2 Disember 2021, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
 YB Brig. Jen (B) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad menerima kunjungan Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin.

Alor Setar – Bertitik tolak daripada ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah ketika melancarkan buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah pada 13 November 2021, di Sik Inn, Sik, Menteri Besar menyarankan supaya Anugerah Sastera Negeri dapat diadakan di negeri Kedah bagi mengiktiraf penulis-penulis yang berbakat dan komited. Sehubungan itu, Pejabat Yang Berhormat Brig. Jen (B) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia bersetuju menerima kunjungan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang diketuai oleh Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin pada 29 November 2021.

Menerusi pertemuan ini, DBPWU mencadangkan pihak Kerajaan Negeri supaya dapat mengadakan Hadiah Sastera Darul Aman (HASDA) bagi menyemarakkan lagi semangat dalam jiwa para penulis Kedah untuk terus berkarya, sekali gus mengangkat nama dan kemasyhuran negeri Kedah ke tempat yang sewajarnya. Bagi pihak Kerajaan Negeri, cadangan ini disambut baik dan akan dikemukakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kedah dalam waktu terdekat ini.

Pengiktirafan kepada penulis dan karya adalah wajar kerana penulislah yang menyemai pemikiran dan arus fikir masyarakat melalui karya yang dihasilkan. Bahkan penulislah juga yang mampu memurnikan akal budi dan menyuburkan nurani masyarakat. Di tangan merekalah karya sastera menjadi semakin dikenali dan tersebar ke seluruh dunia. Mereka jugalah yang memberikan warna, corak dan pola terhadap pembinaan kesusasteraan kebangsaan.

Turut hadir bersama-sama dalam pertemuan ini, pegawai-pegawai DBPWU dan Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puan Hasniza Aarif serta Encik Mohd Hanif Mohamad Hadzir, Pegawai Khas Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.