Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNor Suraya Abdul Razak mencadangkan agar lebih banyak karya Sasterawan Negara diangkat sebagai buku teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah.
Dengan penggunaan karya Sasterawan Negara, para pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang sastera, malah mereka dapat meningkatkan kosa kata, nilai ilmu dan gaya bahasa mereka.
Pemilihan karya Sasterawan Negara sebagai buku teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah sangat wajar. Seperti yang diketahui, buku teks merupakan bahan pembelajaran yang direka khusus untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Buku teks bertujuan untuk memberi pemahaman, maklumat dan bahan pembelajaran berstruktur kepada pelajar.
Antara alasan utama saya agar karya Sasterawan Negara dipilih sebagai bahan dalam buku teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah kerana para pelajar dapat mengenali tokoh-tokoh Sasterawan Negara dan hasil karyanya. Kebanyakan pelajar generasi zaman sekarang tidak mengenali tokoh sasterawan yang terdapat di negara kita. Apatah lagi Sasterawan Negara. Mereka tidak tahu pun tentang karya-karya yang dihasilkan oleh para sasterawan kita. Dengan pemilihan karya Sasterawan Negara sebagai buku teks, hal ini dapat membantu mereka untuk mengenali dengan lebih dekat tentang nama-nama besar sastera kita dan sumbangan besar mereka kepada negara. Nama besar seperti A. Samad Said, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Keris Mas, Arena Wati, S. Othman Kelantan, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, Abdullah Hussain dan ramai lagi Sasterawan Negara sepatutnya dapat diungkapkan oleh generasi sekarang, kalau tidak pun karya-karya mereka yang malar segar, seperti Salina, Salam Benua, Ranjau Sepanjang Jalan, Juara, Sandera, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, Sajak-sajak Sejarah Melayu, dan Imam.
Selanjutnya, pemilihan ini sangat wajar kerana buku teks menjadi wahana penting untuk memelihara dan memperkaya warisan kesusasteraan Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya kita. Karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara kita ialah karya yang penuh dengan ungkapan, buah pemikiran dan kisah-kisah yang kaya dengan nilai kebijaksanaan, falsafah, tradisi, budaya, dan sejarah. Karya-karya mereka memberikan pemahaman yang mendalam tentang perkembangan tamadun kita, khususnya kepada generasi muda. Karya sastera mereka menggalakkan para pelajar untuk mengambil iktibar daripada kisah dan sajak yang terkandung dalam karya mereka.
Pemilihan ini juga dapat meningkatkan pemahaman terhadap kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar. Pemilihan karya-karya sasterawan sudah tentu akan dipilih berdasarkan kualiti yang terdapat dalam kandungannya. Sudah tentu, karya yang dihasilkan oleh para Sasterawan Negara sudah diuji ketahanan dan mutu nilai estetikanya, apatah lagi dengan ketinggian gaya bahasa dan kekayaan kosa katanya. Oleh hal yang demikian, para pelajar akan lebih mendalami (dan menghargai) nilai mutu yang terdapat dalam karya sastera yang dibaca. Sebagai contoh, pelajar dapat meneliti gaya-gaya bahasa yang digunakan dalam karya Sasterawan Negara kita. Para pelajar dapat membincangkan dan mempraktikkan penggunaan gaya bahasa yang terdapat dalam hasil karya mereka.
Akhirnya, pemilihan ini dapat merangsang imaginasi dan kreativiti dalam diri seseorang pelajar. Sudah terbukti, hasil karya Sasterawan Negara mempunyai kualiti bahasa dan pemikiran yang tersendiri, yang dapat mencetuskan renungan yang mendalam selain penuh dengan inti pengajaran. Para pelajar dapat menggunakan karya-karya ini sebagai rujukan untuk menghasilkan penulisan sendiri. Bayangkan para pelajar dapat belajar menulis sajak yang dekat dengan sifat tradisi dan romantis puisi Melayu daripada sajak-sajak Usman Awang. Mereka juga dapat meneliti perbezaan bahasa yang lebih intelektual dan memerlukan renungan kendiri dalam sajak-sajak Muhammad Haji Salleh. Mereka akan menyedari, pengalaman diri yang amat peka dengan persekitaran, alam, institusi sosial, dan sejarah, yang menyebabkan tercetusnya kata-kata yang indah daripada para Sasterawan Negara.
Kesimpulannya, pemilihan karya Sasterawan Negara sebagai buku teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah sangat wajar. Buku teks yang mengandungi karya-karya Sasterawan Negara akan menjadi tarikan kepada para pelajar untuk mempelajari Kesusasteraan Melayu dengan lebih mendalam. Dengan penggunaan karya Sasterawan Negara, para pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang sastera, malah mereka dapat meningkatkan kosa kata, nilai ilmu dan gaya bahasa mereka. Kebanyakan pelajar kini tidak mempunyai penggunaan bahasa Melayu yang bagus, apatah lagi gaya bahasa yang tidak mantap. Contoh-contoh bahasa yang ada dalam karya Sasterawan Negara dapat menjadi rujukan pendedahan tentang bahasa-bahasa yang indah dan teratur susunannya. Semoga pihak yang berkepentingan mengambil pertimbangan tentang hal ini sewajarnya.
Kredit Foto: Priscilla Du Preez/Unsplsah
______________________________
Nor Suraya Abdul Razak berasal dari Jerteh, Terengganu. Beliau pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.