Oleh Farisha Hanim
14 April 2022, 07:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Farisha Hanim memotret perjalanan jauh dan mekar seorang penulis wanita yang jarang-jarang diutarakan, Rosmiaty Shaari.

Kecintaan beliau terhadap kesusasteraan membuatkan beliau mengambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek tambahan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara diam-diam tanpa pengetahuan ibu bapanya ketika beliau masih berada dalam aliran sains lagi. Hal ini berikutan dengan tanggapan masyarakat ketika itu yang memandang tinggi terhadap pelajar aliran sains.

Rosmiaty Shaari. Sebuah nama yang mungkin asing bagi penulis muda di Malaysia, namun tidak bagi masyarakat yang benar-benar mencintai karya sastera sejak era 1980-an.

Beliau diberi nama Rosmiaty binti Shaari yang dilahirkan pada 25 Mei 1961 di Teluk Intan, Perak. Beliau yang kini bermastautin di Melaka, telah melayari bahtera perkahwinan selama 35 tahun bersama seorang lagi penulis dan pemikir sastera Malaysia, Zainal bin Jazlan atau juga dikenali dengan nama pena Djazlam Zainal. Hasil perkahwinan mereka telah melahirkan tujuh orang cahaya mata.

Rosmiaty Shaari telah mendapat pendidikan di sekolah aliran Inggeris, iaitu di Methodist Girls School, Teluk Intan sehingga darjah enam. Pada peringkat menengah pula, beliau dimasukkan ke Sekolah Menengah Raja Muda Musa sehingga tingkatan tiga dan menyambung peringkat seterusnya di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz dalam aliran sains sehingga tamat tingkatan enam dengan memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Kecintaan beliau terhadap kesusasteraan membuatkan beliau mengambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek tambahan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara diam-diam tanpa pengetahuan ibu bapanya ketika beliau masih berada dalam aliran sains lagi. Hal ini berikutan dengan tanggapan masyarakat ketika itu yang memandang tinggi terhadap pelajar aliran sains.

Walaupun begitu, Rosmiaty Shaari tetap menampakkan minat mendalamnya untuk bidang kesusasteraan. Beliau pernah menulis sebuah cerpen bertajuk “Nenek Utih” ketika berusia 19 tahun, dan cerpen ini telah memenangi Sayembara Cerpen PENTAS pada tahun 1980 anjuran Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Teluk Intan. Berkat kesungguhannya, ibu bapa beliau bersetuju untuk menghantarnya menyambung pelajaran pada peringkat lebih tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Pengajian Seni Kreatif (Kesusasteraan) pada tahun 1983/1984.

Walaupun pada ketika itu keluarganya hidup dalam serba kekurangan, ibu bapanya sanggup untuk menggadai barang-barang berharga dan berulang alik ke USM untuk menghantar Rosmiaty menyambung pelajaran dalam kursus pendek selama setahun itu. Menelusuri kisah pendidikannya di USM, beliau telah berpeluang untuk menimba ilmu di bawah bimbingan Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad; Sasterawan Kelantan, Dr. Fatimah Busu; Dr. Ali Ahmad; dan Profesor Noriah Taslim.

Hasil didikan para ilmuwan yang hebat itu, Rosmiaty Shaari telah berjaya menjadi seorang editor di Teks Publishing sehingga tahun 1989. Kemudian, pada tahun 1990, beliau menjadi editor di Marwilis Publisher sehingga tahun 1994. Setelah itu, beliau memilih untuk bekerja bebas sebagai editor dengan beberapa penerbit, seperti Flo Enterprise, SA Margit dan Penerbit Murni. Beliau juga gigih menghasilkan beberapa karya sepanjang tahun 1980-an sehingga 1990-an, seperti kumpulan cerpen perseorangan, Malam Seribu Malam (1989) yang diterbitkan oleh Teks Publishing. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan cerpen “Matahari Kian Rembang” yang telah memenangi Sayembara Cerpen Kerajaan Negeri Selangor. Beliau kemudiannya memilih untuk berhenti seketika dalam dunia kesusasteraan lebih kurang 15 tahun kerana cabaran yang beliau hadapi, lebih-lebih lagi apabila beliau perlu menjaga dan membesarkan anak-anak di rumah.

Rosmiaty Shaari kemudian terpanggil semula untuk kembali dalam dunia penulisan sastera sekitar tahun 2010 setelah beliau mampu untuk memberi fokus kepada minatnya kembali. Keputusannya untuk kembali ke dunia penulisan kali ini telah membuka peluang untuk melayarkan karya beliau pada peringkat antarabangsa pula. Kali ini, penulisannya menjadi tumpuan para penulis dan peneliti sastera dari negara seberang. Karya-karyanya, terutama bergenre puisi telah menjadi pilihan para peminat sastera di Indonesia.

Kumpulan puisi perseorangannya, …dari Hitamputih Menjadi Zarah (2011) telah dibicarakan oleh Dr. Handoko F Zainsam dan telah dilancarkan di Pusat Dokumentasi HB Jasin, Taman Ismail Marzuki, Jakarta pada Oktober 2011. Begitu juga pada tahun 2014, terdapat sepuluh puisi beliau yang telah terpilih bersama 10 penyair Malaysia dan Indonesia dalam Kumpulan Puisi Perempuan Indonesia-Malaysia yang diterbitkan oleh Pustaka Obor dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Selain itu, karya-karya beliau juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing, seperti bahasa Inggeris, Thai dan Tamil.

Meneliti karya-karya puisi beliau seperti “…dari Hitamputih Menjadi Zarah”, “Ketika Isyarat” dan “Daun Nan Bercinta” boleh dilihat sebagai ungkapan peribadi yang banyak berunsurkan kerohanian dan ketuhanan. Dalam kumpulan puisi Daun Nan Bercinta (2015), beliau telah menyatakan bahawa penulisan puisi merupakan sebuah tanggungjawab yang perlu selari dengan hukum dan tindakan yang ditetapkan dalam Islam dan penyair perlu betul-betul menulis dengan penuh hikmah kepada manusia.

Dalam sebuah wawancara bersama-samanya, beliau berkata, “Cikgu Shahnon (Ahmad) berpesan, menulis bukan sekadar menulis kerana setiap perkataan ialah saksi, maka menulislah kerana Allah dengan hikmahnya untuk manusia.”

Jika dilihat dalam puisi-puisinya, Rosmiaty banyak memberikan pesanan dan pengajaran yang mendalam. Bahasa yang digunakannya mudah dan senang difahami, namun mempunyai banyak makna yang berlapis. Selain itu, terdapat juga keunikan dalam setiap penulisan puisinya, iaitu tiada huruf besar yang digunakan pada setiap awal ayat walaupun untuk kata nama khas, kecuali jika merujuk nama Allah. Hal ini dikongsi oleh beliau sendiri apabila beliau menyatakan bahawa terdapat makna tersirat di sebalik gaya penulisan tersebut.

Huruf-huruf kecil yang digunakan menjadi perlambangan bagi sifat hamba dan huruf besar hanya digunakan pada nama Allah sahaja. Selain itu, salah satu keunikan lain yang terdapat dalam gaya penulisannya ialah, beliau menggunakan titik elipsis pada kumpulan puisi awalnya, seperti yang terdapat dalam …dari Hitamputih Menjadi Zarah dan Daun Nan Bercinta untuk menunjukkan pemikiran yang belum berakhir dan pergerakan yang belum berhenti. Rosmiaty Shaari menganggap titik atau noktah dalam puisi merujuk kepada makna kematian.

Rosmiaty mengakui sendiri bahawa minatnya terhadap sastera bertitik tolak daripada kedua-dua ibu bapanya sendiri.

Pengucapan puisi penghormatan kepada Allahyarham Malim Ghozali PK oleh Rosmiaty Shaari pada tahun 2020 di Coral Beach Resort, Pulau Pangkor.

Perjalanan beliau dalam sastera yang panjang telah dipenuhi dengan pengalaman yang bermacam-macam. Bagi Rosmiaty Shaari sendiri, pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya adalah ketika bapanya membelikan mesin taip untuknya, yang dibayar secara ansuran, walaupun mereka bukanlah hidup dalam keadaan senang. Mesin taip itu dianggap sebagai tanda sokongan daripada bapanya agar beliau meneruskan minat dalam dunia penulisan. Begitu juga dengan ibunya yang sering teruja untuk mendengar dan mengetahui karyanya yang tersiar dalam akhbar melalui bapanya, kerana ibunya tidak boleh membaca. Ibunya akan mendengar karya yang tersiar itu melalui suaminya sambil menekat benang emas atau menganyam tikar.

Rosmiaty mengakui sendiri bahawa minatnya terhadap sastera bertitik tolak daripada kedua-dua ibu bapanya sendiri. Bapanya sendiri sering menceritakan kepadanya tentang sosok-sosok sasterawan yang terkenal di tanah air ketika itu, seperti Sasterawan Negara Usman Awang, Harun Aminurrashid, Za’ba, dan Ngumba. Selain itu, ibunya juga sangat suka bercerita atau berkongsi kisah-kisah rakyat. Malah, ibunya ibarat seorang penglipur lara dalam sastera rakyat. Jirannya sewaktu beliau masih bersekolah rendah, iaitu Abdul Mutalib merupakan seorang penulis. Abdul Mutalib juga disebut sebagai antara peranan utama yang mendedahkan Rosmiaty dalam dunia penulisan sastera.

Antara pengalaman menariknya, Rosmiaty Shaari sering berulang-alik dari Malaysia ke Indonesia atas tujuan memenuhi jemputan daripada pihak penganjur dalam acara-acara sastera di sana. Daripada pemerhatiannya, sastera merupakan suatu perkara yang sangat diminati oleh masyarakat di sana, walaupun kepada kanak-kanak yang berusia setahun jagung. Perkara ini bukanlah suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Sepanjang berkarya, beliau telah menghasilkan lebih 35 karya, sama ada secara bersendirian mahupun secara berkumpulan (kolaborasi). Karya-karyanya sentiasa diiktiraf dan disegani oleh para pencinta dan peneliti sastera. Buktinya, beliau telah berjaya mendapat banyak hadiah dan anugerah pada peringkat negeri dan kebangsaan, seperti Hadiah Utama Anugerah Puisi Dunia Numera (2014) bagi puisi “Risalah Melayu”, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 bagi cerpen “Istana Cindai”, Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2012/2013 bagi cerpen “Istana Cindai”, Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2016/2017 bagi kumpulan puisi Daun Nan Bercinta, dan Hadiah Penghargaan Kuala Lumpur World Book Capital 2021 bagi kumpulan puisi Ketika Isyarat.

Kesungguhan dan keikhlasan beliau terhadap dunia kesusasteraan tidak dapat dinafikan lagi. Masyarakat perlu menyedari bahawa terdapat penulis sastera di Malaysia yang baik seperti Rosmiaty Shaari. Nilai kesabaran, kebijakan dan kerajinannya dalam usaha menyemarakkan dunia kesusasteraan telah banyak ditonjolkan, bukan sahaja melalui hasil penulisan, bahkan juga melalui penyertaan beliau dalam acara sastera dari pelbagai negara.

Penulis-penulis muda kini perlu mengambil perhatian terhadap Rosmiaty sebagai contoh dan ikutan untuk menghasilkan karya. Beliau sangat menekankan penulis baharu agar sentiasa mempelajari teknik atau kemahiran melalui kelas atau bengkel sastera untuk memajukan diri. Beliau boleh dianggap sebagai bukti bahawa minat perlu disertai dengan usaha untuk berjaya dalam apa-apa bidang yang diceburi.

_________________________

Farisha Hanim merupakan graduan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Minat menulis sejak berumur 15 tahun lagi dengan menghasilkan puisi. Kini, Farisha sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan cerpen dan novel.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!