31 Disember 2021, 08:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan kunjungan hormat ke Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) yang bertempat di Pejabat Ketua Pengarah, Tingkat 3, West Block, Wisma Golden Eagle Realty, Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021.

Kunjungan diketuai oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Encik Saifullizan Yahaya dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Mariati Josepha Mustafa. Turut serta ialah pegawai-pegawai kanan DBP, iaitu Siti Norsuhaila Samsudin dari Bahagian Perkamusan dan Fathenwan binti Wan Mohd Nor dari Bahagian Penyelidikan Sastera.

Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam berkisar tentang bentuk kerjasama yang boleh diusahakan secara bersinergi antara pihak DBP dengan pihak JAKOA demi melestarikan kehidupan dan kebudayaan masyarakat orang asli di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA, Encik Saiful Zahlan Mohamad Azmi berkata, “JAKOA sebagai sebuah badan berautoriti dalam menjaga kebajikan masyarakat orang asli di Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada program-program yang dianjurkan oleh DBP.”

Saifullizan Yahaya pula menjelaskan bahawa Bahagian Penyelidikan Sastera DBP telah melaksanakan penyelidikan berkaitan cerita rakyat orang asli. “Pengumpulan cerita rakyat orang asli telah dimulakan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera pada tahun 2013 yang tertumpu di negeri Pahang dan Kelantan, melibatkan sebahagian kecil suku kaum Jakun dan Temiar. Pada tahun 2018, rakaman cerita rakyat orang asli suku kaum Semai dilaksanakan di Kampung Orang Asli Pos Tenau, Slim River, Perak. Seterusnya, pada tahun 2019, kajian meliputi rakaman rakyat orang asli dalam kalangan anggota Senoi Praaq, Perak dan suku kaum Che Wong di Pahang,” jelas beliau.

Ujar beliau lagi, “Hasil penyelidikan yang dilaksanakan tersebut telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021 berjudul Cerita Rakyat Orang Asli: Legenda Lembah Mendang. Cerita-cerita berkenaan dituturkan sendiri oleh golongan dewasa dalam kalangan suku kaum Jakun dan Temiar.”

Mariati Josepha menambah, “DBP sedang giat mencungkil bakat yang ada dalam kalangan masyarakat orang asli, terutamanya kanak-kanak. Keterlibatan kanak-kanak orang asli dalam program anjuran DBP amatlah digalakkan kerana kami boleh mengenal pasti kebolehan mereka, terutamanya dalam bidang seni lukis. Melalui lukisan, kanak-kanak orang asli boleh menggambarkan ekspresi mereka terhadap alam sekitar dan kehidupan yang berlegar dalam budaya dan masyarakat orang asli melalui kaca mata mereka sendiri.”

“Selain program-program bersifat aktiviti, DBP sedang merancang untuk menerbitkan kamus Semai–Melayu. Tujuan utamanya supaya dapat dijadikan rujukan atau panduan kepada pelajar-pelajar orang asli suku kaum Semai dan guru-guru yang mengajar. Keutamaan diberikan kepada suku kaum ini kerana Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerbitkan buku teks Bahasa Semai peringkat sekolah rendah dan menengah,” tambah Norsuhaila yang mewakili Ketua Bahagian Perkamusan.

Saifullizan Yahaya yang turut mewakili Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum menyatakan, “Pada tahun 2022, bahagian tersebut telah merancang beberapa aktiviti bersama-sama masyarakat orang asli, seperti Apresiasi Bahasa dan Sastera. Aktiviti-aktiviti sebegini akan merapatkan lagi jurang persuratan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum sebagai salah satu usaha untuk mencapai integrasi nasional.”

“Bagi mengeratkan hubungan antara DBP dengan JAKOA, satu bentuk perjanjian memorandum persefahaman perlu diadakan. Melalui perjanjian ini, kedua-dua belah pihak dapat mempertingkatkan lagi kerjasama untuk menjalankan sesuatu program,” tambah Saifullizan Yahaya.

Turut serta dalam perbincangan tersebut ialah para pegawai JAKOA, iaitu Puan Aida Md Zin, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Encik Azhar Abdul Manaf, Penolong Pengarah Kanan (Perangkaan), dan Puan Suriani Abdullah@Dollah, Ketua Unit Penyelidikan dan Kebudayaan/Warisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.