16 Mac 2022, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Utama Operasi Radio dan Televisyen Bersatelit Seluruh Asia (Astro) memeterai kerjasama jangka masa panjang dengan SR One Sdn. Bhd. (SR One), disaksikan oleh Pengarah Kandungannya, Agnes Rozario, dan Pengarah SR One, Siti Rosmizah Semail. Pemeteraian tersebut diumumkan pada 7 Mac 2022 yang lalu dalam sidang media Majlis Pengumuman Kerjasama Astro dan SR One di One Utama dekat sini.

Kolaborasi ini secara tidak langsung menunjukkan keazaman Astro dalam mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab utama negara untuk para pembikin drama, mahupun kandungan yang berprestij dengan “mengunci” empat buah novel karya Pengarah SR One itu.

Jangan Menangis Cinta, Andai Itu Takdirnya, Andai Itu Takdirnya 2, dan Takdir Itu Milik Aku bakal menemui para peminat drama di saluran Astro Ria bermula Mac ini hingga tahun 2023. Penjualan novel-novel tersebut telah mencecah lebih daripada setengah juta naskhah, dan merupakan antara novel karya Siti Rosmizah yang terlaris.

Garapan naratif penulis prolifik ini yang berpaksikan pergolakan emosi, merupakan kekuatan yang mampu menarik minat para penonton untuk mengikutinya. Semua watak yang diciptanya ikonik dan sering menjadi isi perbualan di laman jaringan sosial.

Adaptasi beberapa hasil karya Siti Rosmizah di pelantar Astro bukan perkara asing dalam kalangan peminat drama tempatan. Kejayaan drama-drama adaptasi beliau yang lalu menandakan pencapaian tinggi yang berterusan.

Antara drama itu ialah Lafazkan Kalimah Cintamu yang telah menjadi Drama Teratas dalam Carta untuk tahun 2018. Curi-Curi Cinta pula menjadi drama yang mencapai kedudukan tertinggi untuk tahun berikutnya, dan Rindu Awak Separuh Nyawa menjadi drama yang mendapat tempat tertinggi untuk tahun 2021.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkolaborasi dengan Siti Rosmizah sekali lagi membuktikan kemampuan Astro untuk bersaing dalam industri yang amat berdaya saing ini.

“Hal ini dilakukan dengan membawa kandungan-kandungan bermutu tinggi dan utama untuk tatapan para penonton. Dengan kehadiran tetap Siti Rosmizah dalam slot drama di Astro, para penonton pasti akan berpuas hati dengan pilihan kandungan kami,” tegas Raqim.

Novel-novel yang akan diadaptasi, tambah beliau, bukan sembarangan kerana karya Siti Rosmizah memang antara yang terlaris, dan nombor satu di negara kita. Mereka yang telah membacanya tentu tidak sabar mahu melihat karya-karya tersebut diangkat ke kaca televisyen, mahupun peranti mudah alih.

“Astro berharap pilihan karya Siti Rosmizah ini mampu menarik lebih ramai peminat drama ke pelantar kami. Kami menjanjikan kepuasan tinggi dengan mutu penerbitan, arahan, dan lakonan yang unggul. Kami turut berharap dapat terus bekerjasama dengan beliau, dan meraih kejayaan demi kejayaan,” tambah Raqim.

Sementara itu, Siti Rosmizah menyatakan beliau dan Astro mempunyai wawasan, serta matlamat yang sama untuk mencapai satu sasaran, iaitu menerbitkan drama bermutu dan mendapat tempat tertinggi.

“Demikianlah nadi kolaborasi dengan Astro kali ini. Pengalaman murni menerusi drama-drama saya yang lalu memikat hati saya terus bekerjasama dengan Astro. Pemberian ruang berkarya dan sokongan padu berterusan daripadanya, membuat saya berasa amat dihargai,” jelas Siti Rosmizah.

Tambah Siti Rosmizah, beliau menyukai cara kerja Team Astro yang begitu komited, berdedikasi dan profesional. Dengan kerjasama sedemikian, beliau berharap drama-drama yang dipertonton mampu mendapat kedudukan tertinggi serta menjadikannya sebagai rancangan nombor satu di Malaysia, malah di semua pelantar media sosial.

Siti Rosmizah Semail

Setiap drama ada tarikan dan kekuatan masing-masing, dengan keunikan jalan cerita dan garapan yang berbeza. Penonton pasti akan suka, teruja serta tidak sabar untuk menonton kerana karya-kara adaptasi ini yang memang telah lama ditunggu.

“Penonton wajib menonton drama adaptasi novel-novel saya kerana semuanya antara mahakarya terbaik yang disimpan sekian lama. Penonton akan berpuas hati kerana kehebatannya, dan bakal menjadi fenomena seperti drama-drama saya yang terdahulu,” tambah Siti Rosmizah.

Selain Agnes, Raqim dan Siti Rosmizah, turut menghadiri sidang media majlis pengumuman kerjasama tersebut ialah sebahagian daripada pelakon Jangan Menangis Cinta, iaitu Remy Ishak, Khaty Azean, Idzham Ismail, Hilal Azman, dan Atilia Haron.

Jangan Menangis Cinta akan ditayangkan bermula 21 Mac 2022 ini dari Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam. Andai Itu Takdirnya dan Andai Itu Takdirnya 2 bermula pada suku kedua tahun 2023, manakala Takdir Itu Milik Aku pula pada suku keempat tahun 2023.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!