10 Januari 2022, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Buku antologi puisi Citra Yang Tak Padam yang diterbitkan oleh Narangkai Publications ialah penghargaan untuk New Sabah Times (NST). Antologi ini bertujuan untuk menghargai penat lelah dan jerih payah yang terpaksa dilalui oleh satu-satunya akhbar yang ada di Negeri di Bawah Bayu, Sabah, yang terpaksa menutup operasinya pada 31 Disember 2020.

Menurut Mantan Ketua Editor, Bahagian Bahasa Melayu NST, Haji Mohd Amin Haji Muin, sejak 30 Disember 2020, penyelenggara antologi, iaitu Gabriel Kimjuan yang merupakan Aktivis Susastera Muda Zon Wilayah Persekutuan Labuan, berusaha mengumpul beberapa karya hanya untuk dijadikan buku zine melalui kumpulan WhatsApp.

Jelasnya, kerana sambutan di luar jangkaan dan amat menggalakkan daripada para penulis (Malaysia dan Indonesia), maka dapatlah beliau mengumpul lebih 105 penyertaan puisi untuk dimuatkan dalam antologi ini.

Beliau menjelaskan bahawa Gabriel Kimjuan bersama-sama Kolumnis Sastera NST, Yatim Ahmad, turut merakamkan sekalung apresiasi seindah budi kepada Mantan Ketua Editor, Bahagian Bahasa Melayu NST, Haji Mohd Amin Haji Muin atas khidmat bakti beliau yang mengemudi hala tuju NST yang telah melebihi tujuh dekad.

“Selama 20 tahun terakhir NST sejak tahun 1998 hingga 2020 beroperasi daripada rentetan penubuhannya sejak tahun 1949, bidang kesusasteraan menjadi sebahagian ruang yang penting untuk pengkarya seni kreatif menulis dalam akhbar ini,” ujarnya.

Tambahnya, perkara itu turut menyemarakkan kesusasteraan peringkat negeri dan negara. Paling manis, NST turut merancakkan ruang pengkaryaan sastera dengan menganjurkan sayembara NST dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia).

“Lebih membanggakan lagi, terdapat karya sastera yang tersiar dalam NST pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), manakala pada peringkat negeri pula menerusi Zalila Isa, iaitu Hadiah Sastera dan Media Negeri Sembilan pada tahun 2017,” katanya..

Beliau memberitahu, gabungan tenaga antara Gabriel Kimjuan dengan Yatim Ahmad banyak memberikan peluang kepada penulis baharu, sama ada penulis Sabah atau dari luar negeri. Hal ini menjadikan proses mematangkan penulis banyak dilahirkan daripada NST, mengikut kaedah dan cara yang ditentukan. Sastera meranumkan perpaduan, maka NST menjadi sebahagian daripada usaha menyatukan kesusasteraan sejagat.

“Sekalipun wadah pengkaryaan di NST sudah berakhir, beliau berharap agar semua penulis terus menggunakan ruang yang ada di agensi persuratkhabaran lain dan berusaha meningkatkan kualiti karya masing-masing,” jelasnya..

Beliau bagi pihak mantan pengurusan NST dan kakitangan editorial bahasa Melayu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menjayakan antologi penghargaan kepada NST, khususnya Saudara Gabriel Kimjuan atas usaha murni ini. Beliau turut mendoakan agar semua penulis terus berusaha meningkatkan kualiti pengkaryaan dan selamat maju jaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.