4 Januari 2022, 07:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Malam ini kami mahu membuat satu closure, satu penutupan bagi semua gelora, bagi semua kesusahan, kesengsaraan dan kepayahan yang telah kita hadapi bersama-sama pada tahun 2021. Dan dalam masa yang sama, kami juga mahu mengumpul kekuatan untuk tahun hadapan supaya kita semua lebih kukuh menjadi satu kumpulan atau kelompok masyarakat yang lebih dinamik dan lebih kuat dalam mendepani sebarang cabaran.”

Begitulah harapan Yang Berbahagia Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose, pakar perubatan kecemasan dan trauma, Hospital Kuala Lumpur yang juga bertindak sebagai pengerusi majlis Malam Puisi Kemanusiaan 2021 anjuran College of Emergency Physicians, dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, lewat ucapan pembukaannya pada Khamis, 30 Disember 2021.

Acara yang julung-julung kali diadakan ini dipancarkan secara dalam talian menerusi pelantar Zoom ke Facebook Alzamani Mohammad Idrose dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yang Berbahagia Dato’ Dr. Asmayani Khalib. Malam Puisi Kemanusiaan menghimpunkan seramai 21 orang petugas kesihatan kerajaan dan swasta daripada pelbagai disiplin dan kategori dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi menyampaikan puisi dengan tema “Hidup, Mati dan Harapan”. Selain itu, undangan jemputan khas di luar bidang perubatan adalah dari Angkatan Tentera Malaysia yang diwakili oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Nizam, Komandan National Resilience College, dari pasukan bomba yang diwakili oleh Datuk Khirudin Drahman; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sarawak, dan juga Puan Nisah Haron, penerima Anugerah Sasterawan Muda Asia Tenggara.

Angka 21 dipilih sebagai simbol untuk tahun 2021. Paling istimewa, penyertaan Dr. Tri Maharani, seorang pakar perubatan kecemasan dari Jakarta, Indonesia yang menjadi pemuisi yang ke-22, melambangkan peralihan tahun dari 2021 menuju ke tahun 2022. Acara ini juga telah dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan Republik Indonesia, iaitu Budi Ganadi Sadikin, yang difahamkan mengikuti acara langsung ini sebagai tanda sokongan.

Acara dimulakan dengan pembacaan puisi oleh Dato’ Dr Asmayani Khalib dengan judul “Sengsara dan Harapan”. Beliau membacanya dengan penuh penghayatan sehingga mengalirkan air mata. Turut menarik perhatian ialah puisi yang dibacakan oleh Dr. Malar Santhi dari Columbia Asia Hospital, Kuala Lumpur. Puisinya berjudul “Merah Tetap Isinya” mengangkat tema kesatuan hati dalam usaha menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Puisi “Banjir Mengajar Aku” yang dilantunkan oleh Dr. Nurul Laila, seorang pakar optalmologi juga sangat menyentuh perasaan. Hal ini demikian kerana Dr. Nurul Laila juga turut terkesan dengan musibah banjir yang melanda. Penutup acara ini diserikan dengan puisi yang ke-22 oleh Dr. Tri Maharani, meluahkan resah dan resanya yang terkena jangkitan COVID-19, namun harus cekal dan tabah untuk menyantuni rakyat Indonesia.

“Saya ialah survivor Covid yang diberi Tuhan kesempatan kedua untuk melayani dan mengabdi lagi menjadi seorang pelayan dalam bidang kesihatan di Indonesia,” ujarnya, sejurus membacakan puisinya yang bertajuk “Demi Nyawa Yang Lain”.

Tuntasnya, keseluruhan puisi yang dibaca oleh para petugas kesihatan dan juga para jemputan khas yang bertindak sebagai pejuang barisan hadapan negara merupakan suatu perenungan dan peluahan emosi ketika bergelut dengan bencana pandemik, malapetaka LRT dan musibah banjir yang dihadapi sepanjang tahun 2021. Kita jarang sekali mendengar suara hati yang benar-benar mewakili ribut perasaan yang terkurung dan tersimpan di sudut hati mereka kerana kita hanya melihat sisi keperwiraan mereka di pentas dewan bedah dan wad kecemasan. Namun begitu, malam itu, suara-suara hati ini dilantunkan dan mewakili suara kemanusiaan, seperti komentar Nisah Haron pada hujung acara, “Kemanusiaan itu suaranya sama. Emosi yang terkawal dan terancang mampu memberikan suara yang berkesan pada masyarakat.”

Suara kemanusiaan inilah yang akan membenihkan harapan untuk meneruskan hidup dengan lebih baik pada tahun yang mendatang. Nisah Haron turut membacakan puisi “Di Ruang yang Sempit” karya penyair Jaafa HS, yang pernah memenangi Hadiah Sastra Malaysia 1972.

Kita mendoakan agar para doktor, jururawat, pengamal perubatan, angkatan tentera, dan bomba dirahmati dan diberikan keberkatan umur agar dapat terus memberi manfaat kepada orang lain. Mudah-mudahan acara Malam Puisi Kemanusiaan dapat menjadi penutup tahun 2021 yang hangat untuk menyemarakkan api harapan yang lebih baik untuk tahun 2022.

Tonton acara penuh Malam Puisi Kemanusiaan 2021 di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi