Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKhairol Anuar melihat kembali kebangkitan karyawan dan sasterawan Angkatan 45 di Indonesia dan mengapa kemunculan mereka ketika di ambang kemerdekaan amat penting dalam sejarah kesusasteraan Indonesia dan negara jirannya.
Sememangnya, Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso yang berdiri di Jakarta ketika zaman pendudukan Jepun itu merupakan tempat pertemuan para sasterawan, dramawan, budayawan, dan para pelukis untuk berkarya, bertukar-tukar fikiran, selain melalui sesi pembelajaran yang menyemarakkan perkembangan kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia.
Era Angkatan 45 memiliki gagasan dan estetika yang tersendiri dalam menyemarakkan perkembangan kesusasteraan Indonesia moden, malah impaknya masih juga terasa, walaupun di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Kemunculannya telah menempuh beberapa revolusi politik, ekonomi dan sosial yang sekali gus meninggalkan kesan terhadap perkembangan kesusasteraan Indonesia moden. Cetusannya bermula sewaktu bangsa Indonesia sedang berjuang pada era kemuncak memerdekakan negaranya, khususnya ketika Proklamasi Kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Penubuhannya sendiri merupakan suatu reaksi penolakan terhadap penubuhan angkatan-angkatan kesusasteraan Indonesia pada tahun-tahun sebelumnya.
Era Revolusi 45 menyaksikan generasi sasterawan Indonesia yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan di Indonesia meneruskan pembangunan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia. Secara khusus, arus perubahan politik yang mendadak berlaku sewaktu zaman pendudukan Jepun, ketika Perang Dunia Kedua di Indonesia yang bermula dari tahun 1942 hingga 1945. Detik inilah yang merupakan latar belakang awal kelahiran karya sastera Angkatan 45.
Pada tahun 1943, tentera Jepun telah mendirikan sebuah pusat kebudayaan yang dinamakan sebagai Keimin Bunka Shidoso. Secara umumnya, Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso merupakan sebuah lembaga dan organisasi pembentukan pemerintahan Jepun di Indonesia. Selain itu, penubuhan pusat kebudayaan ini bertujuan untuk memartabatkan pelbagai nilai seni dan kebudayaan Jepun di Indonesia, dengan berlandaskan rancangan “Lingkungan Kemakmuran Besar Asia Timur” dan “Perang Asia Timur Raya” yang dilaungkan oleh pihak Jepun untuk memerdekakan negara yang dijajah (Abdullah Zakaria Ghazali, et. al, 2000:395). Malah, penubuhan Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso telah menghimpunkan sejumlah seniman yang menghasilkan penulisan lirik lagu, sajak, lukisan, slogan, pementasan sandiwara, dan lakonan dalam filem yang membakar semangat perjuangan demi kepentingan imperialis Jepun yang menjanjikan masa hadapan gemilang bagi bangsa Indonesia. Jelaslah bahawa dasar propaganda imperialis Jepun di Indonesia dilaungkan dalam pelbagai tindakan drastik, seperti penghapusan sistem penjajahan Belanda dan penghapusan bahasa Belanda yang digantikan oleh bahasa Jepun (ibid.:404). Hal inilah yang memulakan bibit-bibit cetusan semangat para penulis Indonesia untuk memahami kekuatan bahasa, budaya dan sastera mereka sendiri yang baharu, dan menolak bahasa dan budaya penjajah yang sedia ada.
Sememangnya, Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso yang berdiri di Jakarta ketika zaman pendudukan Jepun itu merupakan tempat pertemuan para sasterawan, dramawan, budayawan, dan para pelukis untuk berkarya, bertukar-tukar fikiran, selain melalui sesi pembelajaran yang menyemarakkan perkembangan kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia. Terdapat pelbagai bahagian ditubuhkan dalam Pertubuhan Keimin Bunka Shidoso, seperti Bahagian Kesusasteraan, Bahagian Seni Suara, Bahagian Seni Sandiwara dan Bahagian Seni Rupa. Penubuhan Bahagian Kesusasteraan pada awal tahun 1943 telah dipimpin oleh Armijn Pane bersama Sakai, iaitu penasihat dan pegawai Jepun yang digelar sebagai “Sidookan Jepang”.
Bahagian Kesusasteraan pada masa itu ditugaskan untuk menilai hasil Sayembara Mengarang Cerpen anjuran Majalah Jawa Baru. Detik inilah yang memperkenalkan Rosihan Anwar, antara tokoh penting dalam Angkatan 45. Pada masa itu, Rosihan Anwar melibatkan diri dalam Sayembara Mengarang Cerpen tersebut kerana beliau ingin mempelajari dan menguasai keterampilan berbahasa Indonesia memandangkan beliau belajar di sekolah Belanda dan amat fasih berbahasa Belanda. Hasilnya, Rosihan berjaya memenangi tempat ketiga dalam sayembara tersebut. Lebih membanggakan, cerpennya yang bertajuk “Radio Masyarakat” telah diterbitkan oleh H.B Jassin dalam sebuah antologi cerpen dan puisi, Gema Tanah Air(1959). Kehebatan cerpen “Radio Masyarakat” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh John M. Echols dari Universiti Cornell sebagai penyusun Antologi Kesusasteraan Indonesia Moden.
Sepanjang tahun 1943 hingga 1945 inilah, para sasterawan Indonesia bekerja keras mencipta sajak dan cerpen yang memaparkan pelbagai mesej melalui saluran media perhubungan tentera Jepun dalam kalangan para sasterawan Indonesia dengan rakyat jelata di Indonesia. Jelaslah, Gagasan Kesemakmuran Bersama Jepun, seperti “Asia untuk Orang Asia”, “Jepun Cahaya Asia”, “Jepun Pelindung Asia”, dan “Jepun Pembebas Asia” terus dilaungkan ketika zaman pendudukan Jepun di Indonesia (Ruslan Zainuddin, 2004:227). Bagi Armijn Pane, Rosihan Anwar dan Nur Sutan Iskandar, Gagasan Kesemakmuran Bersama Jepun yang dilaungkan ketika zaman pendudukan Jepun di Indonesia merupakan satu helah penipuan penjajah Jepun semata-mata.
Penganjuran Malam Deklamasi Sajak dan Diskusi Kesusasteraan Indonesia Moden di Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso menampilkan sesi deklamasi puisi oleh Rosihan Anwar yang telah mendeklamasikan sebuah puisi penyair Poedjangga Baroe terkenal, iaitu Amir Hamzah bertajuk “Astana Rela”. Namun begitu, kemunculan seorang pemuda berbaju lusuh dan rambut yang tidak disikat dengan rapi, iaitu penyair Chairil Anwar ketika Rosihan Anwar mendeklamasikan puisi “Astana Rela” dengan lantang mengatakan sajak Amir Hamzah itu sudah ketinggalan zaman. Malam itu juga, Chairil Anwar telah mendeklamasikan puisi popularnya, “Aku”. Kemunculan Chairil dan “Aku” melambangkan kekuatan karya dan imej yang mengandungi vitalitas, iaitu daya hidup dan tenaga hidup. Seni Chairil Anwar merupakan sebuah simbol kehidupan yang bebas. Bermulalah suatu suara segar dalam puisi Indonesia moden.
Pelibatan Rosihan Anwar ketika memberikan nama komersial untuk angkatan sastera yang diasaskan oleh Chairil Anwar dengan sebutan “Angkatan 45” telah diceritakan dalam majalah Siasat terbitan 22 Oktober 1950. Sejarah nama Angkatan 45 yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya oleh Rosihan Anwar menerusi Ruangan Kebudayaan dalam majalah Gelanggang telah diterima dengan kata sepakat sebagai nama rasmi angkatan sastera era tahun 1929 hingga 1940-an.
Kemunculan para sasterawan Angkatan 45 telah merancakkan perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia, selain memberikan perhatian besar terhadap kemajuan karya sastera Indonesia.
Sejarah kemunculan Angkatan 45 dalam sejarah kesusasteraan Indonesia moden lahir daripada pergolakan. Selain itu, karya-karya sastera Angkatan 45 menampilkan hasil karya yang melahirkan identiti baharu dunia kesusasteraan Indonesia yang penuh kontroversi. Secara keseluruhannya, kehadiran Angkatan 45 menurut Wahyudi Aldiano dalam “Latar Belakang Lahirnya Sastera Angkatan 45” (2020) telah mengubah nilai dalam aliran sastera Indonesia yang terdahulu.
Kemunculan para sasterawan Angkatan 45 telah merancakkan perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia, selain memberikan perhatian besar terhadap kemajuan karya sastera Indonesia. Kemunculan mereka sesungguhnya bertujuan untuk memelihara mutu karya sastera dan bahasa Indonesia daripada pengaruh asing dan penjajahan.
Pencapaian Angkatan 45 dalam perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia moden telah berjaya mencipta saluran rasmi menerusi penerbitan majalah kebudayaan bertajuk Gema Suasana pada bulan Januari 1948. Pada asasnya, penerbitan majalah Gema Suasana telah diterajui oleh sidang redaksi yang terdiri daripada Asrul Sani, Chairil Anwar, Mochtar Apin, Rivai Apin, dan Baharuddin MS. Majalah ini dicetak dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan Belanda di Indonesia yang dikenali sebagai Opbouw (dalam bahasa Indonesia bermaksud “Pembangun”. Namun demikian, penerbitan majalah Gema Suasana telah dibubarkan dan ditukarkan kepada nama baharu menerusi majalah Gelanggang. Penerbitan majalah Gelanggang buat pertama kali pada bulan Februari 1948 merupakan majalah kebudayaan yang dikategorikan sebagai jurnal mingguan di Indonesia. Secara keseluruhannya, penerbitan majalah Gelanggang telah diterajui oleh Chairil Anwar dan Ida Nasution sebagai sidang redaksi. Merekalah yang memperkenalkan gagasan Angkatan 45, yang dikenali dengan nama komersialnya, “Surat Kepercayaan Gelanggang”.
Dari titik inilah, pengkaryaan kalangan Angkatan 45 mekar berbunga. Suara humanisme universal, individualisme, segar, selain padat, jelas dan jernih ekspresi bahasanya merupakan tandatangan Angkatan 45 yang masih berbekas dan berpengaruh, walaupun pada hari ini. Selain nama-nama yang sudah disebutkan, muncullah pengarang-pengarang besar era ini, yang terus memajukan pengkaryaan dan nilai mutu sastera Indonesia moden, seperti Asrul Sani (yang juga merupakan seorang pengarang lakon layar dan pengarah filem yang terkenal dan pengasas bersama Sinematek Indonesia), Rivai Apin, Idrus, Achadiat K. Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Utuy Tatang Sontani, Sitor Situmorang, Aoh K. Hadimadja, Trisno Sumardjo, M. Balfas, Suwarsih Djojopuspito, dan St. Nuraini. Tapak sejarah yang ditempanya dalam kesusasteraan Indonesia moden masih berbekas dan diteruskan oleh generasi sekarang.
_________________________
Khairol Anuar Harith Fadzilah merupakan seorang guru di MRSM Merbok, Bedong Kedah. Beliau mengajar mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.