran harga yang menarik dan makan angin atau percutian bersama keluarga ke acara jualan atau pesta buku juga mendorong pembelian buku tanpa perancangan judul yang teliti dan khusus.

Akan tetapi, sebagai pembaca, tiba satu waktu kita tidak perlu terus-menerus menjadi pemborong yang membeli apa sahaja buku yang kita sangka perlu dibeli, selain dibaca demi menambahkan ilmu, juga dijadikan bahan rujukan dan kemudiannya disimpan di dalam perpustakaan peribadi atau keluarga.

Faktor masa, peningkatan usia, pengalaman, dan pengkhususan akhirnya memerlukan kita menjadi seorang yang lebih memilih sebelum memutuskan untuk membeli sesebuah buku.

Tiba pada waktunya, membaca bukan lagi asal membaca atau sekadar mengisi masa senggang dan untuk menghiburkan diri, tetapi lebih kepada bagaimana mahu menjadikannya kegiatan yang lebih memberikan manfaat dan mendapatkan ilmu yang baharu, berguna dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

Setiap bahan bacaan akhirnya perlu terfokus, bersifat inti dan tergantung keperluan dan bidang pengkhususan, sesuai dengan minat, kecenderungan dan bidang pekerjaan yang menjadi tumpuan seseorang.

Demikian juga dengan seorang yang menulis. Peringkat awalnya dahulu pastilah buku-buku yang dirasakan perlu adalah yang bersifat asas dan memberikan panduan serta petunjuk.

Akan tetapi setelah kenal, bertambah ilmu dan lebih mengetahui, sebagai seorang yang sudah lama menulis, dia tidak perlu lagi membeli buku-buku panduan yang bersifat dasar dengan judul seputar apa dan bagaimana.

Sebaliknya kini, buku yang diperlukan ialah buku yang lebih bersifat dalaman dan inti yang berkaitan dengan falsafah, pembinaan semangat dan intelektual penulis sebagai tumpuan pembicaraannya.

Proses pembacaan seorang yang sudah lama menulis bukan lagi perlu melalui proses mendapatkan maklumat kerana rasa ingin tahu semata-mata, sebaliknya perlu dipertingkatkan sebagai proses untuk menguji dan memperjelas keutuhan serta kebenaran sesuatu maklumat, yang telah sedia ada dalam dirinya atau yang bakal mendatang.

Hal ini yang perlu diutamakan dan didahulukan. Proses membaca bagi seorang yang sudah agak lama menulis bukan lagi sekadar membaca dan terus membaca tanpa arah dan tujuan yang jelas serta bersifat sewenang-wenang.

Kepada seorang yang sudah agak lama menulis, proses membacanya kini ialah proses untuk sekali gus bertanya secara kritis terhadap apa yang dikatakan ‘membaca’ dan menguji keabsahan setiap maklumat yang ditemui dan dimilikinya.

Seseorang yang telah agak lama menulis, atau yang bercita-cita untuk terus menulis dan kekal berjaya, perlu membuang jauh daripada dirinya sifat terlalu suka mengumpul dan mempamerkan buku yang dimilikinya dengan niat untuk membangga-banggakan diri, terutamanya buku berharga mahal dan payah didapati di dalam negeri, semata-mata kerana mahu menbyombongkan dirinya di hadapan orang lain, tanpa mengetahui dengan jelas arah dan tujuan kenapa dirinya membeli, mengumpul dan membaca sesebuah buku.

Sikap statik tanpa menunjukkan sebarang kemajuan yang membanggakan yang dialami seorang yang telah agak lama menulis, tetapi dikenali dalam kalangan kawan-kawan sebagai seorang pengumpul buku, sewajarnya menjadi teladan, betapa jumlah buku yang dimiliki atau dibaca, tidak menjanjikan apa-apa jika tidak disertakan sama dengan kefahaman, fokus dan teknik membaca yang berkesan.

Tegasnya, seorang penulis yang sudah agak lama menulis perlulah tahu dan dapat membezakan matlamat dan tujuan pembacaannya, adakah untuk sekadar mendapatkan maklumat atau pemahaman, tahu membezakan jenis dan mengelaskan buku, adakah buku tersebut bersifat huraian, teori dan amali.

Kepada seorang yang sudah agak lama menulis, proses membacanya kini ialah proses untuk sekali gus bertanya secara kritis terhadap apa yang dikatakan “membaca” dan menguji keabsahan setiap maklumat yang ditemui dan dimilikinya. Pada masa yang sama, mahu tidak mahu, proses pembacaannya juga perlu kembali diteliti seteliti yang mungkin agar setiap buku yang dibacanya, dibaca dengan cara yang betul dan sesuai menurut jenis dan kategorinya.

Hal ini penting dengan apa yang ditegaskan oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren dalam buku How to Read a Book wajar menjadi renungan: “kerana jenis-jenis pengetahuan berlainan, maka buku-buku juga menyampaikan pengajarannya kepada kita secara yang berlainan. Jika kita hendak memahaminya, maka perlulah kita belajar membaca setiap jenis buku dengan caranya yang betul.”

Kredit Foto: Joshua Coleman/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa yang memilih bersendirian dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.