Oleh Orked Una
8 Mac 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Menurut Lutfi Ishak, sastera tidak diterima oleh masyarakat sekarang kerana wujudnya mentaliti negatif sastera.

Fenomena mentaliti negatif sastera wujud apabila pendidikan sastera yang diamalkan sekarang tidak membayangkan sastera dalam konteks kekayaan dan kebesaran sejarah peradaban sebenarnya, khususnya yang berkembang di Kepulauan Melayu-Indonesia bermula abad ke-16.

Hal ini ditambah pula dengan pemisahan antara aliran sains bagi pelajar cemerlang dengan pelajar kurang cemerlang untuk aliran sastera yang membentuk perspektif negatif dan merendah-rendahkan sastera hingga sekarang.

Hal ini diutarakan oleh Lutfi Ishak sebagai ahli panel dalam Forum Masa Depan Penulis dan Sastera di Malaysia anjuran Festival SILA (Sabah International Literature and Arts Festival) yang berlangsung pada 5 Mac 2022, bertempat di Shangri-La Hotel, Kota Kinabalu pada pukul 2.00 petang.

Untuk itu, Lutfi mencadangkan agar subjek Kesusasteraan Melayu perlu diperkenalkan dalam konteks great tradition (tradisi agung) atau pendekatan ketamadunan. Maknanya, genius sastera Melayu seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin ar-Raniri, Raja Ali Haji, Amir Hamzah, dan Abdullah Munsyi perlu diangkat. Dengan cara ini, seseorang yang mempelajari sastera berbahasa Melayu akan mengenali genius sebenar seperti yang ada dalam tamadun berbahasa Melayu, sepertimana sesiapa sahaja yang mempelajari Kesusasteraan Inggeris mengenali sosok dan karya Shakespeare.

Menurut Lutfi lagi, ramai yang tidak mengetahui, wujudnya karya genius sastera moden Melayu seperti Hamzah Fansuri. Pengenalan pada sastera kita yang besar menyediakan transisi pelajar ke sastera lanjutan selepas tamat persekolahan. “Bagi memastikan sastera diberi penekanan sewajarnya, sastera perlu dibuktikan penting dalam pembentukan emosi dan pembangunan insan,” kata Lutfi.

Beliau turut mencadangkan agar dana khusus diwujudkan bagi merapatkan hubungan intelektual dan kebudayaan penulis Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Cadangan tersebut merupakan satu kaedah politik kebudayaan bagi menjadi salah satu cara kaum intelektual dan sasterawan dapat memainkan peranan bagi mengukuhkan hubungan kebudayaan dan pemikiran, khususnya dalam konteks geopolitik berkenaan Laut China Selatan yang semakin bergolak, serta politik semasa yang tidak ditimbang oleh suatu cita-cita kebudayaan yang universal.

Menurut seorang lagi panel, Dr. Rahmah Abdul Ghani, di Institut Pendidikan Guru khusus bagi opsyen Bahasa Melayu, terdapat keseimbangan kemasukan pelajar daripada aliran sains dan sastera. Malah, para pelajar daripada aliran sains yang berlainan etnik menunjukkan kesungguhan mempelajari sastera. Banyak pertandingan giat diadakan, seperti pantun, syair dan gurindam bagi menyuburkan lagi aktiviti sastera di institut itu. Dalam mendepani isu masa depan sastera pula, pelajar perlu didedahkan dengan ruang dan peluang mendapatkan pulangan melalui karya yang dihasilkan dan pemasaran karya.

Ahli panel Siti Aisyah Mat Saad pula berkata, berbanding dahulu, zaman sekarang lebih mudah untuk menjadi penulis. Ruang penyiaran penulisan lebih luas dan banyak pilihan untuk menerbitkan karya. Namun begitu, persoalan yang tidak boleh dipinggirkan, adakah penulisan yang dihasilkan sekarang boleh dijadikan “pilihan sejarah” dan mempunyai nilai ilmiah? Selain itu, persoalan yang kerap timbul daripada penulis adalah sama ada untuk berpersatuan atau kekal mandiri. Bagi Aisyah, jika penulis memilih untuk bergerak sendiri, mereka cenderung ketinggalan dalam banyak hal sastera.

“Di bawah persatuan, banyak ruang dan peluang mempelajari kemahiran selain penulisan, antaranya seperti pengucapan awam yang membantu dalam menyampaikan perkongsian sastera,” kata Siti Aisyah.

Forum disiarkan secara langsung menerusi Facebook SILA Festival. Forum dikendalikan oleh Datin Haliza Matali.

Tonton acara forum di sini dan sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!