Oleh Zaidi Saad
13 Julai 2021, 07:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur Program Wacana 152 DBP: Api Dari Suatu Zaman sempena 65 tahun pertubuhan badan berkanun ini bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 12 Julai 2021 (Isnin), pukul 9.30 pagi. Wacana menampilkan YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi selaku moderator dan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan selaku ahli panel.

Awang Sariyan memulakan wacana dengan penceritaan sejarah pembentukan DBP seawal tahun 1956. Katanya, “Secara simboliknya, dalam tempoh setahun sebelum hari kemerdekaan, negara kita telah mempersiapkan satu bahasa yang menjadi bahasa negara, iaitu bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa bagi tonggak tamadun negara.

“Tempoh itu penting bagi DBP mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara terutama sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, pentadbiran dan sebagainya serta seterusnya sebagai bahasa ilmu.”

Beliau berkata, secara keseluruhannya DBP telah mencapai kejayaan dengan menjalankan amanah yang telah diberikan untuk mengangkat bahasa dan sastera kebangsaan serta ilmu dalam pelbagai bidang sebagai sumber penting pembangunan tamadun negara.

Dalam pembangunan sastera kebangsaan, Anwar Ridhwan  memperkata tentang ungkapan lirik atau slogan “Api dari suatu zaman” yang ditulis oleh SN Usman Awang. Slogan ini perlu diterjemahkan secara meluas terutama dalam bidang sastera negara.

Pada awal perkhidmatan Anwar Ridhwan, DBP menjalankan kerja-kerja mewujudkan korpus aspek persejarahan sastera, iaitu sastera tradisional, persejarahan moden dan menerbitkan Kamus Kesusasteraan. Kemudian DBP mengadakan bengkel-bengkel penulisan peringkat wilayah di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Mula timbul bakat-bakat baharu yang mewarnai bidang sastera negara atas usaha itu.

Beliau menambah, “Sastera dianggap sebagai cerminan jiwa sesuatu bangsa yang dinukilkan melalui bahasa gaya sastera yang kreatif dan indah, yang mengandungi pemikiran untuk membijaksanakan pembaca dan juga untuk memberikan pengalaman estetik yang tinggi”.

Hal ini terkait juga dengan pendidikan, iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk minat sastera dalam kalangan anak-anak mereka.

“Kita harus menggunakan pelbagai platform bagi mengembangkan sastera ini, kerana kita sekarang berhadapan dengan generasi muda warga natif digital,” ujar Anwar.

Program wacana ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.