Oleh Ilham Budiman
20 Disember 2021, 08:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Folklor merupakan bidang warisan tradisional yang mencakupi sastera lisan, lagu rakyat, permainan rakyat, persembahan rakyat, ukiran, dan adat sebagai kebudayaan turun-temurun dari zaman lampau.

Salah seorang pembentang semasa berlangsungnya Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia bertemakan Laut, Sungai dan Paya pada 3 Disember lalu ialah YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia.

KSU mengetengahkan pengetahuan luasnya tentang sastera dan folkor yang dikaitkan dengan kepentingan, permasalahan dan wawasan tentang air serta pencemaran alam pada mutakhir ini.

Zaini menitipkan tiga pesanan sebagai wawasan melestarikan kepentingan air.

Pertama, “Mari kita belajar resmi air:

Ketika sedikit perlu berdikit,
Ketika banyak perlu berhemat,
Ketika melimpah boleh merakit,
Ketika meruah menghayut bukit!

Kedua, “Mari kita cuba fahami bahawa laut, sungai dan paya adalah petunjuk dan petanda duniawi dan ukhrawi:

Sungai adalah petunjuk budaya,
Lestari sungai tandanya subur budaya,
Bersih sungai tandanya bersih jiwa,
Makmur sungai tandanya makmur seluruh nusa bangsa.”

Ketiga, beliau menambah, untuk melestarikan laut, sungai dan paya, kita jangan hanya menjadi pemerhati yang resah, penulis yang pasrah atau sekadar aktivis yang lelah. Kita perlu kefahaman tentang tatacara untuk melestarikan alam. Mencari dalil untuk lebih proaktif. Menuruti sunnah supaya tekun berusaha melaksanakan amanah.

KSU turut membuktikan ketepatan pemerhatian, pengalaman dan pengetahuan orang tua-tua Melayu dengan ilmu moden kini.

Beliau menerangkan, “Dalam tradisi masyarakat Melayu, kita sering kali diingatkan untuk mengetahui tentang kemungkinan terdapat sumber air dengan hanya melihat sesebuah persekitaran. Petuanya, ada bukit, adalah paya. Ini bermakna aliran air dari kawasan berbukit akan menitiskan air sehingga membentuk anak sungai dan mewujudkan ekosistem akuatik dengan paya atau tasik kecil sebagai sebuah sistem penyimpanan air tabii. Biasanya, ikan dan hidupan air lain mudah membiak dalam ekosistem tasik.”

Malahan, beliau mendalami pemikiran nenek moyang, menjelaskan hakikat yang tersirat bahawa “Bagai puyu di air jernih ialah ungkapan betapa kejernihan air menandakan kehidupan sejahtera dalam kemakmuran dan kesenangan.”

Ir. Dr. Zaini turut memberikan renungan kepada para peserta bahawa dalam alam duniawi ini, sungai berperanan sebagai urat saraf dan petunjuk peradaban sesebuah bangsa. Beliau turut menjelaskan, semakin bersih aliran dan siratan sungai, semakin bersih dan sihat sesebuah warga negara bangsa. Begitulah sebaliknya jika sungai dipenuhi sampah dan bahan cemar, maka semakin berisiko jasad seluruh warga dengan pelbagai kemungkinan penyakit, banjir dan bencana lain.

Pada kesempatan pembentangan ini dengan tajuk Lestari Air Lestari Alam, beliau turut memberitahu bahawa dari segi pengurusan sumber air, Malaysia beriklim tropika yang dikurniakan hujan melebihi 2500 mm setahun, berbanding kurang 100 mm di negara-negara Teluk, kurang 1000 mm di Britain, Belanda, Perancis, dan Jerman. Fakta yang dikemukakan ini mengejutkan para peserta. Justeru, umum tidak menyangka sama sekali, sebegitu banyak potensi sumber asas air bagi Malaysia, berbanding kebanyakan negara lain di dunia ini.

“Justeru, jika berlaku ketidakcukupan sumber air, bukanlah kerana kurniaan Tuhan yang terhad, tetapi kerana ketidakcekapan, kesantaian, bahkan kecuaian kita mengurus sumber dan bekalan air,” katanya.

Pada akhir pembentangan, beliau menggesa, “Marilah kita belajar daripada laut, sungai dan paya. Para karyawan menjadikan laut sebagai latar kebiruan, sungai sebagai laluan perhubungan, dan paya sebagai sumber rezeki berlimpahan.”

Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang merupakan salah seorang antara lima pembentang kertas kerja ucap utama webinar antarabangsa folkor ini, di samping Sahibus Samahah Mutfi Negeri Kelantan, Dato’ Shukri Mohamad, Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

Webinar ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berserta Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai Penaung. Manakala Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) turut serta sebagai rakan kerjasama.

Webinar ini berlangsung selama dua hari pada 3-4 Disember sepanjang pagi hingga malam, dengan 30 buah kertas kerja yang menarik minat hampir 7000 orang peserta melalui Pelantar Sosial DBP dan Aplikasi Zoom bagi keseluruhan segmennya. Manakala majlis perasmian pula diikuti seramai 4790 orang peserta. Webinar ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa tersebut, YB. Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Abd. Rahman.

Tonton majlis perasmian dan pembentangan kertas kerja ucap utama di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!