25 April 2022, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi Dalam usaha untuk merapatkan jurang antara dua generasi khalayak pembaca iaitu generasi lama dan generasi baharu, Kata-Pilar Books muncul dengan projek terbaharu mereka, iaitu Siri Tokoh Puisi. Karya yang diterbitkan dalam siri tersebut ialah Sudah Hampir Malam di Kyoto (Muhammad Haji Salleh), Rahang Gelombang (Moechtar Awang) dan Lelaki Berambut Rumput (Rahimidin Zahari).

Siri Tokoh Puisi ini merupakan usaha dokumentasi penerbitan semula karya penyair mapan dalam medium yang lebih kontemporari dan bersifat komersial. Projek tersebut ialah hasil kerjasama antara Kata-Pilar sebagai rumah penerbitan dengan Tukang Puisi dan PORT Ipoh, sebuah agensi kebudayaan di bawah Kerajaan Negeri Perak.

Menurut Fahd Razy, projek ini merupakan sebuah usaha penjenamaan semula naskhah penulis mapan dalam bentuk yang mesra khalayak dan praktikal. Menyedari perkembangan sastera kontemporari yang pantas, diharapkan buku-buku di bawah siri ini boleh membantu untuk menjadikan karya penulis mapan kita sebagai rujukan kepada pembaca dan penulis generasi muda. Tiga penulis mapan ini menjadi pembuka kepada Siri Tokoh Puisi kerana mereka adalah antara penulis yang terbaik mewakili dekad kepenyairan masing-masing. Malah, karya mereka dianggap lengkap dan mudah diakses, selain kerana hubungan antara wakil Kata-Pilar Books dengan waris yang sudah sedia utuh sebelum bermulanya kerjasama ini.

Bersempena dengan itu, Kata-Pilar Books kini telah melancarkan siri buku terbaru mereka itu melalui sebuah Majlis Pelancaran Siri Buku Puisi Penyair Pilihan bertempat di Teratak Buku Jejak Tarbiah, Bangi.

Melalui majlis pelancaran itu, Rasydan Fitri sebagai Pengurus Kata-Pilar Books menambah bahawa melalui pengalaman mereka sebagai penganjur bengkel-bengkel penulisan yang banyak disertai penulis muda juga menyumbang idea untuk menerbitkan semula karya-karya penyair mapan.

“Kami mencadangkan nama-nama penyair mapan kepada peserta bengkel kami, namun sukar untuk kami menamakan judul-judul khusus. Selain daripada senarai karya yang sangat panjang, situasi unik hari memaparkan sama ada buku itu sudah tidak dicetak atau dijual dengan sangat terhad. Malah dalam beberapa situasi buku ini dijual dengan harga yang melampau dan pelbagai lagi isu lain.”

Rasydan Fitri bersama-sama dengan Sasterawan Negara Prof. Dr. Siti Zainon Ismail.

“Majlis Pelancaran Siri Buku Puisi Penyair Pilihan” itu dirasmikan oleh Sasterawan Negara Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Melalui ucapan perasmiannya, beliau menyatakan rasa bahagianya dalam usaha ini beserta hasrat untuk mengangkat perbincangan sastera tempatan agar tidak kalah dengan negara-negara jiran.

Terima kasih kepada Kata-Pilar kerana memilih orang yang tepat untuk memulakan Siri Tokoh Puisi ini. Moechtar Awang yang kini muncul kembali setelah lama menghilang. Rahimidin Zahari yang telah pergi meninggalkan kita namun suaranya masih bersama kita melalui puisi-puisinya, dan Prof. Muhammad Haji Salleh, seorang pemerhati yang sangat teliti.

Beliau sempat menegaskan bahawa dalam penerbitan karya sastera, perlu juga supaya pengkaji-pengkaji muda hari ini untuk bergiat menulis resensi, ulasan dan pemikiran kritis mereka berdasarkan karya-karya tempatan. Penulisan tersebut berupaya menggerakkan sastera tempatan seiring dengan pergerakan kesusasteraan di luar negara.

Majlis pelancaran itu turut menyasikan berlangsungnya sebuah forum bertajuk “Yang Lama Dikelek Yang Baru Didukung” yang menampilkan Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh, Moechtar Awang, Zainal Rashid Ahmad dan Wan Nor Azriq sebagai panel forum. Ainunl Muaiyanah pula tampil sebagai moderator bicara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!