11 April 2022, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur   Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Siri Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) yang keenam bertajuk “Kitab Tib Melayu: Konsep, Sejarah dan Aliran”. Ahli panel bagi KUPAS kali ini ialah Prof Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. Perbincangan tersebut berkaitan dengan Konsep Kitab Tib, Sejarah Perkembangan Ilmu Tib Melayu dan Aliran dalam Kitab Tib Melayu.

Kitab Tib Melayu bermaksud kitab perubatan Alam Melayu yang berbeza dengan perubatan moden. Ilmu Tib Melayu merangkumi ilmu tabib, perdukunan, perbomohan, perubatan, dan lain-lain. Dalam erti kata lain, istilah “Tib” lebih menyeluruh dan lebih menggambarkan penghasilan, perkembangan dan pengamalan ilmu dalam konteks masyarakat Melayu. Ilmu Tib Melayu juga bersifat ilmiah, tradisional dan bersifat elektik. Konsep ilmu Tib Melayu juga tidak meninggalkan penyerahan dan pengharapan kepada Allah SWT.

Selain itu, kitab Tib Melayu juga sarat dengan pilihan ramuan ubatan dan kaedah rawatan penyakit. Contohnya, terdapat 220 ramuan untuk penyakit kepialu. Kebanyakan kitab Tib Melayu tidak berbentuk formal sebaliknya berbentuk catatan peribadi tabib. Catatan tersebut merangkumi kesemua jenis penyakit fizikal dan kerohanian dan bukan untuk bacaan atau rujukan umum.

Sejarah perkembangan ilmu Tib Melayu bermula dengan interaksi dan pertukaran budaya dengan pedagang dan perantau asing dari India, Arab, Cina dan Eropah. Contohnya, kaedah dan ramuan yang dicatat bukanlah ramuan yang sinonim dengan Alam Melayu melainkan merupakan hasil daripada pertembungan dan pertukaran budaya serta interaksi antara kaum. Kebanyakan kitab Tib Melayu yang ditemui hari ini ditulis sekitar abad ke-19 dan abad ke-20. Penulisan ilmu Tib Melayu tidak hanya berbentuk secara khusus, tetapi wujud dalam pelbagai genre seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hukum Kanun Melaka, Taj al-Salatin, Hikayat Aceh, Bustan al-Salatin, Hikayat Banjar, Misa Melayu, Syair Siti Zubaidah, Hikayat Siak dan Syair Engku Puteri.

Aliran dalam ilmu Tib Melayu pula meliputi empat aspek perbandingan iaitu konsep, kerangka dasar ilmu Tib, proses pengubatan dan rawatan serta pengkaryaan. Dalam aliran Tib Melayu, terdapat dua aliran utama iaitu “Aliran Tradisional” (dominan) dan “Aliran Tradisi Perubatan Arab-Islam” (marginal).

Ilmu Tib Melayu masih mendapat tempat dan pengaruh dalam masyarakat. Pihak berwajib harus memainkan peranan bagi memperakui dan mengiktiraf perubatan tradisional menerusi Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016. Walaupun terdapat perbezaan dalam aliran ilmu Tib Melayu, namun begitu tiada garis pemisah yang jelas malah kedua-duanya boleh diamalkan serentak.

Tonton forum penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.