Oleh Fadli al-Akiti
16 Mac 2022, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas lima dekad berjuang sebagai anak seni, Seniwati Fauziah Dato’ Ahmad Daud akhirnya tampil menghasilkan filem pendek pertama beliau berjudul Asrar. Selain sebagai penerbit, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy juga bertindak selaku pengarah Asrar.

“Baru sekarang saya benar-benar bersedia mengarah dengan lebih serius kerana mahu berkongsi ilmu dengan bakat-bakat baharu. Saya mahu karya seni kita lebih dihormati oleh penggiat seni sendiri dan diangkat dengan jujur,” kata Ogy.

Asrar (yang bermaksud ‘rahsia’ dalam bahasa Arab) mendapat sokongan dana mikro daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berserta Yayasan Ammirul Ummah dan Syarikat Fatijja.

Filem pendek yang diterbitkan oleh Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd. ini diadaptasi daripada cerpen “Terima Kasih Tuhanku” karya Baharuddin Kahar. Cerpen ini terkandung dalam kumpulan cerpen Capa Rengat Gulai Rawo (DBP, 2021) dan merupakan karya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Skrip adaptasi Asrar ditulis oleh mantan editor Harian Metro dan penulis lirik, Slen Fadzil.

Asrar berkisar tentang seorang guru muda di sebuah sekolah agama bernama Har yang telah jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis ayu penjual minyak wangi bernama Mima.

Namun begitu, perasaan cinta itu dipendamkan oleh Har. Dalam usaha mendekati Mima, sahabat baik Har mengatur satu percutian di luar Kuala Lumpur untuk kesemua mereka. Akan tetapi, suatu insiden mengejutkan berlaku dan benar-benar memberikan tamparan hebat kepada Har, sekali gus menguji keimanannya.

Asrar ialah projek susulan daripada bengkel asas seni lakonan Adventures in Acting anjuran Ogy, yang dilaksanakan pada awal bulan November tahun lepas.

“Apa yang membanggakan, kesemua pelakon Asrar ialah bakat baharu daripada bengkel saya itu, seperti Ameer Rahman, Zya Nazir dan Auf Razak.

“Penggambaran Asrar telah mengambil lokasi selama lapan hari di sekitar Lembah Kelang pada pertengahan bulan Disember lalu,” kata Ogy.

Majlis Pratonton Asrar yang berlangsung tadi di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amirul Ummah dan pemilik Syarikat Fatijja, YBhg. Encik Kamal Ismail, Pengarah Urusan Skop Productions, YBhg. Datuk Yusof Haslam, dan komposer YBhg. Dato’ Johari Salleh.

Filem pendek ini berdurasi 40 minit dan dicadangkan untuk dipertandingkan dalam festival filem antarabangsa. Antara bakat yang membintangi filem pendek ini termasuklah Ameer Rahman, Zya Nasir, Auf Razak, Nara Rosli, Azila Hameed, Kamal Fizree, dan Syahrul Alizman Alias.

Asrar bakal dapat ditonton menerusi pembelian capaian khas di laman web rasmi Ogy Ventures & Network. Pengumuman lanjut akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, lagu Duniaku ciptaan Johari Salleh nyanyian Zainal Alam Kadir dipilih sebagai lagu tema Asrar. Video muzik Duniaku boleh ditonton menerusi YouTube.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.