Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKolumnis Muhammad Lutfi Ishak memperkatakan kendala utama perkembangan sastera di Malaysia, iaitu mentaliti negatif sastera. Baginya, cara kita mempersembahkan sastera secara tidak adil menjadikan sastera kehilangan kepentingannya.
Usaha pemecahan masalah, umpama mencari kunci yang hilang. Usaha hanya berakhir setelah kunci ditemukan. Dan pencarian kunci, tidak semestinya tanggungjawab tuan rumah semata-mata. Kunci boleh dicari oleh sesiapa sahaja dan sesiapa sahaja boleh menemui kunci.
Dari manakah Sekilas patut bertolak? Pepatah Cina ada menyebutkan perjalanan beribu batu, bermula dengan langkah yang pertama. Justeru, dalam konteks Sekilas, sebagai langkah permulaan, biarlah bertolak dari cabaran dan permasalahan.
Apakah masalah dan cabaran sebenar dalam dunia sastera di Malaysia? Sewaktu berpeluang menyampaikan satu makalah pada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) yang pertama di Jitra, Kedah, buat pertama kali saya cuba merumuskan beberapa cabaran dan jalan keluar kepada cabaran-cabaran tersebut.
Sudah tentu, pada sesikat pisang, tidak semuanya masak. Mungkin kerana pelbagai kelemahan dalam cara penghujahan dan huraian atas permasalahan yang ditimbulkan, “sesikat usulan” itu kelihatannya tidak mendapat sambutan dalam khalayak sastera—putik dan buruknya tidak dinyatakan, manis dan kelatnya tidak diendahkan.
Sementara itu, ada hal dalam dunia sastera yang bukan lagi beku tidak bergerak (stagnant), sebaliknya beberapa petunjuk mengisyaratkan situasi yang lebih berbeza, yakni pelbagai pihak dalam dunia kesusasteraan kebangsaan sedang berundur ke belakang—selesa berdiam dalam kepompong sendiri, dengan kecenderungannya masing-masing.
Para sarjana sedang berundur jauh daripada masyarakat sastera. Pengatur kekuasaan sastera telah membina tembok birokrasi yang terlalu tinggi dan dikawal pula oleh minda kepegawaian, sehinggakan dalam gambaran akal ramai pengarang, kuasa pengatur sastera seakan-akan taman larangan.
Sementara itu, penulis dan aktivis, tampaknya sedang membentuk budaya kedusunan sastera, yang kini ditandakan dengan tribalisme sempit kenegerian dan persatuan. Ketika semua itu berlangsung, kelompok-kelompok kecil terus lahir. Suatu cita-cita yang sejagat sedang kabur daripada dunia sastera di Malaysia dan sedang digantikan dengan cita-cita kekampungan.
Usaha pemecahan masalah, umpama mencari kunci yang hilang. Usaha hanya berakhir setelah kunci ditemukan. Dan pencarian kunci, tidak semestinya tanggungjawab tuan rumah semata-mata. Kunci boleh dicari oleh sesiapa sahaja dan sesiapa sahaja boleh menemui kunci.
Sewaktu dalam SKPM 1 tersebut, melalui makalah “Sastera dalam Huraian Ketamadunan dan Amalan di Luar Kebiasaan sebagai Langkah Utama Kelahiran Dunia Sastera Malaysia yang Sepatutnya”, diusulkan satu masalah genting yang sedang dihadapi sekarang, iaitu mentaliti negatif sastera. Secara umum, mentaliti negatif sastera merujuk suatu sikap individu yang meremehkan peranan sastera, sama ada dalam konteks hubungannya dengan diri peribadi atau hubungannya dengan aspek kehidupan masyarakat luas.
Sebagai suatu sikap yang menetap dalam diri, mentaliti negatif sastera ini adalah suatu akibat yang berpunca daripada dua sebab utama. Mentaliti negatif sastera ini umpama keruh di hilir kerana keladak di hulu sungai. Justeru, sesuai dengan ruang, perbincangan kali ini akan menumpukan sebab pertama sahaja, iaitu amalan pendidikan sastera semasa.
Dari segi penjenisan bentuknya, karya sastera masih dibahagikan kepada prosa dan puisi. Namun, akibat faham pembangunan yang begitu berpengaruh terhadap pembabakan sejarah sastera Melayu, penjenisan prosa dan puisi itu kemudiannya dibahagikan kepada dua zaman sahaja, iaitu tradisional dan moden …
Amalan pendidikan sastera semasa merujuk faham dan penerapan amalan sastera yang tidak menggambarkan wajah sebenar sastera dalam Peradaban Kepulauan Melayu-Indonesia dari abad ke-16 hingga abad ke-20. Hal ini bermakna konsep, kandungan dan bentuk pendidikan sastera terkini difahami dan disampaikan secara “bertentangan” dengan amalan pendidikan sastera yang lazim dalam sejarah kesusasteraan Melayu terdahulu.
Sebagai contoh, dari segi konsep, sastera kini dikecilkan kepada karangan yang bersifat imaginatif dan fiksyen (penulisan kreatif). Konsep tersebut secara langsung membentuk dan memberikan penekanan pada teks yang mengandungi pengucapan subjektif dan emotif tanpa penyeimbangan unsur lain yang penting buat pembangunan insan, iaitu unsur akliah.
Dari segi penjenisan bentuknya, karya sastera masih dibahagikan kepada prosa dan puisi. Namun, akibat faham pembangunan yang begitu berpengaruh terhadap pembabakan sejarah sastera Melayu, penjenisan prosa dan puisi itu kemudiannya dibahagikan kepada dua zaman sahaja, iaitu tradisional dan moden, dengan moden di sini merujuk cerpen, novel, drama dan sajak.
Konsep, kandungan dan pembahagian tersebut kelihatannya diterima tanpa terlebih dahulu diperiksa secara teliti serta bersungguh-sungguh kesan baik dan buruknya. Pada hari ini, beberapa kesan kurang elok telah pun dapat dikenal pasti.
Antaranya, menimbulkan tanggapan sastera berbahasa Melayu tidak penting dipelajari kerana masih baharu dan mentah. Hal ini kerana, amalan pendidikan sastera semasa hanya mengehadkan teks puisi atau prosa fiksyen dan imaginatif sebagai pijakan dalam pembelajaran sastera. Kemudian, penekanan diberikan pada teks sastera moden.
Malah, dalam konteks itu pun, banyak pihak mempersoalkan karya-karya yang diajarkan tidak mewakili hasil terbaik dalam sastera moden. Jika diteliti teks sajak, cerpen, novel, dan drama yang dipilih sebagai pendedahan unsur sastera kepada para pelajar melalui tema-tema tertentu dalam buku teks bahasa Melayu atau KOMSAS, dakwaan itu boleh dibuktikan.
Hal ini diburukkan lagi dengan pembelajaran sastera yang menekankan pendekatan struktural dan pencapaian peperiksaan. Sebagai tindak balas biasa, para pelajar di sekolah menengah menangani bentuk pembelajaran sastera ini dengan menghafal nota-nota daripada buku ulasan sastera. Maksudnya, teks-teks sastera tidak pun dihayati dan dikaji. Senario ini memperlihatkan betapa teks yang dipilih itu tidak menarik perhatian atau memberikan kesan kepada jiwa pelajar.
Selain itu, amalan pendidikan sastera semasa secara langsung telah menghalang para pelajar untuk mengenali wajah dan inti sari sebenar sastera, seperti yang berkembang dalam tamadun di wilayah ini. Dari abad ke-16 hinggalah abad ke-20, sejarah memperlihatkan ramai genius setara Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri menurunkan buah fikiran mereka dalam bahasa Melayu. Merekalah yang membina asas pemikiran dan tamadun sastera berbahasa Melayu di wilayah Kepulauan Melayu-Indonesia.
Fakta ini membuktikan kita sedang mengabaikan pemikiran dan pengalaman terbaik pengarang di wilayah ini. Hal ini seakan-akan kita mempelajari sastera Parsi tetapi tidak didedahkan sebuah pun puisi atau prosa dari Rumi, Sa’di dan Hafiz, atau mungkin, mempelajari Kesusasteraan Inggeris tanpa menyebut atau menghalusi satu pun soneta Shakespeare.
Dalam kata lain, kita sedang membelakangkan pencapaian intelektual dan estetika selama 400 tahun lampau dan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang dirakam dalam sajak atau prosa imaginatif 100 tahun belakangan. Tidak hairanlah pelajar yang kemudiannya terdedah dengan bentuk pembacaan yang lebih luas dan rencam mempunyai persepsi negatif terhadap sastera berbahasa Melayu.
Padahal, jika mereka didedahkan dengan wajah sebenar sastera yang bermula dari abad ke-16, mereka juga akan tiba pada suatu kesimpulan yang tidak jauh berbeza daripada sastera besar dalam tamadun lain.
Perkara-perkara tersebut sengaja ditimbulkan untuk menunjukkan mentaliti negatif sastera itu lahir secara beransur-ansur melalui pelbagai tahap pendidikan para pelajar. Mentaliti itu muncul dan dikukuhkan kerana sastera berbahasa Melayu yang didedahkan itu, gagal dipersembahkan secara adil, seperti yang ada dalam tradisinya.
Keadaan itu menjadi bertambah kukuh dalam diri dengan satu faktor lain, iaitu pendidikan terpisah, yang akan dibicarakan dalam tulisan akan datang.
Wallahualam.
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.