Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Baca Puisi Lelucon anjuran Seven Men Writers’ Club yang berlangsung di Biblio Café, Menara Mutiara Majestic, PJ Old Town pada 27 Februari lalu bukanlah sekadar acara baca puisi yang bersifat humor, bahkan sebuah dinamik sastera yang menyaksikan para penyair cuba keluar daripada kebosanan “tsunami politik” yang menjengkelkan.
Lazimnya, acara baca puisi sering didominasi rasa serius, bergentayangan melaung suara dengan ekspresi wajah penuh kecewa sambil meluah setiap rasa yang terbuku di hati. Sementara acara Baca Puisi Lelucon lebih santai dan boleh memesan kopi buat minum-minum bagi penghilang dahaga sambil menelan setiap rasa dengan penuh lucu dan bersahaja.
Idea asal ini datangnya daripada Dato’ Seri Dr Zaini Ujang. Meskipun begitu, beliau hanya terlibat secara dalam talian dengan membaca puisi berjudul “Kawan dan Lawan”, kerana sedang menjalani kuarantin kendiri.
Selain Zaini Ujang, beberapa orang penyair turut diundang sebagai pembaca puisi, seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali, Dr. Shamsudin Othman, Mohd Khair Ngadiron, Sani Sudin, Ladin Nuawi, Usman Gumanti, Sabri Yunus, Rayza Mukmin, Pyanhabib, Adibah Omar, dan Attokz Dikulgai. Namun demikian, tidak semua dapat hadir.
Rayza Mukmin yang diundang sebagai pelaku komedi berdiri mencuri tumpuan kerana percakapan dan ceritanya tentang bangsa Melayu begitu bersahaja dan mencuit hati.
Program itu dilihat sebagai kegiatan sastera yang dinamis, sesuai dengan fungsi sastera yang terus “hidup” ke arah memandu peradaban yang sering dipinggirkan oleh kealpaan pihak bertanggungjawab agar kembali mengagungkan jati diri budaya Melayu.
Acara mendapat sokongan daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan dihoskan oleh Lan Benhussain.
Kredit Foto: Ladin Nuawi
Artikel Berkaitan |