22 Mac 2022, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara (SN), Profesor Emeritus Dr. Muhammad bin Haji Salleh terkenal sebagai penyair yang mencipta makna melalui baris perkataan yang meluaskan lagi perbincangan dalam ranah sastera. Lebih separuh abad beliau menulis puisi dan kritikan sastera. Sekarang, beliau tampil sekali lagi dengan kumpulan puisi terbarunya, Belajar Jadi Atuk dan Wan. Melalui Rancangan Bicara Karyawan, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka menemui beliau di kediamannya untuk merakam buah bicara SN tersebut tentang perihal karya terbarunya.

Atuk dan Wan merupakan nama panggilan oleh cucunya kepada Prof. Muhammad dan secara tidak langsung menjelaskan sendiri tentang makna buku ini, iaitu tentang dunia kehidupan Prof. Muhammad yang dihiasi dan diwarnai cucunya.

“Saya sebagai penyair akan selalu mencari dunia yang baru untuk dijadikan tema inspirasi. Saya menulis tentang berbagai perkara. Saya pernah menulis sajak-sajak di Jepun selama setahun dan kemudiannya di Amerika. Seterusnya menyusul pula sajak-sajak yang saya tulis sewaktu di Universiti Sains Malaysia. Selain itu, saya turut melukis pohon dan bunga selama setahun”.

Menurutnya dalam rancangan tersebut, beliau meneruskan perjalanannya dalam bidang penulisan untuk mencari ruang atau dunia yang baharu untuk diteroka. Baginya, ruang baharu itu hadir dengan sendiri dan kali ini ruang tersebut berkaitan dengan kehidupan dirinya dengan cucunya. Jelasnya, “mereka berinteraksi dan berkelahi di hadapan saya. Kadang-kadang mereka berinteraksi dengan saya agar melakukan aktiviti bersama-sama dengan mereka. Keadaan ini merupakan ruang baru bagi saya yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Saya rasa keadaan tersebut telah menjadikan saya sebagai manusia yang lebih besar kesan daripada pemerhatian serta melihat perasaan, perwatakan serta penguasaan mereka terhadap alam dan hal-hal yang lain”.

Prof. Muhammad menulis sajak-sajak tersebut adalah untuk merakam momen dan perasaan. Tambahnya lagi, sajak-sajak dalam Belajar Jadi Atuk dan Wan juga adalah sebagai penanda jejak perkembangan usia cucunya. Beliau menulis sajak-sajak tersebut seakan-akan sebagai seorang bapa mengambil foto anaknya yang sedang membesar.

“Yang luar biasanya tentang sajak ini ialah ianya mempunyai lapisan perasaan, interaksi dan keadaan masyarakat. Terdapat makna pada mata dan suaranya. Oleh itu, berbanding foto, sajak-sajak tersebut ialah gambaran yang lebih penuh. Hal itulah yang saya cuba capai,” jelas Prof. Salleh.

Tema yang terpapar dalam kumpulan puisi tersebut hadir secara semula jadi. “Tema tersebut datang kepada saya menerusi mereka. Saya tidak mencarinya. Saya cuba menyelami perasaan, tangisan, percakapan dan perwatakan mereka.”

Setiap seorang daripada cucunya masing-masing mempunyai perwatakan yang menarik dan unik dari perspektif Prof. Muhammad sebagai seorang datuk. Perwatakan yang menarik itu diolah semula ke dalam bahasa dan suara beliau. Ujarnya, “Ada dunia lain dan baharu yang dibawa kepada saya. Saya sangat bersyukur kerana dunia serta tema ini boleh dijadikan sajak-sajak yang membayangkan watak mereka.”

“Saya memasuki suatu dunia anak kecil yang sedang membesar. Memasuki perasaan mereka yang berlainan daripada saya. Mereka adalah manusia baru. Perasaan mereka itu lebih dasar dan tidak mempunyai politik di belakangnya. Apa-apa yang dipaparkan, maka itulah yang kita lihat.”

Prof. Muhammad turut menambah bahawa kumpulan puisi tersebut merupakan kata-kata beliau sebagai seorang penyair dan pemerhati.

Tonton bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.