Oleh Firdaus Mul
8 Mac 2022, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firdaus Mul berasa sastera makin dipinggirkan. Oleh itu, beliau menyatakan beberapa pandangan agar kesusasteraan Melayu kembali terasa segar dan relevan di mata masyarakat awam.

Sastera bukan hanya sekadar perihal puisi dan prosa, tetapi kesusasteraan Melayu juga berkisar tentang identiti, adat, budaya, agama, pemikiran, dan falsafah.

Dalam meniti arus kemodenan, aliran kesusasteraan Melayu begitu terkesan dengan pelbagai persepsi sebilangan masyarakat negara ini. Tanggapan serong tentang kesusasteraan Melayu yang didakwa kononnya hanya mengandungi angan-angan, dongeng, tidak mempunyai arah, dan tidak mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara semakin merisaukan. Tanggapan ini mula bermaharajalela dalam segenap ruang pemikiran masyarakat.

Persoalan mula timbul, mengapa keadaan ini berlaku? Mengapa tanggapan ini mula terbina dan kian bermaharajalela? Jawapannya mudah: kesusasteraan Melayu masih tidak dikenali dan difahami oleh umum. Kesusasteraan Melayu setakat ini hanya dikenali oleh ahlinya sahaja, seolah-olah kesusasteraan Melayu ini bersifat eksklusif. Walhal hakikat sebenarnya, kesusasteraan Melayu milik setiap lapisan masyarakat. Negara bangsa yang terbina hari ini juga lahir daripada pelbagai sumbangan karya kesusasteraan Melayu.

Sastera bukan hanya sekadar perihal puisi dan prosa, tetapi kesusasteraan Melayu juga berkisar tentang identiti, adat, budaya, agama, pemikiran, dan falsafah. Akan tetapi, atas dasar bidang Kesusasteraan Melayu menjadi suatu bidang pilihan (dalam disiplin yang mendekati hal kemanusiaan) untuk diterokai, maka sebilangan masyarakat hari ini mudah memperlekeh dan memandang rendah terhadap usaha-usaha yang cuba dijayakan dalam memastikan pembangunannya. Sambutan daripada anak muda terhadap bidang Kesusasteraan Melayu juga semakin dingin. Sekiranya keadaan ini semakin dibiarkan, sudah tentu secara tidak langsung akan mula merencatkan kelangsungan bidang Kesusasteraan Melayu di negara kita.

Sehubungan itu, Kesusasteraan Melayu memerlukan penjenamaan semula untuk memastikan kelangsungannya. Hanya dengan mekanisme penjenamaan semula yang dapat mendidik masyarakat tentang kepentingannya, khususnya apabila memahami dan menelaah sejarah kesusasteraan Melayu yang sudah sekian lama menjadi asas dalam pembinaan negara bangsa. Penjenamaan semula yang dimaksudkan di sini merupakan satu bentuk pengenalan baharu dan penstrukturan semula sistem pendidikan yang digunakan untuk disampaikan kepada masyarakat. Penting untuk diingat, penjenamaan ini bukan tentang perubahan bidang Kesusasteraan Melayu, tetapi lebih tertumpu pada kepentingan pewaris masyarakat untuk memahami setiap lapisan genre yang ada dalam bidang tersebut.

Pengekalan pada pembelajaran berdasarkan teks-teks rujukan yang sudah dipelajari bertahun-tahun sebelum ini menyebabkan pembelajaran subjek Kesusasteraan Melayu dipandang lesu.

Penjenamaan ini perlu bermula pada peringkat sekolah. Saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengkaji semula Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu peringkat menengah rendah dan menengah atas. Bahkan lebih baik jika subjek Kesusasteraan Melayu dijadikan sebagai satu lagi subjek wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yakni dalam fasa proses penjenamaan semula yang bermula daripada akar umbi. Menjadikan subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek wajib lulus, secara tidak langsung menggerakkan langkah kita untuk mendidik para pelajar di bangku sekolah tentang kesedaran pentingnya memahami dan menguasai bidang kesusasteraan.

Ilmu Kesusasteraan Melayu yang dipelajari bukan sahaja menjadikan mereka mengenali akan khazanah ilmu bangsa yang diwarisi, tetapi secara tidak langsung membentuk jati diri yang utuh. Penting untuk diingat, ilmu Kesusasteraan Melayu tidak hanya memfokuskan pada keindahan bahasa semata-mata, tetapi juga berupaya memberikan pengisian psikologi yang sangat diperlukan dalam pembangunan minda para pelajar sekolah, yakni genre karya sastera remaja yang sangat bersesuaian dengan tuntutan penyelesaian isu dan dilema yang dihadapi oleh golongan remaja.

Saya begitu kagum dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ketika menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek lulus SPM. Langkah ini mendapat sambutan yang cukup baik sehingga dapat melahirkan para pelajar cemerlang yang menguasai bidang Sejarah. Perkara ini yang kita mahukan. Mereka bukan sahaja nanti dapat menguasai dan mengenali bidang Kesusasteraan Melayu, bahkan secara tidak langsung berhasil untuk melahirkan pelapis-pelapis cendekiawan dalam bidang tersebut. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya.

Dalam masa yang sama, teks rujukan yang digunakan dalam subjek Kesusasteraan Melayu perlu selalu dikemas kini. Pengekalan pada pembelajaran berdasarkan teks-teks rujukan yang sudah dipelajari bertahun-tahun sebelum ini menyebabkan pembelajaran subjek Kesusasteraan Melayu dipandang lesu. Oleh hal yang demikian, dalam proses penjenamaan semula ini juga, suka untuk saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar menggantikan teks-teks rujukan sedia ada kepada teks-teks rujukan terkini. Misalnya, karya Sasterawan Negara dan karya pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Karya-karya masyhur seperti ini perlu menjadi teks rujukan kepada pelajar sekolah untuk dibaca, dihayati dan dianalisis setiap inci ilmu yang terkandung di dalamnya. Hal ini selari dengan perancangan melatih dan melahirkan pelajar sekolah yang cerdas dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Saya akui perubahan ini, sekiranya dilaksanakan akan memakan perbelanjaan yang tinggi dan memerlukan proses yang lama dalam penapisan teks sebelum diluluskan menjadi buku teks rujukan pelajar sekolah. Perihal menggantikan teks terkini dengan teks-teks baharu bukanlah satu perkara yang mustahil. Hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Perbadanan Kota Buku sudah pun membangunkan aplikasi KPM eTextBook Reader bagi memudahkan setiap pelajar mengakses buku teks sekolah. Maka, dengan platform yang telah tersedia ini, usaha untuk menggantikan teks-teks sastera kepada teks-teks yang saya maksudkan akan menjadi lebih mudah. Kejayaan dalam perkembangan pendidikan digital ini tidak cukup dengan membangunkan sebuah aplikasi, malah usaha ini akan lebih berkesan dengan penerapan buku teks yang baharu untuk menjadi bahan rujukan pelajar. Dari segi penapisan bahan, saya akui memang memerlukan masa yang panjang sebelum mendapatkan kelulusan, tetapi hal ini tidak bermakna rancangan penjenamaan semula ini tidak boleh dilaksanakan. Kesemua ini demi kelangsungan bidang Kesusasteraan Melayu dan pembangunan minda pelajar-pelajar sekolah yang turut selari dengan pembangunan pendidikan dekad ini.

Selain itu juga, para pelajar sekolah hari ini perlu diberikan penekanan berkaitan pengenalan pada beberapa platform yang sedia ada, khusus untuk para pelajar sastera. Misalnya, hari ini Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka giat membangunkan akses digital untuk penyiaran bahan bacaan majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Tamadun Islam, dan Tunas Cipta. Malah, yang lebih menggembirakan, setiap ruangan majalah ini memberikan ruang kepada pelajar dan masyarakat di luar sana untuk menghantar hasil penulisan mereka bagi tujuan penerbitan. Tunas Cipta dan Dewan Siswa antara platform yang sedia menerima hasil penulisan kreatif ataupun penulisan separa ilmiah daripada kategori umur pelajar sekolah. Bermaksud, dalam proses pendidikan pelajar sastera di sekolah, mereka bukan sahaja memahami, menghayati dan mengkaji teks-teks sastera Melayu, tetapi secara tidak langsung melalui penjenamaan semula ini turut melibatkan diri mereka dalam proses mempraktikkan penulisan kreatif dan ilmiah. Saya begitu dukacita sewaktu menjalani “magang” (latihan industri) di salah satu Pusat Tingkatan Enam di Sabah. Saya melihat, ada sebahagian pelajar subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif mempunyai bakat dalam penulisan kreatif tetapi mereka tidak tahu di manakah wahana sesuai untuk disalurkan karya mereka bagi tujuan penerbitan. Maka, dengan langkah penjenamaan semula ini, kita bukan sahaja dapat mengangkat semula bidang Kesusasteraan Melayu yang bermula pada peringkat akar lagi, tetapi secara tidak langsung juga tindakan ini dapat mempromosikan platform-platform sedia ada kepada masyarakat di pedalaman khasnya sebagai wahana pelaksana untuk diguna pakai, baik dalam bacaan (sumber rujukan tambahan) mahupun penulisan/penyiaran, sekali gus dapat mencungkil bakat para pelajar sekolah yang berminat dalam bidang penulisan.

Sastera sememangnya pembentuk jati diri, pembina golongan intelektual yang mandiri dan pengasah akal fikiran yang berwawasan.

Sementara pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) pula, penjenamaan semula ini perlu bermula dengan menjadikan kursus Kesusasteraan Melayu (Asas) sebagai satu subjek wajib lulus untuk siswa siswi yang menekuni bidang sains sosial dan pendidikan. Tindakan ini dapat memupuk kesedaran baharu kepada para bakal graduan tentang kepentingan menguasai ilmu kesusasteraan Melayu.

Hari ini dalam status keadaan semasa, kursus Kesusasteraan Melayu hanya dilihat sebagai kursus pilihan yang sesuai dipelajari oleh para pelajar yang “tercicir” ataupun pelajar yang tidak mempunyai daya berfikir yang tinggi dan kritis. Maka, melalui langkah menjadikan kursus ini sebagai satu kursus wajib, kita berjaya menjadikannya sebagai satu keperluan, bukan lagi sebagai satu pilihan yang boleh dipandang ringan.

Keberhasilan secara tidak langsung tersebut dapat merawat tanggapan serong tentang kesusasteraan Melayu yang kian membara dalam pemikiran sebilangan masyarakat di negara ini. Langkah ini pasti terlihat seperti satu pemaksaan kepada bakal graduan, tetapi penting untuk kita ketahui, hanya dengan penjenamaan semula ini sahaja kita dapat mengisi pemikiran bakal graduan dengan khazanah ilmu yang terkandung dalam kesusasteraan Melayu.

Penjenamaan ini bukan sesuatu yang mustahil. Jika sebelum ini kita berhasil menjadikan subjek Kenegaraan, Pengajian Malaysia, Agama dan Tamadun Islam, Hubungan Etnik, dan Tamadun Islam dan Tamadun Asia sebagai kursus wajib bagi semua graduan, maka tidak mustahil juga untuk kursus Kesusasteraan Melayu. Bahkan, secara tidak langsung, prakarsa ini turut memberikan perkembangan dalam usaha menekuni ilmu yang berkaitan dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana, sastera dan bahasa ibarat isi dan kuku. Sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Mereka yang menekuni ilmu sastera secara tidak langsung juga akan menekuni ilmu bahasa. Sambil menyelam minum air, begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan keberhasilan penjenamaan ini jika dilaksanakan.

Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kesusasteraan Melayu masih lagi kekal relevan dalam peredaran zaman. Dalam masa yang sama, saya juga menyeru kepada semua pihak, terutamanya kepada para graduan sastera di seluruh Malaysia untuk mula bertindak memberikan kesedaran kepada masyarakat di luar sana tentang pentingnya ilmu kesusasteraan Melayu kepada anak bangsa. Kita semua merupakan graduan yang memikul amanah untuk menyampaikan ilmu ini kepada seluruh masyarakat di luar sana. Sastera sememangnya pembentuk jati diri, pembina golongan intelektual yang mandiri dan pengasah akal fikiran yang berwawasan. Kempen dan perkembangan tentang kesusasteraan Melayu perlu disebarkan secara luas dan bijaksana kepada masyarakat. Sememangnya, kesusasteraan Melayu itu bukan hanya karangan puisi atau prosa yang tertinggal dalam buku di perpustakaan, tetapi turut tumbuh mekar, seiring berkembangnya teknologi dan kemajuan hari ini.

Kredit Gambar: Philip Stieber/Unsplash

_________________________

Firdaus Mul ialah nama pena Ahmad Firdaus bin Mul. Beliau lahir di Lahad Datu pada 28 Februari 1996 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan Melayu) dari Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan penulis yang lahir daripada Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sesi tahun 2018. Kebanyakan hasil penulisannya tersiar dalam majalah keluaran DBP, khususnya dalam Tunas Cipta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.