Oleh Karmila Azmi
4 Januari 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera Melayu merupakan asas kepada sastera kebangsaan, yang juga diibaratkan sebagai sebatang sungai besar, manakala sastera sukuan merupakan sungai kecil yang mengalir masuk dan bergabung dengannya.

Walau bagaimanapun, kurangnya usaha untuk menterjemahkan sastera bukan berbahasa Melayu di Malaysia menjadikannya seakan-akan terpisah dan dicurigai.

Hal ini ditegaskan oleh Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Datuk Goh Hin San dalam Forum Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum Siri 3: Bahasa dan Sastera Milik Bersama yang turut menampilkan Tan Sri Prof Abdul Latif Abu Bakar dan Dr. Krishanan Maniam. Forum dimudahcarakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

“Sekitar 31 Mei 1983, terdapat pertemuan penulis pelbagai kaum diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia memperjelaskan besarnya peranan sastera dan pengakuan semua penulis pelbagai kaum bahawa sastera kebangsaan itu ialah sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu.

“Sastera lain seperti Mahua atau Tamil ialah sastera sukuan namun perlu sama-sama dipertingkatkan dan tidak boleh dipinggirkan kerana ia ditulis oleh orang Malaysia dan bercerita mengenai negara ini.

“Apa yang berlaku ialah kurangnya kerja-kerja penterjemahan karya sebegini ke dalam bahasa Melayu, menyebabkan ia tidak dapat dinikmati oleh lebih ramai pembaca,” katanya.

Goh berkata, beliau berpandangan sastera kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sangat jelas tetapi kedudukan sastera Malaysia pula perlu dibincangkan. Hal ini kerana sastera tidak seharusnya tertumpu pada penulisan yang menggunakan bahasa kebangsaan sahaja tetapi mungkin boleh juga menerima karya yang ditulis dalam bahasa etnik.

Pandangan Goh bagaimanapun berbeza daripada Krishanan yang meletakkan sastera kebangsaan dan sastera Malaysia itu sama. Baginya, sastera kebangsaan atau Malaysia mestilah ditulis dalam bahasa Melayu dan bercerita mengenai kehidupan orang Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Satu ketika dulu, ramai penulis berbangsa India menulis mengenai kehidupan orang India dan Cina dalam bahasa kebangsaan. Karya ini kita boleh sifatkan sebagai sastera kebangsaan tetapi tidak ramai penulis Melayu menulis mengenai bangsa lain dalam karya mereka.

“Dulu kita mungkin ada penulis seperti Azizi Haji Abdullah (menulis mengenai bangsa lain) tetapi kini tidak ramai lagi yang berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata ketika ini terdapat suara-suara dalam kalangan generasi muda terutamanya di media sosial yang mahukan sastera bukan berbahasa Melayu diangkat sebagai sastera kebangsaan atas nama demokrasi.

“Ini salah faham yang besar dan akan menimbulkan kekacauan. Di negara lain misalnya China, Korea atau Jepun, sastera mereka hanya satu sedangkan kita ada pelbagai bahasa.

“Jadi kita perlu sesuatu yang menyatukan, iaitu sastera berbahasa Melayu, manakala sastera lain ialah sastera pelbagai kaum yang tidak kita ketepikan. Sebaliknya ia perlu dipertingkatkan dan diperjuangkan bersama-sama,” katanya.

Tegasnya, apa yang berlaku ialah ketidakfahaman masyarakat terhadap konsep sastera kebangsaan sehingga menyebabkan muncul suara seperti itu.

Tonton forum penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi