Oleh Nizam Idris
20 April 2022, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nizam Idris menyoal kembali tulisan Firdaus Mul jika mata pelajaran Kesusasteraan Melayu benar-benar memerlukan penjenamaan semula untuk kekal relevan pada zaman sekarang.

Masihkah kita mahu berfantasi bahawa penjenamaan semula ialah satu-satunya langkah ke depan untuk kekal relevan mendepani zaman?

Sesuatu yang kita selalu banggakan dengan negara kita ialah kepelbagaian bangsa dalam Keluarga Malaysia. Setiap bangsa ini memiliki akar budaya dan sasteranya yang tersendiri. Kerencaman ini juga menyebabkan kita terpisah oleh bahasa ibunda masing-masing dan juga geografinya. Sama ada kita sedar atau tidak, bahasa Melayu di tanah air tercinta kita ini mengalami pelbagai cabaran, sekalipun sudah ditakhtakan sebagai bahasa rasmi Malaysia dalam Perlembagaan Malaysia sejak tahun 1963. Jika bahasa Melayu dilihat begitu bersusah payah meletakkan dirinya sebagai bahasa ilmu di sekolah dan universiti, apatah lagi dengan Kesusasteraan Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Kesusasteraan Melayu dikatakan sudah tidak menarik minat pelajar dan ada yang berpendapat mata pelajaran ini perlu melalui satu proses penjenamaan semula untuk kekal relevan. Walau bagaimanapun, barangkali ramai yang tidak menyedari bahawa mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pada peringkat menengah atas sudah pun dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak beberapa tahun lalu.

Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, KMK yang menggantikan Kesusasteraan Melayu sejak tahun 2017 pada peringkat SPM digubal untuk bersifat komunikatif kerana murid perlu banyak berbincang semasa menilai teks serta memberikan peluang kepada murid untuk berkarya dan menonjolkan kreativiti dalam bidang kesusasteraan. Kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) KMK terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Apresiasi Sastera, Pembangunan Insan dan Pengkaryaan. Ketiga-tiga bahagian ini merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan dalam KMK yang perlu dikuasai oleh murid menengah atas (Tingkatan 4 dan 5).

Selain itu, cadangan untuk menambah Kesusasteraan Melayu ke dalam senarai subjek wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu cadangan yang terkedepan. Cadangan ini hanya akan menambah beban kepada sebilangan besar pelajar. Pelajar sudah diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam (6) mata pelajaran dalam SPM. Jika kita melihat di United Kingdom sekalipun, English Literature tidak diwajibkan untuk diambil oleh pelajar GCSE (peperiksaan yang setara dengan SPM). Hal ini juga akan menimbulkan banyak masalah teknikal, antaranya kepada pelajar yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) yang mengambil mata pelajaran agama yang lebih banyak.

Selain itu, dengan mengambil contoh penjenamaan semula aliran sains di sekolah kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sebenarnya tidak memberikan apa-apa impak yang signifikan. Ia hanya satu perubahan bersifat kosmetik semata-mata. Mata pelajaran yang dikategorikan sebagai STEM ini asasnya tetap Matematik (katalah, siapa yang menggunakan X dan Y dalam kehidupan, padahal setiap hari kita menggunakan aplikasi Google Maps untuk mencari lokasi), Fizik (oh, terlalu banyak formula), Kimia (memasak di rumah tidak menggunakan Natrium Klorida), dan Biologi (banyaknya yang harus dibaca dan dihafal). Bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran STEM tidak banyak berubah malahan menunjukkan trend yang statik.

Lalu, masihkah kita mahu berfantasi bahawa penjenamaan semula ialah satu-satunya langkah ke depan untuk kekal relevan mendepani zaman? Ada sesetengah perkara tidak perlu diubah akarnya. Jika diibaratkan Kesusasteraan Melayu ini pokok, kita hanya menukarkan baja dan jenis tanah sahaja untuk memastikannya terus subur dalam ranah sistem pendidikan. Antaranya termasuklah pemilihan karya malar segar dan sudah diuji zaman, bukannya sesuatu yang bersifat popular dan kontemporari. Cukuplah dengan ketidaktentuan kita dengan penamaan “Bahasa Melayu”, dinamakan sebagai “Bahasa Malaysia”, kemudian akhirnya kembali dengan nama yang telah digariskan dalam perlembagaan, iaitu “Bahasa Melayu”.

Bukankah pelajar universiti ternama dunia seperti Harvard juga mengambil mata pelajaran sastera sebagai salah satu komponennya?

Soal untuk kekal relevan seharusnya ditumpukan kepada penambahbaikan sistem penyampaian untuk menarik minat pelajar dan masyarakat. Pendekatan yang bersifat memaksa biasanya tidak akan kekal lama. Contohnya dalam KSSM, Komponen Kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) tidak diberikan penekanan dalam format SPM mulai tahun 2021, sebaliknya Lembaga Peperiksaan Malaysia buat pertama kalinya memperkenalkan kertas Ujian Mendengar dan Ujian Bertutur untuk semua calon yang dijalankan secara pentaksiran pusat. Begitu juga dengan komponen Literature in English dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Dalam format terbaharu SPM mulai tahun 2021, komponen ini dihapuskan sama sekali. Format peperiksaan Bahasa Inggeris dibina berteraskan empat kemahiran bahasa, iaitu menulis, membaca, mendengar, dan bertutur. Pelajar tidak lagi dipaksa untuk membaca karya-karya sastera agar dapat menjawab kertas peperiksaan Bahasa Inggeris.

Bermula tahun 2019, Sasterawan Negara mula ditempatkan di universiti-universiti awam sebagai Profesor Adjung. Contohnya, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Manakala Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dilantik sebagai Karyawan Tamu Utama di Universiti Utara Malaysia (UUM). Langkah ini amatlah baik dalam mendekatkan sasterawan dengan khalayak kampus yang terdiri daripada golongan muda. Menurut bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, setiap sasterawan dicadangkan untuk menyumbang kira-kira 10 hingga 30 jam setahun bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan warga kampus dengan Sasterawan Negara, seperti program Bedah Buku dan Wacana Ilmiah.

Pendekatan yang sama boleh dilakukan di peringkat sekolah. Sekolah secara autonominya boleh melaksanakan program yang sama dengan menjemput barisan penulis mapan berkaliber yang telah terbukti karyanya, seperti Nisah Haron (Sasterawan Muda MASTERA) dan Wan Nor Azriq (penulis prolifik dan pemenang tempat pertama melalui novelnya D.U.B.L.I.N. dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH pada tahun 2014). Sekolah juga boleh menjemput barisan editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk berkongsi pandangan membina dan memberi panduan penulisan kepada pelajar dan guru.

Barisan editor ini tentu sekali berasa teruja untuk berkongsi pengalaman dalam bidang sastera dan penerbitan. Jarak dan masa kini bukan lagi suatu halangan yang perlu diperbesar. Betapa pandemik sekitar tiga tahun ini telah memunculkan banyak aplikasi yang memberi ruang bersua muka yang lebih mudah, seperti Zoom, Teams dan Google Meet. Tidak perlu lagi sekolah menyediakan dewan yang gah dan majlis yang meriah.

Lebih jauh daripada itu, mungkin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah berasrama penuh berasaskan sains sebagai mata pelajaran elektif sepertimana Pendidikan Seni Visual yang diperkenalkan di Maktab Rendah Sains MARA pada peringkat SPM. Langkah ini boleh menyeimbangkan sisi sains yang dikatakan keras dengan sisi lembut kemanusiaan. Bukankah pelajar universiti ternama dunia seperti Harvard juga mengambil mata pelajaran sastera sebagai salah satu komponennya?

Saya percaya masih ada cahaya untuk Kesusasteraan Melayu bersinar di bumi tercinta Malaysia. Semoga matlamat KSSM KMK untuk melahirkan murid yang dapat memiliki ilmu dan pengetahuan tentang kesusasteraan; berkemahiran dalam usaha menghasilkan karya kreatif yang menepati ciri-ciri; berkeperibadian mulia dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara; serta mampu memahami, menghayati dan menghargai karya sastera akan tercapai.

Berbalik pada persoalan utama, mahu menjenamakan semula Kesusasteraan Melayu kepada apa? Lebih penting lagi, di manakah ingin diletakkan Kesusasteraan Melayu ini dalam sistem pendidikan kita yang ternyata bersimpang-siur ini?

Kredit Foto: Ren Ran/Unsplash

_________________________

Nizam Idris lahir pada 16 November 1986 dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Karya penulisannya pernah tersiar dalam Tunas Cipta dan Dewan Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!