Oleh Karmila Azmi
27 Mei 2022, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Pengarang dari India, Geetanjali Shree, 64, diumumkan sebagai pemenang Hadiah Booker Antarabangsa menerusi novel Tomb of Sand atau tajuk asalnya, Ret Samadhi.

Naskhah itu yang ditulis dalam bahasa Hindi diterjemahkan oleh Daisy Rockwell, mengangkat latar wilayah utara India yang menceritakan kisah seorang wanita berusia 80 tahun yang menemui “suatu kebangkitan baharu yang melangkaui norma sehariannya”.

Novel ini merupakan naskhah pertama dalam bahasa Hindi yang memenangi Booker Antarabangsa.

Hadiah Booker Antarabangsa ialah penganugerahan sastera yang diberikan untuk buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di UK atau Ireland. Pemenang hadiah akan menerima £50 ribu (AS$63 ribu), yang dikongsikan dengan penterjemah.

Dalam acara yang diadakan di London kelmarin, Shree yang menetap di New Delhi berkata, beliau tidak pernah bermimpi mampu memenangi hadiah sastera antarabangsa seperti Booker.

“Hal ini merupakan pengiktirafan yang besar. Saya berasa terkejut, teruja, terhormat, dan rendah diri,” katanya dalam ucapan penerimaan.

Tegas Shree, tradisi sastera dalam bahasa Hindi dan bahasa lain di Asia Selatan sangat besar dan kemenangan itu sebenarnya akan memperkayakan lagi kesusasteraan dunia.

Sementara itu, Rockwell yang juga seorang pelukis dan penulis berkata, anugerah yang dimenanginya bersama Shree merupakan surat cintanya kepada bahasa Hindi.

Tonton majlis penyampaian Hadiah Booker Antarabangsa 2022 di sini.

Kredit Foto: The Booker Prizes

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.