1 Mac 2022, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin memberikan ulasan ringkas apabila dijemput menghadiri Baca Puisi Lelucon anjuran Seven Men Writers’ Club dan PENA baru-baru ini.

Sabri Yunus sewaktu memulakan persembahannya berterus-terang, beliau berasa lucu apabila dijemput menjayakan Baca Puisi Lelucon. Kelakar kerana katanya memang banyak kelucuan dalam acara baca puisi serius selama ini.

Terdapat perbezaan pendapat antara penganjur acara Baca Puisi Lelucon yang berlangsung di Biblio Café, Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya pada 27 Februari 2022 yang lalu dengan salah seorang jemputannya.

Sejak mula melihat poster acara anjuran bersama Seven Men Writers’ Club dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ini di media sosial, penulis amat teruja untuk menontonnya.

Antara pendukung Seven Men Writers’ Club ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mohd. Khair Ngadiron. Semasa memulakan acara, Khair yang kini Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia memberitahu, penganjuran Baca Puisi Lelucon bertujuan untuk mengubah wajah dan nada acara baca puisi yang selama ini nampak serius dan tegang di mana-mana sahaja majlis itu berlangsung.

Mungkinkah Baca Puisi Lelucon akan menjadi acara bulanan? Khair yang kemudian menyampaikan sajaknya “Selalunya Begitu” belum dapat memastikan. Begitu pun, daripada pemerhatian penulis, matlamat penganjurannya tidak berjaya. Reaksi spontan Lan Benhussain yang menjadi hos terhadap kata-kata salah seorang jemputan walaupun secara bergurau seolah-olah membenarkan tanggapan penulis. Lan menyebut “gagal” sambil ketawa kecil.

Sabri Yunus sewaktu memulakan persembahannya berterus-terang, beliau berasa lucu apabila dijemput menjayakan Baca Puisi Lelucon. Kelakar kerana katanya memang banyak kelucuan dalam acara baca puisi serius selama ini. Kelakar tersebut, jelas Sabri, biasanya disebabkan oleh gaya pembacaan/pendeklamasian penyair/deklamator yang terbabit.

Dalam celotehnya yang agak panjang tetapi sentiasa membuat penonton tidak kering gusi, Sabri menyatakan beliau sering mempersembah sajak lucu apabila diundang untuk acara baca puisi serius. Justeru, Sabri membuat keputusan untuk mendeklamasikan sajak serius dalam Baca Puisi Lelucon itu. Penulis menganggap tindakan itu bertentangan dengan Mohd. Khair, dan lari daripada motif acara.

Seperkara yang ketara terlihat sepanjang acara ialah para jemputan, kecuali Pyanhabib, Usman Gumanti, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dan Attokz Dikulgai, cukup berceloteh panjang seperti mahu mencari “suis jenaka” agar penonton ketawa. Walaupun celoteh satu kaedah, tetapi bukan celoteh atau ceramah lelucon yang diingini kerana acara “mencari” puisi lelucon. Secara keseluruhannya, keadaan menjadi terbalik kerana celoteh yang timbul lucu, bukan puisi.

Sebahagian hadirin Baca Puisi Lelucon pasca-PKP di Biblio Café.

Usman tampil dengan sajaknya yang panjang, “Potpourri Corona”. Dr. Saleeh yang juga Presiden PENA, menyampaikan gugusan pantun parodi. Attokz yang juga dari PENA mendeklamasikan sajaknya, “Alahai”.

Begitu pun, keanehan dirasai apabila Pyanhabib yang cuma menyampaikan sebuah sajaknya yang pendek (yang beliau sendiri lupa tajuknya), disambut oleh ketawa berderai hadirin.

Dalam hal ini, penulis mengecualikan Rayza Mukmin dan Sani Sudin. Rayza yang juga penulis skrip dan pelakon, memang perlu berceloteh dalam jenaka kerana dia memenuhi jemputan sebagai pelaku komedi berdiri (standup comedy). Sani yang juga anggota kumpulan Kopratasa seperti biasa hanya berjenaka sebentar (atau istilahnya “mencari rentak”), sebelum mendendangkan lagu terbaharu ciptaannya yang berjudul Nya buat kali pertama.

Dr. Shamsudin Othman pula berceloteh agak panjang, kemudian melanjutkannya dengan deklamasi sajak sinis yang dihafal, berjudul “Cerita Cikgu”. Amiruddin Ali pula berjenaka mengenai COVID-19 sebelum mendeklamasikan sajaknya, “Tersalah Hantar” juga tanpa melihat teks.

Sebagaimana Pyan, Ladin Nuawi yang juga penggiat teater kanak-kanak, mempersembah sajak lamanya, “I Nak Jadi Gini (surat seorang jejaki II)” secara semi teaterikal.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia tidak dapat hadir. Oleh sebab terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah, Datuk Seri Ir. Dr Zaini hanya mempersembah sajaknya yang berjudul “Kawan dan Lawan” menerusi panggilan video.

Persembahan komedi berdiri Rayza Mukmin berjaya menghiburkan semua hadirin.

Turut hadir ialah mantan Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka, Tan Sri Johan Jaafar dan pelakon terkenal, Angeline Tan. Namun demikian, Tan Sri Johan yang juga mantan Pengerusi Media Prima Berhad sekadar bercerita hal masa lalu sambil berjenaka. Beliau turut memuji persembahan komedi berdiri Rayza Mukmin dan penganjuran Baca Puisi Lelucon yang menurutnya, boleh merawat duka keresahan dan kesusahan hati masyarakat hari ini.

Angeline cuma hadir menemani Sabri, dan khabarnya mereka akan berkolaborasi dengan para pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang masih ada untuk menghasilkan versi baharu siri komedi situasi terkenal televisyen itu tidak lama lagi.

Oleh sebab Angeline hanya menonton dan Adibah Omar juga tidak hadir, Baca Puisi Lelucon agak kurang berseri kerana hanya jemputan lelaki yang tampil di pentas.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!