4 April 2022, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Panggilan penulis tidak sesuai digunakan untuk mereka yang menghantar karya plagiat kepada pihak penerbit”, tegas Zaim Yusoff dalam forum “Plagiat: Perspektif Penerbitan dan Penulisan” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Zaim Yusoff bergandingan dengan Prof. Roosfa Hashim sebagai pembicara serta Ainunl Muaiyanah pula sebagai moderator forum tersebut.

Panggilan “pemplagiat” lebih sesuai digunakan bagi golongan seperti ini. Istilah plagiarisme, daripada perkataan Latin iaitu “plagio” didefinisikan sebagai “mempersembahkan karya atau hasil kerja orang lain tetapi dipersembahkan sebagai hasil kerjanya”. Isu plagiat dalam penulisan merupakan perkara yang tidak kunjung padam.

Menurut beliau, terdapat dua faktor yang membuatkan “pemplagiat” melakukan kerja-kerja plagiat. Faktor tersebut ialah harta dan takhta. Walaupun imbuhan bagi penulis tidak banyak, namun atas faktor imbuhan yang terbatas itu jugalah “pemplagiat” tersebut masih melakukan plagiat. Berkenaan dengan faktor takhta pula, dalam dunia penulis, hasil pengkaryaan, kredibiliti serta kualiti karya merupakan sebuah takhta.

Seorang penulis menginginkan nama mereka mempunyai makna, maka hal tersebut mendorong “pemplagiat” sanggup menyalin karya orang lain lalu mengiktiraf karya tersebut milik mereka.

Dalam membicarakan isu tersebut, timbul persoalan iaitu bagaimanakah pula dengan penulis yang tidak sengaja memplagiat karya orang lain? Perbincangan tersebut menjadi semakin luas dan melibatkan pelbagai aspek. Menurut Zaim, jika dalam hal itu (plagiarisme secara tidak sengaja dilakukan), masalahnya berpusat pada kelemahan seorang penulis juga. Katanya, “daripada perspektif saya, bagi mereka yang tidak sengaja melakukan plagiat, penulis tersebut mempunyai kelemahan dalam menguasai korpus pengkaryaan. Misalnya, perkara tersebut termasuklah penulis yang kurang membaca dan kefahaman dalam teknik menulis itu sendiri. Maka secara tidak sedar, penulis itu akan menulis sebuah karya yang mempunyai suara penulis lain”.

Langkah yang patut diambil oleh penulis untuk mengelakkan daripada menghantar karya yang mempunyai unsur plagiat adalah dengan menyemak dahulu karya tersebut sebelum dihantar kepada editor pihak penerbitan. Selain itu, penulis tersebut juga perlu menghantar dahulu karya tersebut kepada rakan penulis, editor mahupun mereka yang memiliki penguasaan dalam pembacaan serta seterusnya memastikan karyanya itu bersih daripada suara penulis lain.

Prof. Roosfa pula menyifatkan bahawa plagiarisme memberi kesan yang sangat buruk terhadap rumah penerbitan. Kos penerbitan akan dibazirkan dan jika dapat dikesan khalayak secara besar-besaran, perkara tersebut akan mencemarkan nama baik pihak penerbitan. Para penulis pula akan mula ragu untuk menghantar karya mereka kepada rumah penerbitan yang terpalit dengan plagiat kerana mereka tidak mempunyai nilai integriti dan memaparkan kelemahan syarikat penerbitan itu sendiri dalam mengelolakan bahan penulisan.

Terlalu banyak kos yang akan terlibat. Kita terpaksa adukan kepada pihak tertentu dan menubuhkan jawatankuasa bagi mengesahkan kesahihan “pemplagiat” tersebut. Tindakan yang paling jarang diambil ialah tindakan undang-undang kerana tindakan tersebut melibatkan kos yang terlalu tinggi dan proses yang sangat sulit dan rumit. Pihak penerbit terpaksa lebih berhati-hati dalam mengambil karya”, ujar beliau.

Dalam isu ini juga Zaim Yusoff berpendapat bahawa rumah penerbitan perlu mengambil pendirian kukuh dan tindakan yang sewajarnya untuk membanteras gejala plagiat ini seperti menyenaraihitamkan nama “pemplagiat” yang telah dikenal pasti.

Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan agar dapat bersama-sama meletakkan batas sempadan terhadap budaya plagiat ini. Beliau turut menyenaraikan tujuh pihak yang perlu memainkan peranan penting iaitu “pemplagiat”, orang yang diplagiat, rumah penerbitan, khalayak penulis, pembaca, pengkritik dan pihak persatuan penulis.

Tonton forum penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.