22 Januari 2022, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Shoffi Sukamin melihat titik pertemuan dan pertentangan antara sastera dengan politik dan bagaimana simbiosisnya memerlukan pendirian nilai yang jelas dan tegas.

Politik dan sastera seperti adik-beradik yang berjalan seiringan, namun di tengah-tengah antara kedua-dua entiti ini, pendirian harus berdiri dengan tegas.

Arena sastera dunia sudah semestinya tidak mampu lari daripada permainan politik, sama ada politik dalaman mahupun luaran. Politik dalaman biasanya berkaitan dengan pergeseran dalam organisasi sahaja, tetapi politik luaran pergeserannya melibatkan kelompok yang lebih besar, apatah lagi jika orang politik daripada parti kanan/kiri yang “membeli” orang sastera dengan manifesto atau dana untuk organisasi yang sedang digerakkan.

Politik dan sastera seperti adik-beradik yang berjalan seiringan, namun di tengah-tengah antara kedua-dua entiti ini, pendirian harus berdiri dengan tegas. Sebagai contoh, gerakan Keranda 512 yang diketuai oleh Almarhum Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, dengan jelas kita melihat cara beliau sebagai orang sastera yang dalam masa sama bukanlah menjadi penentang (menurut haluan kiri/kanan) kerajaan pada ketika itu, tetapi berpendirian yang ditampilkannya jelas. Perjuangan dan pendirian itu terus diwarisi oleh para sasterawan sesudah beliau, seperti SN Baha Zain, yang terus lantang menentang PPSMI. Orang-orang sastera begini amat jelas dengan pendirian dan harga diri.

Sastera tidak seharusnya dibudakkan oleh politik, sebagai contoh jika berlaku pergeseran dalaman pada sesuatu organisasi sastera, pendirian harus berdiri di tengah. Tidak kiralah dalam perebutan kerusi presiden atau kerusi AJK sekalipun, pendirian yang dipegang oleh SN Usman Awang dan Baha Zain harus terus dipegang dengan erat. Tidak seharusnya pergeseran yang berlaku itu bertujuan untuk melemahkan fungsi organisasi, sehingga sanggup menggadaikan pendirian atas sebab “orang politik telah menyalurkan wang” untuk menutup mulut apabila dasar-dasar yang melemahkan bahasa dan sastera dijalankan oleh mereka. Bukankah hal itu bertentangan dengan roh sastera itu sendiri?

Siapa yang kita mahu bohongi? Menyokong blok politik kiri/kanan bukanlah perkara yang salah, tetapi pendirian dan harga diri sebagai orang sastera harus dihidupkan dengan integriti dan moral kompas yang jelas. Saban tahun, kita melolong soal “survival” sastera negara dalam kemajuan teknologi dan kepantasan maklumat, kita jalankan seminar itu dan ini, diskusi itu dan ini. Malah, sastera siber turut diperbahas bagi mencari solusi terbaik untuk memastikan sastera terus hidup sehari lagi. Namun begitu, dalam masa yang sama, diam-diam maruah dan harga diri kita “dilacurkan” untuk wang dan sanggup mengorbankan pendirian yang telah ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sastera terdahulu, baik sayap kiri mahupun kanan, semata-mata untuk kepentingan peribadi. Jijik!

Tulisan ini sebenarnya tidak merujuk mana-mana individu atau mana-mana organisasi. Gambaran yang diberi hanyalah contoh sahaja. Hal yang penulis cuba sampaikan ialah kita semua harus jujur dengan diri sendiri dan bergerak dalam nafas dan tujuan yang sama. Perbezaan ideologi, agama dan bangsa tidak sepatutnya dibayar dengan pendirian dan nilai sastera. Jika dasar persis PPSMI itu wajar dan baik untuk bahasa dan sastera, maka tampilkan hujah dan justifikasinya secara telus, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti atau individu (politik).

Sekali lagi, siapa yang mahu kita bohongi?

Wajah sastera bagaimanakah yang mahu kita tunjukkan kepada masyarakat? Wajah sastera yang dibonekakan oleh pihak tertentu? Atau sastera yang dikelolakan oleh pendirian dan tujuan?

Penulis merasakan orang sastera yang sudah berkedudukan seperti sudah lupa apakah tujuan sastera itu diwujudkan selain hanya menjadi medium hiburan semata-mata? Sastera harus berdiri sebagai pengkritik bebas dalam apa-apa juga bentuk penindasan dan ketidakadilan yang dijalankan oleh mana-mana badan penguasa, tidak kiralah badan perundangan mahupun keagamaan. Sastera harus berdiri dengan jelas dalam landasannya sendiri. Orang sastera perlu bermusyawarah dan mencari solusi yang paling muktabar. Politik dan sastera tidak pernah terpisah, namun tidak pula saling merendah dan berkomplot untuk melemahkan. Politik sudah sedia kotor, mengapa pula sastera harus berkongsi kekotoran yang sama?

Rasuah, pengubahan wang haram dan pengkhianatan sudah menjadi asas moral “politik” dunia. Tiada satu sistem politik pun yang akan terlepas daripada kekotoran ini, selagi yang memegang tampuk kuasa itu ialah manusia, maka kecenderungan untuk meraih keuntungan peribadi bukanlah hal yang asing. Namun begitu, jika mana-mana organisasi sastera yang memiliki keinginan yang sama, ingin menjadikan organisasi itu sebagai lubuk untuk mencuci wang dan mengambil “komisen”, maka tiada sebab lagi organisasi itu terus beroperasi dengan nama “sastera”.

Tiada sebab lagi untuk kita semua peduli dengan sastera jika terdapat organisasi atau badan tertentu yang kononnya memperjuangkan sastera turut terjun dalam lubang moral yang sama seperti orang politik yang acap kali kita kritik dalam karya. Memalukan!

Akhir sekali, politik dan sastera akan tetap jalan beriringan, sepertimana pujangga yang terikat dengan istana, seperti itu jugalah sastera pada hari ini. Namun begitu, jika kita terikat dengan permintaan parti politik, hal itu jauh lebih memalukan kerana sumber kertas pada zaman ini bukan seperti dahulu kala, yang harus diimport dari China dan mahal harganya. Hikayat menjadi barang persembahan untuk menjalinkan hubungan diplomatik. Oleh sebab itu, pujangga perlu terus terikat dengan istana supaya kelangsungan dan sumber penulisan sasteranya dapat terus diwariskan. Namun begitu, tiada sebab organisasi sastera perlu terikat dengan pendirian mana-mana parti pada hari ini. Kita memiliki sumber penulisan yang amat banyak. Jika hikayat-hikayat dahulu boleh ditulis secara tersirat dengan berlapis-lapis kritikan terhadap istana, sepatutnya kita jadi lebih garang daripada itu. Namun jika kita memilih menjadi hamba kepada politik dan senang dengan kekotorannya, maka tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi selain melihat sastera mati di tangan kita sendiri.

_________________________

Mohd Shoffi Sukamin merupakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.