Oleh Aziz Ataullah
13 Februari 2022, 07:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aziz Ataullah melihat kepentingan kesusasteraan kanak-kanak dalam mempengaruhi pembesaran, pertumbuhan, psikologi, emosi, dan kesedaran kanak-kanak. Maka, beliau memperkenalkan asas dalam buku bergambar, antara jenis kesusasteraan kanak-kanak paling popular dalam kalangan pembacanya.

Cerita kanak-kanak sebenarnya sudah ada dalam kesusasteraan lisan dan bukan ditujukan kepada kanak-kanak sahaja tetapi untuk semua lapisan masyarakat.

Umum mengetahui bahawa kesusasteraan ialah suatu seni indah yang dihasilkan melalui kata-kata. Bidang kesusasteraan sudah mula berkembang mengikut peredaran masa dan zaman. Kesusasteraan kanak-kanak merupakan bidang baharu yang terdapat dalam komponen kesusasteraan. Secara ringkasnya, genre kesusasteraan kanak-kanak telah mula diperkenal pada abad ke-17 lagi. Walaupun genre kesusasteraan kanak-kanak mula diperkenal pada abad ke-17, namun cerita kanak-kanak sudah mula dihasilkan sejak dahulu lagi. Cerita kanak-kanak sebenarnya sudah ada dalam kesusasteraan lisan dan bukan ditujukan kepada kanak-kanak sahaja tetapi untuk semua lapisan masyarakat. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan kesusasteraan kanak-kanak? Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak (2005:6), “sastera kanak-kanak merupakan karya yang tidak mengetepikan kanak-kanak, iaitu yang meliputi semua karya daripada buku bergambar hinggalah kepada novel yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak, sama ada secara bersendirian atau bersama-sama orang dewasa.”

Menurut Carol Lynch-Brown dan Carl M.Tomlinson pula, A definition of children’s literature is a logical way to begin an investigation into the world of children’s books. Children’s literature is good quality trade books for children from birth to adolescence, covering topics of relevance and interest to children of those ages, through prose and poetry, fiction and nonfiction.” (1999:2).

Secara umumnya, bolehlah kita katakan bahawa kesusasteraan kanak-kanak merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh pengarang untuk kanak-kanak dan dibaca oleh kanak-kanak serta mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh yang demikian, kesusasteraan kanak-kanak ini amat penting dalam mempengaruhi pembesaran, pertumbuhan, psikologi, emosi, dan kesedaran kanak-kanak itu sendiri.

 Buku Bergambar

Ilustrasi yang baik akan menyebabkan buku bergambar itu menjadi sebuah buku yang baik.

Apabila menyebut tentang contoh karya kesusasteraan kanak-kanak, sudah pasti buku bergambar yang akan segera keluar dalam kotak fikiran manusia. Buku bergambar merupakan salah satu karya yang terdapat dalam kesusasteraan kanak-kanak. Ternyata, ramai kanak-kanak tertarik untuk membaca buku bergambar. Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak (2005:60), “Buku bergambar mengandungi gambar-gambar atau lukisan sebagai elemen yang lebih penting daripada teks.”

Buku bergambar dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai picture book. Buku bergambar sebenarnya menjalinkan antara kata-kata dengan ilustrasi. Hal ini bermaksud, ilustrasi tersebut menyumbang kepada teks, dan teks pula menyumbang kepada ilustrasi tersebut. Sekiranya salah satu tiada, maka cerita tersebut masih boleh difahami. Di samping itu, hubungan yang seterusnya ialah “enhancement” (pengukuhan). Enhancement di sini bermaksud teks mahupun ilustrasi yang meningkatkan kefahaman masing-masing. Hal ini bermaksud, kata-kata meningkatkan imej ilustrasi manakala ilustrasi meningkatkan imej kata-kata. Sebagai contoh, apabila kita melihat ilustrasi, kita akan lebih memahami teks dan begitu juga sebaliknya. Hubungan yang seterusnya ialah “counter point” (titik bertentangan). Counter point bermaksud kata-kata yang memaparkan cerita lain manakala ilustrasi pula memaparkan cerita lain.

Ternyata, kekuatan utama bagi buku bergambar ialah ilustrasinya. Ilustrasi yang baik akan menyebabkan buku bergambar itu menjadi sebuah buku yang baik. Tanpa ilustrasi, tidak mungkin buku bergambar akan dapat “digelar” sebegitu rupa. Apakah yang dimaksudkan dengan ilustrasi?

Ilustrasi adalah hasil visualisasi dari suatu tulisan dengan teknik lukisan, fotografi atau teknik seni rupa lainnya yang lebih menekankan hubungan subjek dengan tulisan yang dimaksud daripada bentuk.

(Cinta Seni dlm. Pendidikan Seni Visual, 2010)

Dapatlah disimpulkan bahawa ilustrasi merupakan satu bentuk lukisan, lakaran atau imej yang jelas dan sempurna yang bertujuan untuk menyampaikan mesej atau idea tertentu. Ilustrasi yang berkesan dapat mencapai tujuan untuk menjelaskan sesuatu dengan lebih efektif dalam masa yang singkat. Kartun misalnya, merupakan sebuah ilustrasi yang sering digunakan dalam buku bergambar untuk menarik minat kanak-kanak membaca buku bergambar.

Ciri-ciri Ilustrasi

(i) Ilustrasi Disesuaikan dengan Tema dan Tajuk

Bagi sebuah ilustrasi yang baik, pembentukan imejnya mestilah dihasilkan bersesuaian dengan tema dan tajuk bagi sesebuah cerita. Tajuk yang dipilih biasanya akan menggambarkan keseluruhan cerita tersebut, manakala tema pula akan mendukung perjalanan sepanjang cerita.

 (ii) Ilustrasi yang Ringkas dan Mudah Diingat

Bagi memberikan impak pada fikiran kanak-kanak, ilustrasi yang dihasilkan mestilah ringkas dan mudah untuk diingati. Kebiasaannya, pengilustrasi akan menggunakan kartun kerana kartun amat ringkas dan mudah diingati oleh kanak-kanak.

(iii) Warna yang Berkesan

Selain aspek rupa bentuk, warna juga memainkan peranan yang penting dalam penghasilan ilustrasi yang baik. Orang yang membuat ilustrasi biasanya tidak akan meletakkan warna dengan sesuka hati. Mereka sebenarnya telah mengetahui dan mempelajari maksud-maksud psikologi dan peranan warna serta perbezaan ton warna dan kesannya terhadap pembaca.

 (iv) Hasil Ilustrasi Mempunyai Pengertian dan Mesej yang Jelas

Bagi memberikan kefahaman yang lebih baik kepada kanak-kanak, ilustrasi yang dihasilkan pada buku bergambar mestilah mempunyai pengertian dan mesej yang jelas. Oleh yang demikian, penghasilan ilustrasi tersebut mestilah mempunyai pengertian yang selari dengan jalan cerita. Setiap ilustrasi yang dihasilkan mestilah berpandukan pada jalan cerita. Sekiranya jalan cerita tidak selari dengan ilustrasi yang ada, maka buku bergambar tersebut akan dianggap gagal dan tidak berkualiti.

 Fungsi Ilustrasi dalam Buku Bergambar

Mereka akan lebih memahami jalan cerita tersebut dan sedikit sebanyak akan dapat memberikan pengalaman dan penghayatan kepada mereka untuk menyelami suatu tempat yang belum pernah mereka pergi.

Seperti yang sudah dibincangkan, penghasilan ilustrasi dalam buku bergambar sebenarnya bukan dibuat saja-saja namun mempunyai fungsinya yang tersendiri. Mungkin tanpa ilustrasi ini, buku bergambar akan digelar cerpen atau novel biasa. Terdapat beberapa fungsi ilustrasi yang memberikan kesan yang besar terhadap kanak-kanak yang membaca buku bergambar.

 (i) Memperjelas Teks dan Ungkapan

Buku bergambar sememangnya dihasilkan untuk pembacaan kanak-kanak. Setiap lapisan umur mempunyai bahan bacaan yang berbeza dari segi kepanjangan jalan cerita. Hal ini bermakna, penguasaan perbendaharaan kata bagi setiap lapisan umur adalah berbeza. Oleh yang demikian, mungkin terdapat kanak-kanak yang tidak tahu beberapa perkataan dalam sesebuah cerita tersebut. Oleh yang demikian, dengan adanya ilustrasi, ia mampu untuk memberikan pemahaman kepada mereka.

 (ii) Menarik Minat Kanak-kanak untuk Membaca

Bagi orang dewasa, apabila memilih novel untuk dibaca, mereka akan melihat sinopsisnya terlebih dahulu. Berbeza pula dengan kanak-kanak. Apabila hendak memilih buku ceritanya, mereka tidak akan melihat jalan ceritanya terlebih dahulu. Mereka akan lebih tertarik untuk melihat ilustrasi yang terdapat dalam buku itu. Sekiranya ilustrasi tersebut menarik, sudah pasti mereka akan teruja untuk membaca buku bergambar itu.

 (iii) Menggambarkan Suasana

Buku bergambar dapat membantu kanak-kanak untuk menggambarkan suasana yang belum pernah mereka lalui sebelum ini. Dalam buku bergambar, pembaca kanak-kanak sudah disediakan dengan imej visual melalui ilustrasi. Dengan ilustrasi ini, ia dapat membawa kanak-kanak “masuk” ke dalam cerita dan membolehkan mereka untuk menggambarkan (berimaginasi) suasana sebenar yang terdapat dalam cerita tersebut. Hal ini menyebabkan mereka akan lebih memahami jalan cerita tersebut dan sedikit sebanyak akan dapat memberikan pengalaman dan penghayatan kepada mereka untuk menyelami suatu tempat yang belum pernah mereka pergi.

 (iv) Mengkomunikasikan Cerita

Salah satu fungsi ilustrasi yang agak penting adalah untuk mengkomunikasikan cerita (teks). Hal ini bermaksud, tanpa ada pemakluman daripada teks, kanak-kanak boleh mengetahui jalan ceritanya melalui ilustrasi yang dipamerkan. Cara ini boleh menjimatkan penggunaan perkataan dalam buku bergambar tersebut, dengan hanya memahami cerita melalui ilustrasi yang disediakan. Berlakulah suatu “komunikasi” antara pembaca, ilustrasi dan cerita (teks), iaitu suatu penyampaian maklumat yang saling terjalin antara ketiga-tiganya.

Sebagai kesimpulan, kemunculan genre kesusasteraan kanak-kanak sebenarnya telah banyak membantu perkembangan hidup kanak-kanak. Daripada karya kesusasteraan kanak-kanak inilah yang membuatkan mereka mempunyai kemahiran seperti membaca, melukis dan mewarna. Dalam hal ini, buku bergambar merupakan buku yang amat diminati oleh kanak-kanak. Buku bergambar menggabungkan dua mod penceritaan, iaitu teks dan ilustrasi. Kekuatan utama buku bergambar sebenarnya ialah ilustrasinya. Sekiranya ilustrasinya menarik, maka buku itu akan turut menarik untuk dibaca. Oleh itu, amat jelas kehadiran buku bergambar telah menyemarakkan minat kanak-kanak untuk membaca.

_________________________

Aziz Ataullah tinggal di Limbang, Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.