Oleh Marsli N.O
7 April 2022, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menitipkan beberapa renungan semangat dan bicara tentang menerima keyakinan dan kekuatan diri sebagai penulis yang mandiri.

Tujuan utama menulis bukan kerana mahu menjadi popular atau terkenal dengan cara menulis sesuatu yang disukai pembaca, membodek dan mengampu sesiapa.

Sebagai peribadi, kita akhirnya hidup dengan apa yang kita pilih dan yakini sendiri. Setiap tindak, tutur dan apa yang difikirkan, bukan kerana apa yang orang suruh, perintah dan paksakan kepada diri kita.

Namun untuk hidup secara demikian, sebagai manusia yang mandiri, dugaan dan cabarannya tidak sedikit. Anda tidak mudah disukai dan malah akan dijauhi kerana bukan manusia penurut buta dan pembodek sesiapa. Jika anda seorang penulis, tentu sahaja dugaan dan cabarannya lebih besar ketimbang mereka yang bukan menulis.

Akhirnya sekali lagi. Terserah pilihan. Mahu hidup sebagai bangkai berjalan, atau manusia penyendiri yang sentiasa tidak disenangi, namun merdeka dan memiliki dirinya sendiri.

Sebagai seorang penulis, syarat utamanya anda mestilah bersedia untuk menjadi seorang penulis yang dengan jujur perlu tahu dan kenal kelemahan dan kelebihan diri serta karyanya sendiri.

Setelah secara jujur mengenal kelemahan dan kelebihan diri sendiri, mengerti dan memahami hakikat serta tujuan dirinya menulis, anda akan menjadi seorang yang menulis dengan perasaan percaya dan yakin diri yang tinggi.

Kerananya, anda tidak lagi berasa takut, kecewa, patah semangat, dan bersedih lara sekiranya karya tulis anda tidak disukai, ditolak atau dianggap remeh oleh orang lain.

Keyakinan dan rasa percaya diri yang tinggi inilah yang mendorong diri kita untuk terus-menerus menulis dan berkarya tanpa jemu.

Apa-apa yang menjadi fokus dan tujuan ketika menulis, secara peribadi, adalah dengan menyatakan segala sesuatu yang difikirkan sesuai, baik dan berguna kepada masyarakat dan diri kita sendiri.

Tujuan utama menulis bukan kerana mahu menjadi popular atau terkenal dengan cara menulis sesuatu yang disukai pembaca, membodek dan mengampu sesiapa.

Tumpuannya bukan sedemikian. Sebaliknya, menulis ialah wadah dan ruang seorang peribadi untuk menyatakan pendapat dan fikirannya sendiri, yang difikirkan baik dan bermanfaat untuk masyarakatnya.

Lantaran inilah sebagai peribadi, dengan yakin dan rasa percaya diri yang tinggi, kita terus-menerus menulis dan berkarya tanpa rasa takut dan jemu.

Dengan yakin dan rasa percaya diri juga, seorang penulis akan sentiasa membarakan semangat merdeka dan mandiri dalam jiwanya.

Kerananya, tiada keluh dan rungutan kecewa andai karyanya ditolak atau dirinya tidak menjadi popular. Setiap kali ditolak dia akan kembali bangkit dan bermuhasabah merenung kesilapan dan kelemahan karya serta dirinya sendiri.

Malah, dia tahu dan mengerti. Perjuangan seorang yang menulis tidak memadai hanya dengan menulis dan terus menulis semata-mata.

Bila tiba waktunya, seorang penulis perlu berusaha pula melebarkan langkahnya dengan menerbitkan pula dalam bentuk buku hasil tulisannya sendiri.

Ilmu dan pengetahuan mengenai selok-belok penerbitan perlu dipelajari. Demikian juga dananya. Perlu diusahakannya sendiri dan demi harga diri, perlu menghidar daripada mengemis simpati pihak mana pun.

Mungkin ada pihak atau manusia yang iri, menganggap daya usaha menerbitkan karya sendiri begini tidak tidak akan membantu menyemarakkan industri penerbitan buku negara. Bagi mereka, kerja-kerja penerbitan perlu melibatkan banyak pihak dan tidak wajar dilaksanakan oleh hanya seorang individu.

Namun begitu, biarkanlah pendapat atau apa-apa pun singgungan negatif begini berlalu bersama angin.

Seorang yang menulis dengan yakin dan rasa percaya diri tidak akan mudah berasa goyah apabila dihujat dan diremehkan orang. Biarkanlah ribuan orang menghujat dan meremehklan diri dan karyamu, asal sahaja tidak kau sendiri meremehkan dirimu.

Seorang penulis yang tahu dan faham mengenai erti dan makna sebenar hidup miliknya sebagai penulis dan dengan sedar telah memilih jalan hidupnya sendiri, tidak akan pernah berasa takut dan gusar terhadap segala apa pun yang terjadi.

Segala cemuh dan penolakan tidak menjadikan dirinya manusia patah dan kecewa. Sebab dia tahu, segala puji dan sanjung sesama manusia tidak menjadikan seorang manusia lebih mulia dan menjadi tinggi darjatnya.

Walau ramai yang mendambakan puji dan sanjung tersebut dan dia tahu, jika hidup dalam kelompok yang saling memuji dan mengangkat sesama sendiri sebagai budaya hidupnya, memungkinkan dirinya sama menjadi terpandang, namun sekali lagi, semua itu bukanlah menjadi tujuan hidup dirinya sebagai seorang penulis.

Sebagai penulis, dia hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Mendepani susah dan senang, suka dan duka hidupnya, seperti apa yang telah dia tetapkan sendiri.

Walau dianggap sebagai apa-apa pun, yang terpenting dirimu tidak menyusahkan hidup orang lain dan tidak mengemis simpati sesiapa.

2.4.2022

Kredit Foto: Dmitry Grigoriev/Unsplash

_________________________

Marsli N.O dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu. Telah menerbitkan sejumlah karya. Pernah mewakili negara ke acara sastera di Filipina, Singapura dan Korea. Selain terus menulis dan membaca, beliau mengisi waktu senggangnya mengembara bersendirian dengan motor tuanya ke seluruh pelosok tanah semenanjung.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!